Rabu, 25 Februari 2009

HENTI LAGAKAN RAKYAT-ISTANA!

 
Oleh: ZULKIFLI YAHAYA
 
Alor Setar: Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pembangunan Insan, Badan-badan Bukan Kerajaan dan Penerangan, YB Dr. Ismail Salleh menyelar pihak-pihak tertentu yang menjadi batu api untuk melaga-lagakan antara kerajaan Pakatan Rakyat dan pihak istana.
Mengulas tindakan Setiausaha Pemuda UMNO Kedah, Haris Che Mat yang memberitahu akan membuat laporan polis terhadap surat layang yang mendakwa kononnya seorang Exco Kerajaan Negeri Kedah menghina Sultan, Dr. Ismail menyifatkan tindakan tersebut sebagai 'kurang cerdik'.
"Takkanlah surat layang yang penulisnya pun takut untuk mendedahkan identiti, mahu dijadikan asas rujukan, nampak sangat tindakan (Pemuda) itu kurang cerdik," ujarnya.
Menurut Dr. Ismail, sekalipun seandainya sesuatu maklumat itu benar tetapi ia boleh memecahkan perpaduan dan keharmonian antara rakyat, sepatutnya sebagai pemimpin bertanggungjawab perkara seperti itu tidak diperbesarkan.
Apatah lagi, katanya, jika isu dibangkitkan langsung tidak mempunyai asas dan bukti, sebaliknya fitnah yang disebarkan melalui surat layang semata-mata.
"Dari aspek yang lain nampak sangat mereka ini berniat jahat serta ingin mencari keuntungan politik sempit, langsung tidak memikirkan soal keharmonian dan kesejahteraan rakyat.
"Lebih malang lagi pihak yang mereka mahu lagakan adalah antara kerajaan pilihan rakyat dengan istana," ujarnya.
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu menasihatkan UMNO supaya berpada-pada dalam berpolitik. "Jangan hanya kerana kemaruk kuasa, nikmat kesejahteraan yang kita kecapi selama ini mahu dihancurkan dengan sekelip mata," katanya.
Mengenai hubungan antara kerajaan Pakatan Rakyat Kedah dengan pihak istana, Dr. Ismail menjelaskan bahawa ia berlangsung dalam suasana amat baik. Tuanku Sultan sendiri, kata Dr. Ismail, sedar mengenai permainan pihak tertentu untuk memecahkan keharmonian antara kerajaan negeri dan istana.
"Saya menyeru Pemuda UMNO supaya insaf dan bertaubat, hentikanlah kerja mengadu domba kerana itu adalah kerja syaitan," ujarnya.

Tiada ulasan: