Rabu, 4 Mac 2009

Tidak hadir majlis angkat sumpah Exco di istana




Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM


ALOR SETAR, 3 Februari: Disebabkan sehelai surat layang yang entah dari mana datangnya, barisan Pemuda UMNO menjadikannya sebagai ‘modal’ untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Negeri Kedah.

Isi kandungan surat layang tersebut menyatakan terdapat seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (Exco) telah menghina Sultan. Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak mencabar Pemuda UMNO untuk mendedahkan nama Exco tersebut serta mengemukan bukti-bukti yang berasas, beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelantikan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.
“Namun, apa yang dikesalkan, surat itu tidak menyatakan nama Exco yang dipersalahkan, dan kita semua sedia maklum bahawa surat layang sudah tentu tiada nama dan alamat pengirim (ianya) tidak boleh diambil kira sama sekali.
“Dia (Pemuda UMNO) kata salah seorang Exco, tapi siapa? Kena bagi tau nama pada saya, ni asyik-asyik kata salah seorang Exco, esok orang kata MB pula.
“Ini semua sebab satu surat, bekas balut cabai Melaka di pasar tulis macam tu, dia (Pemuda UMNO) pun cakap macam tu, walaupun orang cakap macam-macam, Majlis Pelantikan Exco hari ni boleh buat juga.
“Orang yang kata Exco derhaka pada Sultan, dia pun tak mai istana, Ketua Pemuda UMNO tu ADUN, tapi bila Sultan panggil, tak mai, tapi dia kata taat pada Raja.“Boleh kata taat pada Raja ke tu? Derhaka ke tak ni? Tuanku Sultan dah siap makan dan tempat untuk meraikan Tuanku Sultan, tapi dia tak mai.
“Dia (Pemuda Umno) kata ada orang derhaka pada Sultan, tapi siapa? Nama apa? Dia (Exco) buat di mana? Ada bukti apa? Kalau itu baru betul derhaka. Baru orang kata profesional,” ujar beliau.
Majlis tersebut telah diadakan di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit, di sini. Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah serta KDYMM Tuanku Sultanah Kedah, Sultanah Hajjah Haminah Haji Hamidun telah berkenan berangkat ke majlis tersebut.

1 ulasan:

SMA AS-SIDDIQIAH AL-ISLAMIAH,NAKA,KEDAH berkata...

salam ziarah...

http://siddiqiah.blogspot.com/