Selasa, 10 Mac 2009
Tree Top Walk akan jadi aset pelancongan Kedah
Oleh: WADIASSOFI JAAFAR
KULIM - Jambatan gantung yang dibina merentasi kaki Gunung Inas dan Gunung Bintang atau lebih dikenali sebagai ‘Tree Top Walk’ yang terletak di Sedim bakal menjadi aset pelancongan di Negeri Kedah Darul Aman.
Menurut Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, dengan adanya promosi menyeluruh, Tree Top Walk bakal menjadi salah satu sumber yang menyumbang kepada sector pelancongan di negeri ini.
“Kulim yang sudah terkenal dengan kawasan rekreasi dan pelancongannya, akan mempunyai satu lagi produk pelancongan baru bagi menarik pelancong ke negeri ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian ‘Tree Top Walk’ di sini yang disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah.
Menteri Besar berkata, Tree Top Walk ini dibina pada konsep asalnya berpandukan Tree Top Walk Giant yang terdapat di Australia dan pembinaannya dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-8 (RMK8).
“Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pelancongan membentuk dua projek untuk dilaksanakan di sini iaitu pelaksanaan peningkatan kemudahan di sini dan pembinaan Tree Top Walk sebagai agen eko pelancongan di kawasan ini,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, kos pembinaan jambatan gantung itu lebih RM4.5 juta dan untuk fasa seterusnya, kerajaan telah meluluskan kira-kira RM9 juta pada tahun 2007 untuk tujuan peningkatan kemudahan di kawasan ini.
Kos peningkatan kemudahan fasa kedua itu turut membabitkan projek pembinaan laluan masuk dari Kampung Desa Teruna ke Tree Top Walk, Sedim dan peningkatan sumber kuasa di kawasan ini.
Jambatan ini mula dibina pada bulan Januari 2004 dan siap pada tahun 2005. di mana ia adalah jambatan terpanjang di negara ini dan pada tahun 2006 sahaja ketika di awal pembukaannya, ia menerima lebih 80,715 pengunjung.
Jambatan gantung atau Tree Top Walk ini dirasmikan oleh KDYMM Tuanku Sultan Kedah bersempena sambutan Hari Keputeraan Baginda yang ke-81 pada tahun ini.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
GEM Community - Direktori / Forum Pertanian & Industri Asas Tani Malaysia - http://gem.socialgo.com
Industri Sarang Burung Layang-LAyang (Walet) - http://gemsb.blogspot.com
Catat Ulasan