Rabu, 29 September 2010

Sewaktu FDI Malaysia merosot 81%.. Kedah catat pelaburan asing tertinggi di Malaysia!



Mengikut fakta yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kedah mencatatkan jumlah pelaburan masuk luar negeri yang tertinggi iaitu sebanyak RM1,580,619,651 ataupun RM1.58 billion. Ianya berdasarkan projek-projek yang telah mendapat kelulusan kerajaan negeri pada tahun 2009 dan bagi tempoh Januari hingga Jun bagi tahun 2010. Ia diikuti oleh Selangor sebanyak RM1,492,335,621.

Secara keseluruhan, yakni termasuk pelaburan dalam negeri, Kedah menduduki tangga ke tiga selepas Selangor dan Johor, iaitu sebanyak RM1,786,693,776 dari kesemua 14 buah negeri dalam Malaysia. Kedah yang dianggap negeri mundur oleh Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Dato’ Shafie Afdhal, tidaklah seteruk Sabah yang menduduki tangga ke sepuluh pada kedudukan jumlah pelaburan masuk.

Semua fakta yang dicatatkan itu dapat diakses di laman web rasmi MIDA. Ia bukan fakta yang direka-reka oleh jentera penerangan Pakatan Rakyat.

Pengerusi MCA Kedah, Datuk Chong Itt Chew dan ADUN BN Guar Chempedak, Dato’ Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail adalah pemimpin BN Kedah yang sangat ghairah bercakap kengenai ‘kemerosotan’ pelaburan masuk dalam negeri Kedah sejak Pakatan mengambil alih kerajaan. Mungkin kerana mereka ditugaskan oleh pihak BN negeri untuk menjaga isu berkaitan pelaburan.

Dengan penampilan fakta terbaru ini apakah mereka akan berhenti menyalahkan kerajaan negeri kononnya gagal menarik pelaburan asing masuk? Atau mereka akan menukar pula dakwaan bahawa itu semua adalah hasil kejayaan BN Pusat atau semua pelabur itu memulakan langkah sewaktu di zaman BN dan hanya memulakan operasi di zaman Pakatan.

Secara tradisi, BN akan terus mengaku terbabit dalam setiap pencapaian negeri yang cemerlang dan akan menyalahkan kerajaan negeri seratus peratus terhadap setiap pencapaian yang dianggap buruk. Itu fe’el semulajadi mereka. Biarkan BN terus mengaku kerana ‘mengaku’ adalah kerja yang sangat mudah lantaran tiada kos yang diperlukan. Cukup gigi, lidah dan kulit muka yang tebal.

Sebelum ini ketua pembangkang Kedah, Dato’ Seri Mahdzir Khalid membidas kerajaan negeri berhubung isu Perbdanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK). Apa yang pembangkang gambarkan ialah PKNK gagal diuruskan dengan baik di bawah kerajaan Pakatan Rakyat, tiada projek baru dan hanya meneruskan projek terdahulu.

Apa yang sebenarnya berlaku adalah sebaliknya. PKNK tidak pernah rugi pun sejak Pakatan mengambil alih pada Mac 2008. Ia berdasarkan keuntungan besar yang diperolehi iaitu sebanyak RM88.78 juta. Aset yang ditinggalkan dahulu tidak pernah luak, malah bertambah menjadi RM1.84 billion.

Tahun lalu PKNK meyumbang sebanyak RM15 juta kepada kerajaan negeri untuk pelbagai projek pembangunan dan kebajikan rakyat. Pembangkang mempersoalkan pula tindakan GLC menyumbang kepada kerajaan negeri, seolah-olah ia menjadi satu kesalahan. Walhal, apa salahnya keuntungan GLC dipulangkan kepada rakyat. Bukan kepada projek-projek politik seperti yang telah saya dedahkan dalam beberapa keluaran berhubung penyelewengan GLC di zaman BN.

Memang diakui PKNK yang ditinggalkan kepada kerajaan Pakatan dahulu adalah stabil, namun kepimpinan yang ada memantap dan menyempurnakan lagi. Beberapa pembaharuan dilakukan, antaranya melaksanakan system maklumat pengurusan (MIS) berkomputer terkini selain melantik Amanah Saham Kedah sebagai pengurus dana untuk mengurus dana dan saham tersenarai milik PKNK secara lebih efisien.

Pembangkang mempersoalkan kononnya kerajaan negeri tidak menjelaskan dasar dan hala tuju pembangunan negeri sehingga menyukarkan pihak pelabur membuat keputusan. Kelemahan ketara pembangkang sebenarnya ialah mereka tidak mengikuti perkembangan yang berlaku. Di mana-mana sahaja Menteri Besar sering menekankan bahawa Kedah akan dijadikan Belanda Timur iaitu negeri pertanian terulung di Malaysia. Kedah bakal menjadi pusat pembekal makanan pertanian yang terbesar, malahan pembangunan tanah akan diberi keutamaan kepada bidang pertanian.

Penumpuan dan kesungguhan memajukan bidang pertanian telah banyak membuahkan kejayaan. Kumpulan Ladang-ladang Perbadanan Kedah Sdn Bhd (KLPKSB) misalnya telah mencatat keuntungan besar iaitu sebanyak 600 peratus tahun 2009 berbanding tahun sebelum! Peningkatan keuntungan itu terlalu besar, tapi masakan ia berani dilaporkan oleh media-media primitif yang menjadi talibarut BN.

Dalam perkembangan yang lain Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) berjaya melunaskan hutang tertunggak daripada baki RM21 juta kepada hanya berbaki RM8 juta sehingga 30 Jun tahun ini.

Menurut Dato’ Bandar, Dato’ Khazali Din, pengurangan hutang itu adalah hasil daripada usaha MBAS meningkatkan kutipan cukai pintu, selain keberkesanan kutipan tunggakan cukai pintu yang turut berkurangan daripada RM21 juta kepada RM10 juta.
Ia juga satu rekod pencapaian yang membanggakan. Terdapat juga penyokong PAS yang marah kerana kononnya kerajaan negeri bersusah payah menjelaskan hutang piutang yang ditinggalkan BN. “BN tinggalkan najis, kita pula tolong sapu,” kata mereka. Mereka takut jadi macam Terengganu 2004. Lima tahun kerajaan PAS Terengganu bertungkus lumus membayar hutang yang ditinggalkan BN, senang-senang BN ambil balik Terengganu dengan hutang yang berkurangan.

Sebenarnya itulah antara amalan yang terkandung dalam prinsip demokrasi. Kerajaan pengganti bukat setakat mewarisi apa yang baik tetapi juga menanggung bebanan yang ditinggalkan. Jika kita enggan terima prinsip itu, lebih baik dari awal jangan cuba mengambil alih kerajaan.

Janganlah pula samakan Kedah dengan Terengganu 2004. Insya Allah Pakatan Rakyat akan terus berkuasa selepas pilihanraya umum ke 13, bukannya kerajaan sepengal.

Tiada ulasan: