Khamis, 19 Februari 2009

PAS Kawasan Alor Setar tambah kekuatan

Alor Setar: Pakatan Rakyat sedang bergerak dalam gelombang kedua selepas pilihanraya umum Mac tahun lalu dan akan mengambil alih kuasa di peringkat Pusat selepas Pilihanraya Umum ke 13 nanti.
Demikian keyakinan yang diberikan oleh ADUN Alor Mengkudu, Dr. Ismail Salleh sewaktu berucap di majlis penerimaan 136 borang keahlian baru PAS di kampong Padang Luar, Tok Sibil, dalam kawasan DUN Alor Mengkudu.
Menurut Dr. Ismail, berkembangan yang menarik itu bukan hanya berlaku di kawasan Alor Setar sahaja, bahkan di seluruh negeri Kedah.
“Kemasukan ahli-ahli baru yang terdiri dari golongan muda ke dalam PAS amatlah mengejutkan, mereka mewakili golongan yang tidak nampak masa hadapan rakyat jika negara terus menerus berada di bawah BN,” ujar beliau.
Dr. Ismail yang juga selaku Exco Kerajaan Negeri Kedah menasihatkan ahli-ahli PAS supaya tidak hanya bergembira menerima sokongan kuat rakyat kerana kehancuran UMNO.
“Sebaliknya biarlah kita bangun dengan kekuatan kita sendiri, setiap ahli yang menyertai PAS kena memberi komitmen sepenuhnya sebagai ahli, berpegang kepada prinsip dan matlamat perjuangan.



Dr. Ismail Salleh sedang menerima 136 borang keahlian PAS dan Ketua Cawangan PAS Kampung Padang Luar, Md Jelani Hassan.



“Kita berbeza dengan UMNO yang meletakkan kebendaan sebagai keutamaan sebaliknya asas perjuangan kita ialah untuk menuntut keredhaan Allah,” tegasnya.
Beliau menambah, selepas BN kalah teruk di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu mereka semakin bercelaru dan mula sedar bahawa BN sebagai parti yang berkuasa sudah berada di penghujung usia.
Rampasan kuasa yang berlaku di Perak, katanya, adalah menggambarkan bahawa BN akan melakukan apa sahaja untuk meneruskan hayat politik mereka sekalipun dengan cara tidak bermaruah dan melalui ‘pintu belakang.’
“InsyaAllah, tuan-tuan jangan bimbang di Kedah rampasan kuasa seperti itu tidak akan berlaku walaupun kita tahu mereka tidak henti-henti berusaha mendapatkan ADUN yang sanggup melompat,” ujar Dr. Ismail.
Di majlis tersebut, Pusat Khidmat Wakil Rakyat Alor Mengkudu telah mengedarkan bola dan jersi kepada cawangan-cawangan Pemuda PAS yang disampaikan oleh Dr. Ismail sendiri.

Tiada ulasan: