Khamis, 12 November 2009

Budaya amalan kebersihan tunggak kehidupan yang selesa dan diredhai







Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM
YAN

Sikap membudayakan amalan kebersihan amat penting dalam kehidupan harian kerana ianya menjadi tunggak kehidupan yang selesa dan harmoni selain menjadi lambang keutuhan aqidah seseorang dan disukai oleh Allah SWT.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah bertitah demikian pada Majlis Sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2009 Peringkat Negeri Kedah yang berlangsung di Hospital Yan.

“Rasulullah S.A.W. bersabda, yang bermaksud kebersihan itu sebahagian daripada iman. Islam menganjurkan umatnya sentiasa mengamalkan kebersihan, mencakupi kebersihan diri, keluarga , tempat tinggal dan tempat beribadat kerana suasana bersih dan suci membawa kepada persekitaran sihat, selamat dan impak kesejahteraan kepada umum,” titah baginda.

Amalan kebersihan adalah sikap yang mulia berbentuk menyeluruh kerana Islam menganjur umatnya sentiasa bersih yang menjadi lambang ketamadunan Islam, iaitu pencapaian satu bentuk budaya tinggi.

Baginda menasihatkan, pengabaian amalan ini sebenarnya mengundang banyak musibah dan masalah kepada manusia keseluruhannya. Oleh itu, umat Islam dituntut untuk menjaga kebersihan.

“Mengabaikan kebersihan bermakna kita dengan sengaja mengundang pelbagai penyakit seperti cirit-birit, denggi dan keracunan makanan. Untuk melahirkan persekitaran yang bersih, beta menyarankan agar beberapa langkah perlu dihayati.”, titah Baginda.

“Pertama, tingkatkan kesedaran terhadap kebersihan diri, tempat tinggal, tempat beribadat, tempat kerja dan seluruh tempat awam sebagai cermin kemurniaan ajaran Islam yang mengutamakan kebersihan dalam semua bidang kehidupan”.

“Setiap individu daripada semua kalangan, sama-sama memikul tanggungjawab dan menanam sikap suka kepada kebersihan secara berterusan dengan melaksanakan setiap amalan ini setiap masa bagi menghindari berlakunya kekotoran di merata tempat”.

“Kita sama-sama mendisiplinkan diri bagi menjaga imej Islam yang memntingkan kebersihan dengan melahirkan persekitaran yang sejahtera dan selesa,” titah Baginda.

Hari Kesihatan Sedunia disambut di seluruh dunia pada 7 April setiap tahun mempunyai tema yang berbeza yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu kesihatan global yang penting.

Pada tahun ini, titah Baginda, tema ‘Pastikan hospital dan fasiliti kesihatan selamat dan mampu menyelamatkan nyawa semasa krisis’ dipilih kerana terdapat pelbagai insiden kebelakangan ini yang berlaku di luar negara seperti bencana alam yang telah memusnahkan hospital dan fasiliti kesihatan.

“Apabila hospital terjejas, maka sudah pasti perkhidmatan perubatan akan menerima kesannya, sebagai contoh terbaru, bencana alam gempa bumi di Padang, Indonesia pada penghujung September tahun ini, telah memusnahkan beberapa kemudahan hospital yang mengakibatkan perkhidmatan perubatan turut terjejas”.

“Beta difahamkan bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia menekankan tiga kata kunci utama bagi sesebuah hospital yang selamat, yang pertama, selamat, iaitu hospital itu selamat dari segi struktur, teguh dan tidak runtuh semasa menimpa bencana”.

“Kedua adalah berfungsi, iaitu hospital masih dapat meneruskan perkhidmatannya walaupun semasa atau selepas bencana, dan yang ketiga adalah keutuhan, iaitu setiap hospital masing-masing mempunyai pelan kontigensi semasa berlakunya bencana disamping mempunyai anggota kesihatan yang terlatih bagi menghadapi situasi bencana”.

“Ketiga-tiga aspek ini penting bagi mencapai tahap sebuah hospital atau fasiliti kesihatan yang selamat, ini kerana jika hospital runtuh maka pesakit dan anggota kesihatan akan terdedah kepada kecederaan dan kemungkinan juga akan meninggal dunia,” titah Baginda.

Tiada ulasan: