Rabu, 10 Februari 2010

Gerakerja daftar pemilih Dun Bakar Bata dilancar




Semalam gerakerja daftar pemilih pengundi baru untuk Dun Bakar Bata dilancar dengan rasmi,bertempat dipejabat baru MTD/PKWR Dun Babar Bata.


Program yang dihadiri oleh hampir semua Ajk MTD bakar Bata dan MKK Bakar Bata dimulai dengan taklimat daftar pemilih oleh Pengarah Urusan daftar pemilih JPN,En Zulkifli Ismail.


Seterusnya program dirasmikan dengan rasminya oleh Yb Dr Ismail.Dalam ucapanya beliau menyamakan UMNO/BN sekarang seperti orang gila yang kelemasan,akan berbuat apa saja untuk mengekalkan kemenangan.Sebab itu kita mesti bersedia dari sekarang dan peluru yang paling ampuh untuk berhadapan dengan mereka iaitu daftar pemilih.

Selasa, 9 Februari 2010

Menulis semula Perlembagaan

Oleh Zukri Aksah
Hari ini termaktub satu sejarah dalam perjalanan demokrasi di negara kita bilamana Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan menolak keputusan Mahkamah Tinggi serta mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan, bahawasanya Datuk Seri Zambry Abd Kadir adalah Menteri Besar Perak yang sah dari segi undang-undang.
Penghakiman oleh panel lima orang hakim menyorot dua perkara penting dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perak iaitu Perkara 16 (6) dan 36 (2). Perkara 16 (6) menerangkan keadaan bilamana seorang Menteri Besar tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri, maka beliau sama ada menghadap Yang Amat Mulia Tuanku Sultan Perak memohon perkenan membubarkan DUN atau beliau secara bertanggungjawab meletak jawatan.
Nizar membawa kesnya ke mahkamah menggunakan Perkara ini, bahawa beliau telah menghadap Yang Amat Mulia Tuanku Sultan Perak memohon pembubaran DUN tetapi tidak diperkenankan. Dalam keadaan begini Yang Amat Mulia Tuanku Sultan Perak telah mengambil tindakan melantik Menteri Besar yang baru iaitu Zambry, pada ketika Nizar belum meletak jawatan. Berdasarkan Perkara 16 (6) ini, sebelum Nizar meletak jawatan, beliau masih Menteri Besar Perak yang sah dan tiada peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perak yang mengizinkan beliau, selagimana tidak hilang kelayakan di sisi undang-undang, dipecat oleh sesiapa, wa’ima oleh Yang Amat Mulia Tuanku Sultan Perak sekalipun. Dari sinilah krisis bermula…
Perkara 36 (2) pula adalah pernyataan umum tentang kuasa Yang Amat Mulia Tuanku Sultan Perak untuk membubarkan DUN, kerana ia umum, maka ia boleh digunakan sama ada dalam keadaan biasa atau luar biasa, sama ada untuk keperluan pilihanraya lima tahun sekali atau untuk keperluan-keperluan mendesak seperti yang berlaku di Perak.
Yang menarik untuk dibincangkan adalah bagaimana Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Nizar telah hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri hanya semata-mata berasaskan sebuah “pertemuan” di antara Yang Amat Mulia Tuanku Sultan Perak dengan 31 orang ADUN. Mahkamah mencatatkan bahawa adalah memadai dengan pertemuan tersebut untuk menjadi tanda bahawa DUN telah hilang kepercayaan terhadap Nizar.
Ini yang ditulis, dan ini untuk berpuluh atau beratus tahun akan datang bakal kekal sebagai sebahagian dari Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Tetapi kesan keputusan Mahkamah Persekutuan ini bukan hanya terhadap Negeri Perak tetapi ia juga “mencederakan” pemerintahan negeri lain.
Jika proses menentukan hilang kepercayaan terhadap seorang Menteri Besar begitu mudah boleh dilakukan hanya melalui sebuah “pertemuan,” bagaimana halnya bila pada 23 Mac 2008, Rosol Wahid yang mengetuai sekumpulan 22 orang ADUN BN di Terengganu menghantar memorandum kepada Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Terengganu, membantah perlantikan Ahmad Said sebagai Menteri Besar yang baru. Pada hari yang sama juga Ahmad Said menerima watikah perlantikan Menteri Besar dari MPPR. Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu Perdana Menteri Malaysia menyifatkan perlantikan Ahmad Said tidak mengikut perlembagaan kerana tidak mendapat sokongan majoriti ADUN BN.
Nah… jika status sebuah “pertemuan” boleh dipakai untuk mengesahkan bahawa Nizar telah hilang kepercayaan Ahli Dewan Undangan Negeri Perak, apa bezanya sebuah memorandum yang menggabungkan suara 22 orang ADUN? Kalau mengikut logik Mahkamah Persekutuan hari ini (yang sedang menulis semula perlembagaan), Ahmad Said menerima watikah perlantikan sebagai Menteri Besar dalam keadaan beliau, bukan sahaja hilang, tetapi tiada kepercayaan dari majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu. Salah? Rosol kena buat usul undi tidak percaya di DUN, memorandum tidak terpakai? Kalau memorandum tidak boleh pakai, maka “pertemuan” itu juga tidak bererti apa-apa.
Mahkamah Persekutuan hari ini juga menghukum rasionalnya “pertemuan” boleh menjadi penentu bahawa Nizar telah hilang kepercayaan DUN kerana tiada peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perak tentang usul undi tidak percaya. Memang tiada, kerana undang-undang kita digarap berkiblatkan gaya Westminster, seperti United Kingdom, Kanada dan Australia, terutamanya United Kingdom yang merupakan bekas penjajah kita. Mengikut gaya ini, usul undi tidak percaya diformalisasikan mengikut konvensyen berperlembagaan (constitutional convention). Maka Mahkamah Persekutuan hari ini telah lari dari gaya Westminster dan merujuk perlembagaan negara-negara seperti Jerman dan Sepanyol yang punya undang-undang bertulis tentang usul undi tidak percaya. Sekali lagi perlembagaan kita sedang ditulis semula…
Kalau benarpun keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini berasaskan kepada kepercayaan Yang Amat Mulia Tuanku Sultan Perak bahawa Nizar telah hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri, bagaimana mungkin di ketika Nizar belum meletak jawatannya, seorang Menteri Besar baru boleh dilantik? Jika Mahkamah Persekutuan mengatakan tiada peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perak tentang perlunya usul undi tidak percaya, maka Undang-Undang Tubuh yang sama tidak juga langsung memperuntukkan yang seorang Menteri Besar boleh dipecat oleh Yang Amat Mulia Tuanku Sultan Perak, tidak pula memperuntukkan yang seorang Menteri Besar boleh terlucut jawatannya semata-mata kerana sebuah “pertemuan.”
Kalaupun benar kata Mahkamah Persekutuan bahawa Zambry mempunyai sokongan majoriti, 31 dari 59 orang ADUN, bolehkah beliau dilantik sebagai Menteri Besar dalam keadaan Nizar belum meletak jawatan? Berdasarkan konvensyen berperlembagaan gaya Westminster yang selama ini menjadi rujukan kita sebagai salah sebuah negara Komanwel, dan ia juga selari dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, andai berlakunya usul undi tidak percaya, Nizar ada dua pilihan, pertama meletak jawatan, kedua mendapatkan kelulusan pembubaran DUN dan memanggil satu pilihanraya baru. Masalahnya, usul undi tidak percaya tidak pernah berlaku, Nizar tidak mahu meletak jawatan dan lebih cenderung dengan pilihan kedua iaitu pembubaran DUN dan pilihanraya baru, tiada masalah sama ada Nizar memohon perkenan Yang Amat Mulia Tuanku Sultan Perak berdasarkan Perkara 16 (6) atau 36 (2). Disinilah perkenan Yang Amat Mulia Tuanku Sultan Perak memainkan peranannya. Selagi Nizar belum meletak jawatan, selagi DUN belum dibubarkan dan pilihanraya baru tidak dipanggil, selagi itulah Nizar masih Menteri Besar Perak.
Nampaknya. bukan hanya sejarah ditulis oleh orang yang menang, undang-undang juga begitu! Selepas Nizar nanti tiba pula giliran Anwar yang menyerahkan nasib mereka kepada mahkamah. Apa yang saya mampu harapkan, teringat sebaris dialog dalam siri drama West Wing yang saya pernah tonton dahulu, “… sometimes opposition win…” Kadang-kadang sahaja, yang kadang-kadang itupun kadangkala dirampas, ingatlah itu.

Penyerahan elaun MKK Mukim Tajar




Satu majlis penyerahan elaun bulan Oktober,November dan December 2009 kepada MKK Mukim Tajar diadakan sebentar tadi bertempat di pejabat penghulu Mukim Tajar,Tuan Haji Fauzi.

Majlis yang serba ringkas itu dimulai dengan ucapan dan taklimat dari Adun Alor Mengkudu,Yb Dr Ismail.Selain dari penerangan tentang perlaksaan skim Kafalah yang baru dilancarkan baru-baru ini,seperti biasa Yb Dr menyampaikan suntikan semangat dan motivasi kepada MKK.



Rata-rata mereka melahirkan rasa syukur dengan elaun yang mereka perolehi.

Sabtu, 6 Februari 2010

Skim kafalah dilancar dengan rasmi







Hari ini Kedah melakar satu lagi sejarah apabila Kerajaan Negeri melancar skim kafalah dengan rasmi berkuatkuasa 1 jan 2010 oleh YAB Menteri Besar Kedah.

Skim kafalah yang disebut khusus dalam dewan undangan negeri yang lalu adalah idea yang disebut didalam manifesto Pas dalam pilihanraya umum 2008.


Sumbangan kafalah akan diberikan kepada keluarga yang miskin dan miskin tegar sebanyak RM 500 apabila berlaku kematian kepada mana-mana ahli dalam keluarga tersebut tanpa mengira had umur,bangsa dan ugama.

Kerajaan Negeri telah memperuntukan sebanyak 3.6 juta untuk skim ini semata-mata untuk meringankan beban keluarga yang menimpa musibah kematian.

Jumaat, 5 Februari 2010

Masalah rakyat diselami







Semalam satu perjumpaan dengan penduduk Kampung Pegawai,Alor Setar diadakan bertempat disalah sebuah rumah penduduk dikampung tersebut.

Penduduk Kampung Pegawai yang terlibat dengan projek jalan keretapi berkembar diarahkan untuk berpindah oleh pihak pemaju tanpa sebarang pampasan.

Jalan keretapi berkembar adalah projek usahasama keretapi berhad,MMC dan Gamuda.


Sebahagian besar dari mereka telah mendiami kampung tersebut lebih dari limapuluh tahun yang lalu.Mereka mempunyai geran tanah berstatus TOL yang telah diperkecilkan kawasan nya semasa menyambung pajakan selama 99 tahun pada tahun 1998.


Yb Dr Ismail akan membawa perkara ini kepihak atasan untuk mengetahui status tanah yang sebenar dan meyelesaikan masalah tersebut.

Sehari bersama rakyat di UPU Kerian Pulau




Hari ini Yb Dr Ismail meneruskan lagi program mesra bersama rakyat.Program yang diatur oleh dewan Muslimat Pas Kawasan itu bermula seawal jam 9 pagi.

Sementara muslimat menjalankan banci keluarga dan juga pendaftaran pemilih baru,Yb Dr Ismail sempat menyelami dan menangani masalah penduduk setempat.Beliau menziarahi golongan warga emas yang kurang mampu serta meninjau prasarana yang perlu dibaiki seperti jambatan dan jalanraya.

Muslimat meneruskan bancian keluarga disebelah petang.

Pada sebelah malamnya pula diadakan ceramah kelompok yang disampaikan oleh Yb Ustaz Izat Shauki,Tuan Haji Adnan Saad dan Yb Dr Ismail sendiri.

Rabu, 3 Februari 2010

Asrama puteri dibuka




Semalam saya sempat membaca Yasin untuk mendoakan keberkatan asrama puteri Madrasah AlTaklimiah AlKhairiah Tok Keling

Asrama yang pembinaannya hanya mengambil masa 3 bulan,hanya mampu disiapkan tingkat bawahnya sahaja.Setelah acara pecah tanahnya dilakukan oleh Yab DS Mb, pihak kontraktor telah bertungkus lumus untuk menyiapkan tingkat bawah dahulu.Kos pembinaan sehingga kini mencecah RM 300,000.00.Pembinaan dua tingkat lagi akan diteruskan untuk menampung jumlah pelajar yang melebihi 250 orang.


Orangramai diseru untuk meneruskan sumbangan agar pembinaan dua tingkat lagi dapat diteruskan.

Selasa, 2 Februari 2010

Seminar memperkasakan parti Pas Kawasan Alor Setar




Satu seminar untuk memperkasakan parti Pas Kawasan Alor Setar telah diadakan pada hari sabtu lepas,31 Jan 2010.
Seminar itu telah dihadiri oleh semua AJK cawangan-cawangan, dewan pemuda dan muslimat.
Sebanyak dua kertaskerja telah dibentang dalam seminar yang bermula pada jam 9 pagi dan berakhir pada jam tiga petang.
Kertaskerja yang bertama telah dibentang oleh Ustaz Idris Ahmad,ketua penerangan Pas Pusat.Beliau banyak menyentuh peranan dan tanggungjawab pemimpin dan pengikut.
YDP Pas Kawasan Alor Setar,Yb Dr Ismail Salleh telah membentang kertaskerja kedua yang bertajuk misi dan visi Pas Kawasan.
Peserta seminar telah diberi peluang untuk berdailog dengan pembentang kertaskerja diakhir pembentangan masing-masing.
Seminar berakhir dengan penyampaian watikah kepada semua AJK.
Peserta meninggalakan seminar dengan semangat dan azam baru untuk sama-sama membawa Pas Kawasan kesatu tahap yang lebih membanggakan.

Isnin, 1 Februari 2010

Menzirahi MKK Alor semela


Tanggal 23 Nov 2009,beberapa hari sebelum hari raya Aidil Adha adalah hari malang buat MKK Alor Semela,En Ibrahim Md Saud.

Hari tersebut beliau terlibat dalam satu kemalangan yang menyebabkan isterinya meninggal dunia.Beliau bersama dengan anaknya yang berumur 4 tahun dimasukan ke HSB.Beliau dirawat serta pembedahan dilakukan dan terpaksa tinggal dihospital beberapa minggu.

Kini beliau hampir pulih sepenuhnya walaupun kesan parutnya masih jelas kelihatan.

Anak kecilnya sedang nyenyak tidur,mungkin keletihan kerana baru pulang dari pra sekolah.

Ahad, 31 Januari 2010

Pendeknya akal MCA




Taman Saga yang terletak di Jalan Alor Mengkudu tak pernah sunyi dari isu politik,sebagaimana garangnya warna merah biji saga.

Isu sebenarnya tidaklah banyak sangat,berlegar dari isu sampah sehingga longkang tersumbat sebagaimana taman-taman yang lain juga.Ianya telah ditangani dengan baik.

Taman Saga yang didiami oleh majoriti kaum Cina golongan berpendapatan sederhana dan golongan kaya adalah kubu kuat MCA sebelum ini.Tsunami politik 2008 telah mengubah senario ini.Kini mereka lemas dan hampir-hampir pupus.Keadaan MCA di Taman Saga samalah orang yang lemas,akan mencapai apa saja yang ternampak dihadapan matanya demi untuk menyelamatkan nyawa,walaupun benda yang dihadapan matanya itu adalah sabut yang timbul.

Tsunami dalaman MCA telah memburukan lagi keadaan ini.Tempias pertembungan Ong Tee Kiat-Chuah Sooi Lek-Liong Tiow Lai terkena MCA Taman Saga.

Demi survival politik golongan tertentu MCA Taman Saga yang sudah tenggelam timbul,maka diwujudkan isu-isu untuk memburukan Kerajan Pakatan Rakyat,secara tidak langsung ditujukan kepada ADUN Alor Mengkudu yang juga tinggal di Taman Saga.
Diantara isu yang ditimbulkan adalah:

1.Menara telekomunikasi
2.Penurapan jalan masuk ke Taman Tungku Yaakob
3.Banjir kilat
4.Taman permainan yang tidak diselengara
5.Longgokan sampah di jalan masuk ke Taman Saga 4
6.Timbunan bahan binaan disepanjang jalan masuk ke Taman Saga 4

Satu gotong royong anjuran pkwr Alor Mengkudu,penduduk Taman Mangga,MBAS dan e-Idaman telah diadakan pada Jumaat 22 Jan 2009 untuk menyelesaikan sebahagian dari masaalah diatas.

Tetapi malang mereka yang berkokok kuat dari Taman Saga sendiri tidak menyertai gotong royong ini dengan berbagai alasan.

Hari ini mereka menaikan bendera kati di jalan masuk ke Taman Saga 4.Itulah mentaliti golongan desperado MCA di Taman saga yang menunggu hari untuk dikuburkan.

Ziarah JKKP




Doktor tanpa sempadan.Itulah ungkapan yang paling sesuai diberikan kepada Yb Dr Ismail,Adun Alor Mengkudu yang juga Exco kerajaan negeri.Beliau turun padang di Dun angkat Bakar Bata dalam program ziarah serta memberi sumbangan.
Beliau sempat menziarahi seorang jkkp di Taman Wira Mergong yang mengalami lumpuh separuh badan akibat darah tinggi yang dialaminya.

Sumbangan kerusi roda



"Hari ini akan menjadi ingatan kepada saya buat selama-lamanya,"kata seorang pesakit di Selarong Lalang setelah menerima sumbangan kerusi roda.

Segala-galanya telah berubah kepada seorang pengidap darah tinggi setelah beliau mengalami angin ahmar sejak dua tahun yang lalu.Kehidupan beliau berubah,terperap dirumah sepanjang hari.Beliau tidak lagi dapat kesurau sebagaimana biasa walaupun jaraknya tidak sampai sepuluh meter.

Tetapi hari ini telah menghidupkan kembali hari-hari lampau beliau walaupun terpaksa berada diatas kerusi roda hasil sumbangn wakil rakyat DUN Alor Mengkudu,Yb Dr Ismail bin Salleh.

Jumaat, 20 November 2009

Gotong royong di Taman Desa Kamila bersama Yb Dr Ismail







Alor Mengkudu,20 Nevember:

Satu program gotong royong telah diadakan pagi tadi,Jumaat 20 November.

Program yang dianjurkan oleh ahli MBAS,Encik Daniel bersama dengan MKK taman tersebut telah berjaya mendapat kerjasama lebih dari seratus orang penduduk.Ia bermula seawal 8.00 pagi dan berakhir sekitar 11.00 pagi.Kerjasama dari pekerja-pekerja MBAS dan E-Idaman sangat memuaskan.

Dalam ucapan YB Dr Ismail,beliau mengucapkan terimakasih kepada semua yang terlibat.Program seumpama ini bukan sahaja bertujuan untuk membersihkan longkang,memotong rumput dan membersih kawasan semata-mata tetapi pada masa yang sama mendidik masyarakat akan tanggung jawab untuk menjaga kebersihan.

Beliau mencadangkan supaya program seumpama ini akan diteruskan dimasa-masa akan datang.

Diakhir program gotong royong, jelas kelihatan perasaan gembira dikalangan penduduk taman tersebut dan mereka menyatakan rakaman terimakasih terutamanya kepada MBAS dan E-Idaman.
gram

Selasa, 17 November 2009

DUN Alor Mengkudu dilanda banjir











Alor Mengkudu,17 Nov 2009:


Banjir telah melanda negeri Kedah.Setelah gelombang pertama lebih dari dua minggu yang lalu yang telah menyebabkan beberapa daerah dilanda banjir.Antara daerah-daerah tersebut adalah Padang Terap,Kubang Pasu dan Kota Setar.

Kini negeri Kedah sekali lagi dilanda banjir,dan diantara daerah yang terlibat sekali lagi Daerah Kota Setar yang didalamnya mengandungi DUN Alor Mengkudu.

Walaupun hanya satu tempat pemindahan setakat ini iaitu di Pulau Binjai tetapi sebahagian besar DUN alor Mengkudu digenagi air banjir.
Dalam kesibukan sidang DUN pembentangan budget 2009 selama tiga hari dari 17-19 November,ADUNnya masih sempat meluangkan masa melawat mangsa-mangsa banjir serta memberi sedikit sumbangan kepada mereka.

Ahad, 15 November 2009

Mencuci Tangan Asas Utama Pencegahan Penyakit Berjangkit



Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

YAN – Penyakit sememangnya mudah merebak, tetapi ianya bukan mustahil untuk dicegah atau dikawal. Siapa sangka dengan amalan yang mudah dan murah, iaitu mencuci tangan menjadi asas utama dalam pencegahan penyakit berjangkit seperti wabak Influenza A (H1N1) yang menular Negara sejak April lalu.

Wabak ini yang dikenal pasti di Mexico pada April 2009, dengan pantas telah menular di Malaysia pada Jun 2009. Ini disebabkan faktor pergerakan manusia yang tidak dapat dikawal, demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri Kedah, YB. Dr Ismail Salleh pada Majlis Sambutan Hari Kesihatan Sedunia Peringkat Negeri Kedah yang telah diadakan di Hospital Yan.Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah telah mencemar duli berangkat ke majlis tersebut bagi menyempurnakan perasmiannya.


Turut berangkat adalah KDYMM Tuanku Sultanah Kedah.“Sambutan pada hari ini adalah untuk memastikan semua kemudahan kesihatan dan anggota kesihatan adalah merupakan nadi utama dalam menyelamatkan mangsa semasa bencana dan juga menjaga kepentingan kesihatan awam.” katanya.“Kementerian Kesihatan Malaysia amnya dan Jabatan Kesihatan Kedah khususnya prihatin dan sentiasa berusaha memastikan semua kemudahan kesihatan dan anggota kesihatan sentiasa berada siapsedia menghadapi bencana alam, perang dan wabak penyakit” jelas beliau.


“Sebagai contoh Influenza A (H1N1) yang menyebabkan 77 kematian di seluruh Negara dan 7 kematian di Kedah, dengan usaha anggota kesihatan dan kemudahan kesihatan yang terkini, wabak dapat dikawal hingga ke tahap yang minima” katanya lagi.Dr. Ismail seterusnya menjelaskan, “Jika wabak tak dapat dikawal dengan baik, ianya akan meningkat, jadi Kementerian Kesihatan mengambil langkah bijak dan wajar, perlu ditangani dengan baik, antara langkah yang kita buat adalah mendidik semula rakyat dengan cara yang paling mudah dan murah, iaitu cuci tangan serta etika ketika bersin”.


Tambah beliau, pentingnya usaha-usaha bersepadu penduduk bagi menghadapi cabaran kesihatan sekiranya berlaku bencana. Kerjasama semua pihak dalam menggabungkan kepakaran bagi mengurangkan kesan kesihatan sekiranya bencana alam, perang dan wabak penyakit.“Kemeterian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan Kedah merupakan agensi utama dalam menggerakkan usaha-usaha kesiapsiagaan seperti mereka bentuk dan membina struktur kemudahan kesihatan yang mampu menghadapi ancaman krisis”.


“Dalam pada itu, sistem kerja yang cekap dan anggota yang terlatih merupakan penyumbang ke arah menjamin perkhidmatan berterusan apabila berlaku kecemasan. Namun, usaha menangani masalah kesihatan bukanlah tanggungjawab Jabatan Kesihatan semata-mata, tetapi ia juga harus dipikul bersama oleh lapisan masyarakat termasuk individu, masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan, sektor swasta serta agensi-agensi kerajaan yang lain,” jelas beliau.

Khamis, 12 November 2009

Budaya amalan kebersihan tunggak kehidupan yang selesa dan diredhai







Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM
YAN

Sikap membudayakan amalan kebersihan amat penting dalam kehidupan harian kerana ianya menjadi tunggak kehidupan yang selesa dan harmoni selain menjadi lambang keutuhan aqidah seseorang dan disukai oleh Allah SWT.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah bertitah demikian pada Majlis Sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2009 Peringkat Negeri Kedah yang berlangsung di Hospital Yan.

“Rasulullah S.A.W. bersabda, yang bermaksud kebersihan itu sebahagian daripada iman. Islam menganjurkan umatnya sentiasa mengamalkan kebersihan, mencakupi kebersihan diri, keluarga , tempat tinggal dan tempat beribadat kerana suasana bersih dan suci membawa kepada persekitaran sihat, selamat dan impak kesejahteraan kepada umum,” titah baginda.

Amalan kebersihan adalah sikap yang mulia berbentuk menyeluruh kerana Islam menganjur umatnya sentiasa bersih yang menjadi lambang ketamadunan Islam, iaitu pencapaian satu bentuk budaya tinggi.

Baginda menasihatkan, pengabaian amalan ini sebenarnya mengundang banyak musibah dan masalah kepada manusia keseluruhannya. Oleh itu, umat Islam dituntut untuk menjaga kebersihan.

“Mengabaikan kebersihan bermakna kita dengan sengaja mengundang pelbagai penyakit seperti cirit-birit, denggi dan keracunan makanan. Untuk melahirkan persekitaran yang bersih, beta menyarankan agar beberapa langkah perlu dihayati.”, titah Baginda.

“Pertama, tingkatkan kesedaran terhadap kebersihan diri, tempat tinggal, tempat beribadat, tempat kerja dan seluruh tempat awam sebagai cermin kemurniaan ajaran Islam yang mengutamakan kebersihan dalam semua bidang kehidupan”.

“Setiap individu daripada semua kalangan, sama-sama memikul tanggungjawab dan menanam sikap suka kepada kebersihan secara berterusan dengan melaksanakan setiap amalan ini setiap masa bagi menghindari berlakunya kekotoran di merata tempat”.

“Kita sama-sama mendisiplinkan diri bagi menjaga imej Islam yang memntingkan kebersihan dengan melahirkan persekitaran yang sejahtera dan selesa,” titah Baginda.

Hari Kesihatan Sedunia disambut di seluruh dunia pada 7 April setiap tahun mempunyai tema yang berbeza yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu kesihatan global yang penting.

Pada tahun ini, titah Baginda, tema ‘Pastikan hospital dan fasiliti kesihatan selamat dan mampu menyelamatkan nyawa semasa krisis’ dipilih kerana terdapat pelbagai insiden kebelakangan ini yang berlaku di luar negara seperti bencana alam yang telah memusnahkan hospital dan fasiliti kesihatan.

“Apabila hospital terjejas, maka sudah pasti perkhidmatan perubatan akan menerima kesannya, sebagai contoh terbaru, bencana alam gempa bumi di Padang, Indonesia pada penghujung September tahun ini, telah memusnahkan beberapa kemudahan hospital yang mengakibatkan perkhidmatan perubatan turut terjejas”.

“Beta difahamkan bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia menekankan tiga kata kunci utama bagi sesebuah hospital yang selamat, yang pertama, selamat, iaitu hospital itu selamat dari segi struktur, teguh dan tidak runtuh semasa menimpa bencana”.

“Kedua adalah berfungsi, iaitu hospital masih dapat meneruskan perkhidmatannya walaupun semasa atau selepas bencana, dan yang ketiga adalah keutuhan, iaitu setiap hospital masing-masing mempunyai pelan kontigensi semasa berlakunya bencana disamping mempunyai anggota kesihatan yang terlatih bagi menghadapi situasi bencana”.

“Ketiga-tiga aspek ini penting bagi mencapai tahap sebuah hospital atau fasiliti kesihatan yang selamat, ini kerana jika hospital runtuh maka pesakit dan anggota kesihatan akan terdedah kepada kecederaan dan kemungkinan juga akan meninggal dunia,” titah Baginda.

TPM arah ADUN Kota Siputeh hadir sidang DUN, Arahan Muhyiddin undang kekecohan dalam DUN Kedah.

Tidah habis dengan kemelut perlembagaan dan kekecohan sidang DUN di Negeri Perak, nampaknya Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin hari ini membuat arahan yang akan mengundang kepada kekecohan sidang DUN Kedah dengan mengarahkan ADUN Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif supaya menghadiri sidang DUN Kedah yang dijadualkan Selasa ini.

Beliau nampaknya membuat arahan yang membelakangi kuasa Speaker yang tidak boleh dicabar dan dipertiakaikan oleh mana-mana pihak termasuklah mahkamah. Muhyiddin dipetik sebagai berkata walaupun Speaker DUN Datuk Dr Abdul Isa Ismail menganggap Abu Hasan hilang kelayakan sebagai ADUN, namun BN memegang prinsip apa yang diputuskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bahawa tiada berlaku kekosongan kerusi DUN Kota Siputeh dan Abu Hasan adalah wakil rakyat BN yang sah.

"Abu Hasan masih ahli Yang Berhormat secara sah dan speaker (DUN) tidak boleh menghalang beliau dari menghadiri sidang dewan itu. SPR umum tiada kekosongan dan tidak ada pilihan raya kecil, jadi apa kuasa speaker itu saya tak tahu," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Gunung di Alor Star.

Dr Abdul Isa baru-baru ini berkata beliau menyifatkan Abu Hasan bukan lagi ADUN walaupun mahkamah belum membuat sebarang keputusan mengenai kedudukan wakil rakyat itu.

Katanya Abu Hasan hilang kelayakan sejak 17 Ogos lepas setelah gagal menghadiri sesi DUN dua kali berturut-turut yang menyalahi Perkara 51 Undang Undang Tubuh Kerajaan Kedah (UTKK).

Beliau sebelum ini memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan SPR yang mengekalkan Datuk Abu Hasan Sarif sebagai ADUN kawasan Kota Siputeh.

Dewan Undangan Negeri Kedah akan bersidang mulai Selasa minggu depan bagi membentangkan bajet negeri 2010

Peguam: Wakil BN langgar perlembagaan

Peguam Speaker DUN Kedah, Abd Isa Ismail berhujah bahawa ADUN Kota Siputeh telah melanggar Perkara 51 undang-undang tubuh negeri dengan tidak menghadiri dua persidangan DUN berturut-turut, maka Datuk Abu Hasan Sarif tidak berhak mendakwa beliau masih wakil rakyat BN yang sah.

Sulaiman Abdullah juga berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak boleh memutuskan sebaliknya kerana ia bertindak di luar bidang kuasanya secara tidak sah dan tidak munasabah apabila enggan mengisytiharkan kerusi tersebut kosong.

Beliau menyenaraikan beberapa keputusan suruhanjaya itu yang didakwa tidak rasional:

* SPR bertindak secara tidak sah apabila ia memutuskan tiada kekosongan bagi kerusi tersebut;

* SPR bertindak secara tidak sah menurut undang-undang, tidak munasabah dan sewenang-wenangnya apabila menerima surat cuti Abu Hasan yang telah ditolak oleh Speaker;

* SPR bertindak secara tidak sah apabila memutuskan Speaker harus merujuk perkara tersebut kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Kedah sebelum menguatkuasakan Perkara 51 perlembagaan negeri.

Speaker Kedah mencabar keputusan SPR awal September lalu yang menyatakan kerusi Kota Siputeh tidak kosong kerana Abu Hasan "tidak menghadiri dua mesyuarat berturut-turut dalam dua penggal yang berbeza, bukan dua mesyuarat dalam satu penggal yang sama", selain memohon mahkamah mengisytiharkan kerusi tersebut kosong.