Ahad, 15 November 2009

Mencuci Tangan Asas Utama Pencegahan Penyakit Berjangkit



Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

YAN – Penyakit sememangnya mudah merebak, tetapi ianya bukan mustahil untuk dicegah atau dikawal. Siapa sangka dengan amalan yang mudah dan murah, iaitu mencuci tangan menjadi asas utama dalam pencegahan penyakit berjangkit seperti wabak Influenza A (H1N1) yang menular Negara sejak April lalu.

Wabak ini yang dikenal pasti di Mexico pada April 2009, dengan pantas telah menular di Malaysia pada Jun 2009. Ini disebabkan faktor pergerakan manusia yang tidak dapat dikawal, demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri Kedah, YB. Dr Ismail Salleh pada Majlis Sambutan Hari Kesihatan Sedunia Peringkat Negeri Kedah yang telah diadakan di Hospital Yan.Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah telah mencemar duli berangkat ke majlis tersebut bagi menyempurnakan perasmiannya.


Turut berangkat adalah KDYMM Tuanku Sultanah Kedah.“Sambutan pada hari ini adalah untuk memastikan semua kemudahan kesihatan dan anggota kesihatan adalah merupakan nadi utama dalam menyelamatkan mangsa semasa bencana dan juga menjaga kepentingan kesihatan awam.” katanya.“Kementerian Kesihatan Malaysia amnya dan Jabatan Kesihatan Kedah khususnya prihatin dan sentiasa berusaha memastikan semua kemudahan kesihatan dan anggota kesihatan sentiasa berada siapsedia menghadapi bencana alam, perang dan wabak penyakit” jelas beliau.


“Sebagai contoh Influenza A (H1N1) yang menyebabkan 77 kematian di seluruh Negara dan 7 kematian di Kedah, dengan usaha anggota kesihatan dan kemudahan kesihatan yang terkini, wabak dapat dikawal hingga ke tahap yang minima” katanya lagi.Dr. Ismail seterusnya menjelaskan, “Jika wabak tak dapat dikawal dengan baik, ianya akan meningkat, jadi Kementerian Kesihatan mengambil langkah bijak dan wajar, perlu ditangani dengan baik, antara langkah yang kita buat adalah mendidik semula rakyat dengan cara yang paling mudah dan murah, iaitu cuci tangan serta etika ketika bersin”.


Tambah beliau, pentingnya usaha-usaha bersepadu penduduk bagi menghadapi cabaran kesihatan sekiranya berlaku bencana. Kerjasama semua pihak dalam menggabungkan kepakaran bagi mengurangkan kesan kesihatan sekiranya bencana alam, perang dan wabak penyakit.“Kemeterian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan Kedah merupakan agensi utama dalam menggerakkan usaha-usaha kesiapsiagaan seperti mereka bentuk dan membina struktur kemudahan kesihatan yang mampu menghadapi ancaman krisis”.


“Dalam pada itu, sistem kerja yang cekap dan anggota yang terlatih merupakan penyumbang ke arah menjamin perkhidmatan berterusan apabila berlaku kecemasan. Namun, usaha menangani masalah kesihatan bukanlah tanggungjawab Jabatan Kesihatan semata-mata, tetapi ia juga harus dipikul bersama oleh lapisan masyarakat termasuk individu, masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan, sektor swasta serta agensi-agensi kerajaan yang lain,” jelas beliau.

Tiada ulasan: