Ahmad Lutfi Othman Foto Wan ZAhari Wan Salleh Tue Jan 06, 09 11:27:00 am MYT
HAMPIR 40 hari kolum ini (Dari Meja Ketua Pengarang) tidak dikemas kini. Dalam tempoh itu saya bercuti panjang. Uzur. Alhamdulillah, seminggu dua ini, kesihatan agak pulih. Memang menyeksakan apabila tidak dapat menulis sedangkan iklim politik Malaysia makin membahang walaupun sekarang dalam musim hujan. Mahu membaca pun kadang-kadang sukar dan meletihkan.
Ahad lalu, saya sempat turun ke "medan tempur" di Kuala Terengganu. Sekali imbas terasa bagai melewati zon perang. Anggota polis, secara rasmi, ditempatkan di kawasan pilihan raya kecil ini, seramai 6,000 orang. Angka tidak rasmi, menurut telahan seorang kawan, mungkin melebihi 10,000.
Malah, wartawan Harakah Kuala Lumpur yang ditugaskan di sana, Intan Abdullah, memberitahu ada sumber memaklumkan jumlahnya mendekati 20,000. Agaknya dicampur dengan isteri kot? Di beberapa balai polis sekitar Kuala Terengganu, termasuk dekat Pantai Batu Burok, kem penempatan sementara rancak dalam pembinaan. Dari jauh khemah-khemah itu nampak memutih.
Pelik memikirkan, apa sebenarnya motif menempatkan begitu ramai anggota keselamatan di Kuala Terengganu? Taktik lapuknya adalah untuk melakukan provokasi kepada saingan BN, yakni PAS yang mewakili Pakatan Rakyat, atau membentuk suasana persekitaran yang tegang bagi menakutkan pengundi, atau apa sahaja strategi polis yang bertindak pihak pilih bilik gerakan BN.
Apakah Kuala Terengganu kini merupakan kawasan paling tidak selamat di negara ini? Apakah kawasan-kawasan lain lebih terjamin keselamatannya sehingga pasukan polis dari luar Terengganu pun dikerah ke sana? Ketua Polis Negara tentu mempunyai justifikasi sendiri sebab beliau sendiri berada di sana.
Mudah cerita, kehadiran ketumbukan polis yang melimpah-ruah itu adalah sebahagian daripada strategi BN untuk memastikan undi tidak memihak PAS. Mungkin strategi itu boleh memakan dirinya, sepertimana banyak pendekatan songsang dalam pilihan raya umum ke-12 lalu, tetapi bagi BN, Kuala Terengganu terlalu mahal untuk diserahkan kepada PAS dan Pakatan Rakyat.
Pilihan raya ini adalah penentu hidup-mati Umno-BN. Membayangkan kekalahannya sahaja sudah cukup menggerunkan. Tidak seperti mana Permatang Pauh, itu kubu kuat Anwar Ibrahim. Kalah pun tidak mengurangkan jumlah kerusi Parlimen BN yang sedia kritikal itu.
Ada yang menghubungkan pilihan raya ini dengan pilihan raya kecil Parit Raja, Johor yang diadakan selang beberapa bulan dengan pilihan raya kecil Johor Bahru yang mencatat rekod itu. Umno (Baru) ketika itu berhempas-pulas bagi memastikan momentum kemenangan Shahrir Samad di JB tidak melarat ke Parit Raja yang boleh memungkinkan teori domino kejatuhan BN berlaku.
Semasa minum pagi bersama Ustaz Abu Bakar Chik di sebuah gerai depan pejabat Utusan Terengganu, saya terbaca kenyataan Menteri Besar, Ahmad Said bahawa beliau yakin BN boleh menang dengan majoriti meningkat berkali ganda, sehingga 3,500 undi.
Ustaz Bakar mengingatkan saya agar tidak pandang enteng kenyataan MB itu. Beliau mengaitkan dengan kehadiran melimpah polis, yang boleh memungkinkan penyusupan pengundi hantu, bukan lagi yang dibawa dari luar, tetapi tidak mustahil ia keluar dari kem penempatan sementara polis tadi!
PAS Terengganu sememangnya menyimpan duka yang cukup pedih apabila dikalahkan dalam pilihan raya 2004 melalui satu kaedah yang tidak pernah terhidu, iaitu bersumberkan senarai daftar pemilih yang menyaksikan peningkatan pengundi baru yang cukup mengejutkan. Kerana itu, Kerajaan PAS Terengganu tumbang.
Saya tidak berhasrat mengulas panjang isu polis ini. Kempen baru berjalan. Segalanya terbuka untuk diteroka. Banyak perkara tertakluk dengan kerja kuat mendekati pengundi, berdasarkan strategi bersesuaian, sambil cuba mematahkan setiap gerak penipuan BN yang dibantu rapat pelbagai agensi rasmi pemerintah. Bagaimanapun, pastinya tiada sesiapa pun dalam Pakatan yang mudah mengalah. Banyak pilihan raya yang dilihat sukar dapat dikuasai parti alternatif.
Apa pun, kami di Harakah dan Harakahdaily akan cuba melaporkan perkembangan terkini dari Kuala Terengganu sebaik mungkin. Dalam suasana kempen yang dijangka tegang, ramai yang dahagakan maklumat dan fakta yang benar, terutama berdepan propaganda media di bawah kawalan mutlak BN yang tentunya tidak memberi ruang positif untuk PAS. Itu 'kan fenomena lumrah ketika musim pilihan raya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan