Khamis, 12 November 2009

TPM arah ADUN Kota Siputeh hadir sidang DUN, Arahan Muhyiddin undang kekecohan dalam DUN Kedah.

Tidah habis dengan kemelut perlembagaan dan kekecohan sidang DUN di Negeri Perak, nampaknya Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin hari ini membuat arahan yang akan mengundang kepada kekecohan sidang DUN Kedah dengan mengarahkan ADUN Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif supaya menghadiri sidang DUN Kedah yang dijadualkan Selasa ini.

Beliau nampaknya membuat arahan yang membelakangi kuasa Speaker yang tidak boleh dicabar dan dipertiakaikan oleh mana-mana pihak termasuklah mahkamah. Muhyiddin dipetik sebagai berkata walaupun Speaker DUN Datuk Dr Abdul Isa Ismail menganggap Abu Hasan hilang kelayakan sebagai ADUN, namun BN memegang prinsip apa yang diputuskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bahawa tiada berlaku kekosongan kerusi DUN Kota Siputeh dan Abu Hasan adalah wakil rakyat BN yang sah.

"Abu Hasan masih ahli Yang Berhormat secara sah dan speaker (DUN) tidak boleh menghalang beliau dari menghadiri sidang dewan itu. SPR umum tiada kekosongan dan tidak ada pilihan raya kecil, jadi apa kuasa speaker itu saya tak tahu," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Gunung di Alor Star.

Dr Abdul Isa baru-baru ini berkata beliau menyifatkan Abu Hasan bukan lagi ADUN walaupun mahkamah belum membuat sebarang keputusan mengenai kedudukan wakil rakyat itu.

Katanya Abu Hasan hilang kelayakan sejak 17 Ogos lepas setelah gagal menghadiri sesi DUN dua kali berturut-turut yang menyalahi Perkara 51 Undang Undang Tubuh Kerajaan Kedah (UTKK).

Beliau sebelum ini memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan SPR yang mengekalkan Datuk Abu Hasan Sarif sebagai ADUN kawasan Kota Siputeh.

Dewan Undangan Negeri Kedah akan bersidang mulai Selasa minggu depan bagi membentangkan bajet negeri 2010

Tiada ulasan: