Sabtu, 24 Oktober 2009

"Tak perlu ada EGM"-Dato Seri Azizan

25 October 2009
Oleh SAFINA RAMLIutusankedah@utusan.com.my
ALOR SETAR 24 Okt. - Pas tidak perlu mengadakan Muktamar Agung Khas (EGM) untuk membersihkan parti daripada kumpulan prokerajaan perpaduan kerana yang wujud hanya sedikit kekeliruan dan salah faham di kalangan pemimpin parti itu.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, EGM yang dibuat oleh MCA dan UMNO berbeza, justeru beliau tidak nampak sebarang keperluan untuk Pas juga mengadakan EGM.

"UMNO buat EGM sebab pemimpinnya nak perkasakan parti ini melalui pindaan perlembagaan parti.
"MCA buat EGM sebab masalah dalaman pemimpin mereka dan saya rasa Pas tidak ada masalah sehingga perlu ke tahap nak buat EGM," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Azizan yang juga Menteri Besar Kedah berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu mengadakan EGM kerana mahukan Pas dibersihkan daripada kumpulan prokerajaan perpaduan.

Nik Aziz mahu EGM diadakan segera bagi mendapatkan keputusan sama ada pemimpin Pas yang menyokong perpaduan dengan UMNO diterima atau ditolak daripada parti itu.
Beliau menamakan tiga pemimpin bermasalah yang perlu 'dibersihkan' iaitu Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali.

Menurut Azizan, apa yang berlaku dalam parti itu hanya disebabkan perbezaan pendapat dan sedikit kekaburan mengenai sesuatu perkara.
"Perbezaan pendapat ini adalah satu rahmat dan ia tidak teruk seperti yang dikatakan oleh sesetengah pihak," katanya.

Tiada ulasan: