Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Alor Mengkudu
Jalan Alor Mengkudu, Kg Alor Mengkudu, 05400 Alor Setar, Kedah Darul Aman.
Tel / Fax : 04-734 0690 , e-mail :
pkwr.alormengkudu@gmail.com , pkwrn14@streamyx.com , web : http://pkwr-alormengkudu.blogspot.com

Rabu, 2009 November 04

Ketua Kampung bertanggungjawab sediakan profail kampung


Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

ALOR SETAR – Ketua Kampung perlu menyediakan profil kampung atau komuniti yang merangkumi maklumat penduduk, kemudahan asas, kemudahan awam, organisasi dan lain-lain maklumat berkaitan sebagai rujukan jika diperlukan.

Penghulu Mukim Alor Merah, Tuan Haji Yusof Ismail, berkata, penghulu perlu menyediakan profil mukim, manakala ketua kampung bertanggungjawab terhadap data kampung sebagai rujukan bagi tujuan membantu menaik taraf kampung.

“Maklumat atau data mukim perlu ada bagi memudahkan kita menjalankan tugas, sebagai contoh, jika JKM Tanya berapa bilangan anak yatim atau ibu tunggal dalam kampung, secara automatik, kita dapat beri maklumat, tak perlu terpinga-pinga baru nak cari maklumat.

“Cuba kita bayangkan maklumat ini tak ada, bila peruntukan untuk bantuan penduduk miskin, kita lambat bagi, jadi mereka ini mungkin tak dapat bantuan tersebut,” jelas beliau pada ketua-ketua kampung yang hadir pada taklimat dan dialog antara ADUN dengan penghulu dan ketua kampung bagi DUN angkat, Bakar Bata yang berlangsung di Pusat Aktivit Pejabat Daerah Kota Setar.

Selain itu, tambah beliau, kerjasama antara ketua kampung dan penghulu amat penting untuk kepentingan penduduk seterusnya kampung dengan mengenepikan kepentingan diri.

Hadir sama pada majlis tersebut adalah ADUN Alor Mengkudu, YB. Dr. Ismail Salleh, Penghulu Mukim Mergong, Tuan Haji Ahmad Shukre Haji Ismail, Penghulu Mukim Kota Setar/Alor Malai, Encik Zulkifli Abd Jalil, Penghulu Mukim Pumpong/Sungai Baru, Encik Zulkifle Ramli serta Ahli Majlis Bandaraya Alor Setar, Haji Abu Bakar Dahlan.

MKK kena pastikan tiada penduduk yang terpinggir

Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM
ALOR SETAR – Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah selaku ADUN Alor Mengkudu, YB. Dr Ismail Salleh menyeru kepada para penghulu serta ketua kampung perlu bekerjasama dalam memastikan tiada penduduk yang terpinggir daripada arus pembangunan kerajaan.

Katanya, ketua kampung di bawah seliaan penghulu berperanan sebagai penghubung di antara masyarakat dengan jabatan-jabatan kerajaan perlu mengenali penghulu masing-masing dalam memastikan moto Kedah Sejahtera tercapai.
Beliau berkata demikain dalam majlis taklimat dan dialog antara ADUN dengan Penghulu dan Majlis Ketua Kampung bagi DUN Angkat, Bakar Bata yang telah berlangsung di Pusat Aktiviti Pejabat Daerah Kota Setar.

“Ketua kampung perlu berhubung serta kenal penghulu mereka agar mereka dapat bekerjasama, bergerak bersama serta berbincang projek yang bakal dilakukan bagi membangun dan memajukan kawasan pentadbiran masing-masing.
“Saya dalam rangka menyediakan direktori nama serta nombor telefon penghulu-penghulu serta ketua-ketua kampung sebagai rujukan tuan-tuan bagi memudahkan untuk berkomunikasi,” ujar beliau.
Tambah beliau, mesyuarat perlu diadakan antara penghulu dengan ketua kampung bagi memastikan masalah berbangkit mengenai penduduk dapat diselesaikan serta projek yang dirancangkan berjalan lancar.

“Bagi penghulu yang ada ketua kampung sentiasa, dari segi pentadbirannya perlu disusun dengan baik, iaitu dari segi mesyuarat secara rasmi atau tidak mesti diadakan, bila ada masalah apa-apa boleh dibawa berbincang untuk penyelesaian.
“Jika mesyuarat tak ada atau jarang-jarang, pelbagai masalah berbangkit akan timbul, banyak benda tergendala, bila ada mesyuarat, kita boleh follow-up masalah untuk diselesaikan,” jelas beliau.

Tambah YB. Dr Ismail. sebagai pemimpin di peringkat akar umbi dalam pentadbiran negeri, ketua kampung perlu lebih bertanggungjawab ke atas tugas yang diamanahkan, yang mana produktiviti kerja mereka turut member impak kepada kerajaan.
“Kita perlu ada rasa gah yakni bukan sombong atau angkuh, tetapi perasaan tanggungjawab terhadap kampung seliaan kita dan turut rasa tanggungjawab dari segi Islam dalam menjalankan tugas, InsyaAllah diberkatiNya,” jelas beliau.

Pembangunan insan sangat penting untuk rakyat



Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM
ALOR SETAR – Apa gunanya sesebuah negeri yang maju dari segi pembangunan fizikal, namun modal insan di kalangan rakyat masih berada di tahap kritikal.


Oleh yang demikian, amatlah penting untuk mempastikan keseimbangan pembangunan antara fizikal dan modal insan bagi memastikan kesejahteraan dan kemajuan rakyat dapat diteruskan.
Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Badan-badan Bukan Kerajaan dan Pembangunan Insan, YB. Dr Ismail Salleh ketika menjadi tetamu rancangan Nasi Lemak Kopi O yang dihoskan oleh pengacara Aziz Desa pada program Sua Rasa TV9 di perkarangan Stadium Darul Aman, di sini.
Dalam usaha memantapkan modal insan serta pembangunan sosial, Kerajaan Negeri telah melaksanakan Kem Bina Sahsiah kepada pelajar sekolah menengah semasa cuti penggal persekolahan, di mana para pelajar didedahkan dengan motivasi, bimbingan kerjaya, sahsiah, agama dan moral.
“Ketidakseimbangan antara pembangunan fizikal dan manusia yang menyebabkan berlakunya masalah sosial di kalangan remaja kita, jadi cara perancangan yang saya buat dalam portfolio saya adalah untuk masa jangka panjang.
“Kita (kerajaan negeri) berusaha supaya setiap anak muda di Kedah, yang lepas sekolah rendah nak masuk sekolah menengah, bukan sahaja pandai sembahyang, tapi boleh jadi imam serta cemerlang dalam hidup,” jelas beliau ketika disoal oleh Aziz Desa.
Tambah beliau, Kedah tidak terkecuali daripada penularan wabak Influenza A (H1N1) yang melanda dunia, hingga hari ini, ianya berada di tahap yang minima, kini hanya tinggal seorang yang berada di unit rawatan rapi.
“Wabak Influenza A H1N1 di Kedah dah menurun, jadi sekarang berada di penghujung, dan di ICU pun ada satu kes sahaja, kes ini pun adalah kes kanak-kanak cacat, jadi dia duduk di situ (ICU) pun H1N1 semata-mata, tetapi disebabkan faktor cacatnya, iaitu kanak-kanak istimewa,” ujarnya.Selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyemai suasana kehidupan harmoni, bersatu padu di kalangan masyarakat pelbagai kaum, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan bajet kepada Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO).
Baru-baru ini Majlis Peguam Malaysia telah mengiktiraf Kerajaan Negeri atas kerjasama yang diberikan kepada badan ini dalam usaha memastikan keadilan ke atas hak asasi setiap rakyat. Kedah merupakan pusat bantuan guaman termida di Negara ini, mengalahkan negeri-negeri lain.
“Saya berterima kasih kepada NGO-NGO yang telah dating ke negeri kita untuk melakukan aktiviti kerajaan negeri yang tidak dilakukan oleh agensi atau jabatan-jabatan kerajaan negeri, jadi NGO membantu kita (kerajaan) secara langsung dan tidak langsung.
“Setiap tahun kita ada bajet kepada NGO, dan pada tahun ini pun akan dibentangkan, ada bajet khusus untuk NGO, di mana mereka ini tak minta dana yang banyak, jadi kita tak ada masalah untuk membantu mereka (NGO),” ujar beliau.

Rabu, 2009 Oktober 28

Awas taktik UMNO

KUALA LUMPUR 27 Okt:

Ahli PAS diingatkan agar berwaspada dan sentiasa berhati-hati serta bijak dalam membaca sebaran berita di internet khususnya dalam blog, facebook dan juga media massa lainnya.Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, pada waktu ini PAS mendapati semakin banyak tuduhan liar dilontarkan oleh 'cyber trooper' Umno yang menyamar sebagai ahli PAS atau wakil pimpinan PAS di dalam media alternatif ini.

"PAS mendapati mereka mengunakan isu Unity Goverment dan juga cadangan Tuan Guru Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat bagi menunjukan bahawa PAS kini berpecah."Pemimpin Umno seperti Najib Tun Razak, Muhyiddin Yasin dan Zahid Hamidi bersilih ganti menangguk di air keruh dengan memberikan komen seolah-olah PAS kini sedang berpecah yang mana sebahagiannya mengambarkan seperti ada kumpulan dalam PAS yang mahu bergabung dalam Umno, sebahagian lagi mahu Mursyidul Am dan Presiden letak jawatan,

"jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.Tambahnya,dalam ucapan Muktamar yang lepas, telah dijelaskan oleh Presiden PAS bahawa PAS tiada hasrat untuk bergabung dengan Umno dan isu Unity Goverment tidak berbangkit lagi."Sehubungan dengan itu, kewujudan fitnah seolah-olah wujudnya pertemuan sulit pimpinan PAS yang Pro Unity Goverment dan Pro-Erdogan wajar difahami ahli sebagai satu gerak kerja saraf Umno untuk memecahkan parti ini kepada dua kelompok."Sesungguhnya tiada sebarang pertemuan sulit yang dilaporkan dan belum ada bukti yang diterima diperingkat kepimpinan PAS tentang kewujudan dua kumpulan ini melainkan individu-individu yang berbeza pandangan dengan pimpinan,"jelasnya lagi.

Selain itu katanya,PAS melihat, selain jalan Musyawarah perlu juga Laporan Disiplin dibuat bagi mengesahkan setiap tuduhan yang dibuat untuk memudahkan kita mengetahui asal punca masalah ini."Lembaga Disiplin PAS juga membuka ruang yang seluas-luasnya terhadap mana-mana pimpinan dan ahli yang mempunyai bukti mengenai fitnah ini atau mereka-mereka yang menyebarkan berita bahawa terdapat segelintir pimpinan PAS sedang berusaha membawa PAS bergabung dengan Umno untuk membuat Laporan Disiplin. Jika ada laporan dan bukti yang sahih kita akan membuat keputusan, walaupun yang didakwa itu Mursyidul Am, Presiden atau mana-mana pemimpin tertinggi parti sekalipun,"katanya.

Beliau juga yakin kerja-kerja fitnah CyberTrooper Umno dan mereka yang kononnya menjadi ahli PAS tetapi bekerja untuk Umno akan mati dengan sendirinya jika sebarang Laporan Disiplin gagal dibuat dan tiada sebarang pembuktian diserahkan kepada pihak Lembaga.Oleh itu,tambahnya, PAS meminta ahli bertenang dan tidak membuat sebarang ulasan terbuka mengenai perkara ini dan memberikan ruang kepada pemimpin bermusyawarah bagi mencari punca masalah ini."Gunakanlah saluran yang ada (Lembaga Disiplin) bagi mencari kebenaran dan menguatkan Ukhuwah dalam parti.

"Marilah kita bersama-sama melakukan solat hajat moga mereka yang cuba menganiaya parti ini diberikan hidayah oleh Allah untuk menginsafi perbuatan mereka. Kita mohon pada Allah semoga PAS dileraikan dari belenggu fitnah dan perjuangan kita terus mendapat hidayah dari-Nya,"tegasnya.

Seminar ganti muktamar khas



PAS adakan seminar ganti muktamar khas

Zulkifli Sulong Thu Oct 29, 09 1:36:34 am MYT
KUALA LUMPUR, 29 Okt: PAS akan mengadakan satu seminar khas bagi membincangkan halatuju parti itu bagi menggantikan muktamar khas yang dicadangkan oleh Mursyidul Amnya.
Seminar yang bakal disertai oleh lebih 1000 perwakilan dari seluruh negara itu akan diadakan 7 November ini di Dewan Datuk Fadzil Noor, Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, Kuala Lumpur.
Antara yang akan dijemput memberikan pandangan nanti adalah Profesor Dr Abdul Aziz Bari.
Demikian beritahu Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam sidang medianya jam 1.00 pagi tadi.
Sidang media itu diadakan selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Pusat yang diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.
Selain itu, mesyuarat khas itu juga mengambil ketetapan agar Lembaga Disiplin PAS yang dipimpin oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyiasat semua dakwaan terhadap PAS Selangor.
Lembaga ini akan mencadangkan tindakan disiplin kepada mana-mana pihak yang didapati bersalah melanggar disiplin parti.
Dalam sidang media itu juga, Abdul Hadi memaklumkan, isu Kerajaan Perpaduan ditutup sepenuhnya dan tidak akan berbangkit lagi.
Turut serta dalam sidang media selepas mesyuarat berjalan mulai jam 9.00 malam hingga 1.00 pagi itu adalah Naib Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahudin Ayub, Mahfuz Omar dan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali serta Ketua Pemuda, Nasrudin Hassan Tantawi.

13 tahun defisit, BN lemah urus ekonomi-Anwar

29 October 2009

oleh HarakahDaily
KUALA LUMPUR, 26 Okt: Masalah defisit sebenarnya berpunca dari kegagalan BN yang mengurus ekonomi untuk menganjakkan negara dan rakyat ke arah ekonomi tambah nilai sehingga menjejaskan pendapatan negara.Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelbagai langkah dan peruntukkan diumumkan oleh kerajaan untuk memacu ekonomi mencapai tahap maju seperti Singapura, Korea Selatan namun malangnya, statistik terus menunjukkan kemerosotan pendapatan yang secara langsung menyumbang kepada masalah defisit.

Walaupun belanjawan defisit kali ini lebih kecil daripada yang dijangkakan tetapi banyak lagi belajwan-belanjawan tambahan, pakej rangsangan, perbelanjaan off-budget dan sebagainya akan dibentangkan sepanjang tahun 2010 menyebabkan defisit akan terus meningkat."Adakah benar kerajaan berbelanja defisit kerana kebajikan rakyat didahulukan atau kelemahan dalam pengurusan ekonomi pimpinan kerajaan sekarang.

"13 tahun berturut-turut kerajaan membentang belanjawan deficit baik dalam keadaan harga petroleum dan komoditi melambung tinggi, ekonomi mengalami pertumbuhan pesat apatah lagi dalam keadaan kemelesetan ekonomi," katanya sewaktu perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 tengah hari tadi di Dewan Rakyat.Akibatnya kata Anwar hutang negara meningkat 18.3 peratus daripada RM306.4 billion pada tahun 2008 kepada RM362.5 billion tahun 2009.

Katanya lagi keutamaan dalam pembangunan ekonomi jauh tersimpang di mana kerajaan memberi keutamaaan yang berlebihan kepada pembangunan infrastruktur awam dan mengabaikan keperluan infrastruktur sosial dan teknikal seperti peningkatan kualiti sumber manusia, pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan, pencegahan jenayah dan sebagainya."Rasional ekonomi kerajaan BN berlandaskan Ekonomi Naungan (Patronage Economy)."Pembinaan projek-projek dan infrastruktur awam mega merupakan jalan paling mudah dan cepat mengagih habuan kepada konco-konco politik dan kontraktor-kontraktor Umno-BN.

Ini membantut penyediaan iklim persaingan yang sihat dalam ekonomi," katanya.Selain itu, Anwar turut menyentuh kelemahan yang menjejas daya saing Negara perlu diperbaiki seperti pencegahan jenayah, sistem perundangan dan kawalan pelaburan bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan yang telah banyak ditawar oleh Negara-negara lain.Sebelum itu, beliau turut merujuk laporan �World Competitiveness Report 2009/2010� yang dikeluarkan oleh �The World Economic Forum (WEF)� di mana Malaysia jatuh dari tangga 21 kepada 24 kerana kelemahan dalam perundangan manakala pentadbiran yang jatuh dari tangga 17 kepada 43 dalam masa 2 tahun.

" Selain itu peningkatan kadar jenayah, saiz belanjawan defisit dan kelemahan dalam sistem penyampaian yang sudah ketinggalan menjadi kebimbangan juga."Pelabur menjadikan laporan ini sebagai panduan dalam menentu tempat mereka melabur. Lebih baik ranking Negara lebih menarik kita kepada pelabur," katanya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.Dalam perbahasannya juga, Anwar turut membangkit persoalan kemerosotan keselamatan dan peningkatan jenayah di bandar yang bukan hanya disebabkan kemajuan dan pembangunan ekonomi tetapi juga masalah kemiskinan dan ketidaksaksamaan dalam pengagihan kekayaan negara.

Perancangan ekonomi mesti diperbaiki dengan mengolah polisi bagi memasti keadilan sosial berlaku untuk semua kaum, katanya.Katanya lagi ekonomi yang berkembang pesat mengundang amalan kecurian dan penipuan seperti yang disaksikan dalam skandal WorlddotCom, Enron dan sebagainya hasil pertumbuhan pesat ekonomi Amerika Syarikat."Tidak kurang juga dengan apa yang berlaku dalam Negara seperti skandal Timedotcom, PKFZ, Perwaja dan banyak lagi yang masih dilindungi dan ditutup oleh pihak berkuasa.

"Tidak ada bezanya kecurian dan penipuan yang berlaku disini cuma penguatkuasa sibuk dengan bagaimana dokumen kerajaan boleh terdedah daripada menyiasat penyelewengan yang berlaku atau bagaimana bendera dibeli dengan harga RM2800 daripada menyiasat perbelanjaan peruntukan setahun dalam masa 2 bulan oleh YB-YB dulu, " katanya secara sinis.

Selasa, 2009 Oktober 27

Pemuda PAS bantah kaitkan peristiwa Memali dengan ajaran sesat

ALOR SETAR, 26 Okt: Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah mengecam penyiaran artikel oleh akhbar Kosmo! yang mengaitkan peristiwa Memali dengan ajaran sesat. Ketuanya, Ustaz Ahmad Yahya berkata, artikel tersebut merupakan satu tuduhan yang berniat jahat dan cuba mengeruhkan ketenangan para penduduk Memali khususnya dan para pendokong PAS amnya.
Tegas beliau, penulis artikel berkenaan jelas gagal memahami sejarah peristiwa itu apabila menyamakannya dengan ajaran sesat. "Peristiwa Memali adalah satu perjuangan rakyat menolak undang-undang zalim iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Ingin kami Pemuda PAS Kedah tegaskan ianya tidak langsung boleh disamakan atau sama sekali tidak berkait dengan ajaran sesat. "Kosmo! dengan sengaja telah membangkitkan fitnah yang sedang tidur! Secara tidak langsung Kosmo! bukan sahaja telah memfitnah Memali tetapi juga kepada PAS yang sehingga kini komited menentang ISA.

"Cukuplah dengan derita yang ditanggung sekian lama oleh ahli keluarga mangsa terbabit, tidak perlu lagi dibangkit dan mungkin menimbulkan tekanan kepada mereka," ujar Ahmad kepada Harakahdaily, sebentar tadi. Menurut beliau, para pejuang Memali yang terkorban dalam peristiwa 19 November 1985 itu bukan sahaja diiktiraf syahid oleh anggota Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah, Almarhum Tuan Guru Yahya Joned, malah Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu�adzam Shah juga pernah mencemar duli menyiram air mawar di pusara para syuhada. Malah kata Ahmad, isu Memali jelas satu penganiayaan apabila Kerajaan Malaysia akhirnya bersetuju membayar pampasan kepada ahli keluarga mangsa Memali melalui rundingan diluar mahkamah selain tidak pernah ada mana-mana pihak berkuasa agama yang menyatakan bahawa As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya sebagai sesat.

Untuk itu, beliau menuntut Kosmo! dan wartawan serta editor berkenaan tidak terus bermain api dengan segera membuat permohonan maaf secara terbuka. Sementara itu di Baling, para penduduk Memali bersama-sama Dewan Pemuda PAS Kawasan Baling telah mengadakan himpunan untuk menghantar laporan polis sebagai membantah penyiaran artikel tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Baling, jam 3 petang tadi. Kosmo! dalam cetakannya hari ini di mukasurat 11 ruangan Negara! kolum Di Sebalik Berita tulisan Zulkifli Manzor berhubung ajaran sesat di negara ini telah turut sama mengaitkannya dengan peristiwa Memali._ -DPPNKedah