Ahad, 31 Ogos 2008

Ahlan Wasahlan Ramadhan Al Mubarak


Besok Ramadhan datang lagi.Bulan keberkatan yang dinanti-nanti oleh sebahagian besar umat Islam diseluruh dunia.Bulan yang diawalnya diselubungi rahmat,dipertengahanya keampunan dan diakhirnya pembebasan dari api neraka.

Bulan yang pintu syurga dibuka dengan seluas-luasnya dan pintu neraka ditutup.Bulan dimana syaitan laknatullah di belenggu.Bulan dimana program dan agenda ketakwaan dibuka dengan seluas-luasnya.

Ramadhan adalah bulan madrasah tarbiyah.Sepanjang 30 hari Ramadhan menjadi tempat pembinaan tarbiyah dalam bentuk praktikal untuk menyediakan umat Islam mengharungi 11 bulan yang selebihnya.

Ramadhan adalah bulan untuk membina kekuatan ruhiyah(spiritual) tetapi Ramadhan juga adalah adalah bulan siyasah(politik) kerana dalam bulan inilah diturunkan Al-Quran yang mengandungi perintah,suruhan dan larangan.

Ramadhan juga adalah bulan kesihatan yang membawa kepada fitrah.Organ-organ dalam badan yang selama ini bekerja sepanjang tahun tanpa banyak protes diberi peluang untuk bekerja pada tahap fitrah.Itupun dengan syarat kita berpuasa dan berbuka dan diisi pengisian malamnya dengan cara yang betul.

Ramadhan adalah bulan pertembungan antara roh(iman) dan juga nafsu.Umat Islam akan diajar untuk menguruskan pertarungan antara iman dan nafsu.Keputusan pertarungan ini yang akan memberi keputusan menang kalah akhirnya juga akan menentukan tempat kita diakhirat nanti.Berbahagialah kepada mereka-mereka yang berjaya dalam pertembungan ini.

Pertarungan antara iman dan nafsu,baik dan jahat,syurga dan neraka inilah yang menjadi pertarungan dari dulu sampai sekarang dan akan berterusan sampai bila-bila.Sesungguhnya pertarungan ini bukan terhad kepada makan minum,pakaian,perbuatan dan amalan malah meliputi kefahaman politik yang akan dijelmakan dalam bentuk politik sekular atau politik Islam.

Dan disinilah berdirinya kita sebagai pejuang Islam Pas.Pas yang menjadi wadah perjuangan kita mesti sentiasa berada diatas landasan yang betul pada sepanjang masa walaupun pendekatanya akan berbeza dengan berlalunya masa.Tetapi prinsip perjuangan itu tetap sama sepanjang masa.Prinsip perjuangan Islam inilah yang menjadi tonggak kekuatan Pas.51 tahun merdeka telah mematangkan Pas.Onak,duri dan ranjau yang dilalui oleh pejuang-pejuang kita yang terdahulu akan kita sambung.Walaupun onak duri yang kita hadapi sekarang sudah tentu berbeza.Kita telah biasa dengan ranjau kekalahan.Kita telah mahir untuk menguruskan kekalahan tetapi kita masih diperingkat awal belajar bagaimana untuk mengurus sedikit kemenangan yang Allh beri kepada kita.

Kemenangan yang sedikit ini menjadikan kita berbalah dalam soal `muka balah',walaupun pada permukaannya dilihat telah selesai dengan berakhirnya muktamar di Ipoh baru-bari ini.Tetapi perbalahan ini pada saja saya baru saja bermula.Lihatlah dalam blog-blog yang ditulis,fitnah menyerang peribadi yang tiada kesudahannya,seolah-olah kita tiada bezanya dari orang-orang umno yang patut `kita balah'.Pada pengamatan saya perbalahan ini akan berterusan sehingga pemilihan dalam muktamar yang akan datang.Lagi malang kerana perbalahan ini berlaku kepada pimpinan tertinggi yang sepatutnya menunjuk contoh yang terbaik sebagai seorang pemimpin.Bagaimana orang-orang bawahan nak akur dengan pimpinan kalau akhlak ini yang ditunjukan oleh pimpinan sendiri.

Banyak lagi yang saya nak tulis tapi untuk permulaan ini cukuplah dulu.Semoga Ramadhan yang kita akan sambut besok akan menginsafkan kita.Sama-samalah kita melakukan koreksi diri.Hentikanlah segala perselisihan yang kalau dipanjangkan akan melemahkan kita.Kita sama-sama meminta keampunan dari Allah.

Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak dari insan yang sangat kerdil ini.

Tiada ulasan: