Oleh: NIK NURUL NADZIRAH
ALOR SETAR, 22 Februari: Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah telah berkenan berangkat merasmikan Galeri Sultan Abdul Halim Muadzam Shah di sini, hari ini.
Turut sama pada majlis yang bersejarah itu Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda dan Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Uztaz Azizan Abdul Razak. Dengan perasmian galeri ini bertambahlah satu lagi tempat menarik bagi para pelancong yang datang melawat Alor Setar ini. YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan memberitahu, sektor pelancongan merupakan sektor penting dan mempunyai potensi yang baik untuk terus berkembang maju. Industri pelancongan mencakupi bidang perkhidmatan yang luas dan kemudahan yang diperlukan adalah pelbagai serta mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada semua lapisan penduduk. Pelancongan juga membantu dalam memberi dorongan dan justifikasi kewangan dan langkah-langkah yang memberi faedah kepada penduduk.
Katanya, Kerajaan Negeri memilih bidang pelancongan sebagai salah satu strategi pembangunan ekonomi negeri.“Tumpuan kerajaan adalah untuk memajukan sumber yang sedia dimiliki seperti bangunan bersejarah, warisan sejarah, sungai, alam semulajadi, keunikan budaya dan makanan tradisional serta keramahan penduduk,“Sepertimana bandaraya yang lain, di Bandaraya Alor Setar sendiri, telah ada beberapa produk sejarah yang berkaitan dengan sejarah Kesultanan Negeri Kedah yang unik dan berpotensi untuk dikembangkan sebagai tarikan pelancongan,” katanya pada majlis itu.
Sehubungan itu, kerajaan bersetuju untuk menubuhkan sebuah Lembaga Pengurusan Galeri Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, untuk langkah selanjutnya bagi memaju, mempromosi dan menambah koleksi pengisian galeri ini.Beliau juga menyeru pengusaha pelancongan mengambil intensif untuk menyediakan pakej menarik dengan kerjasama pengurusan produk pelancongan, pengusaha restoran, syarikat pengangkutan dan lain-lain pihak yang berkenaan untuk menjayakan program ini yang bukan saja dapat memperkenalkan Warisan Kesultanan Kedah yang sangat bernilai tetapi juga bakal membuka pelbagai peluang aktiviti perniagaan kepada penduduk tempatan.
“Walaupun saya hanya menyebut mengenai Bandar Alor Setar yang perlu dimajukan sebagai ibu negeri Kedah, ini tidak bermakna kerajaan akan mengenepikan kawasan lain,” katanya yang mengakhiri ucapan beliau pada majlis perasmian Galeri Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.Turut sama pada majlis itu YTM Tunku Panglima Besar Dato’ Seri Tunku Puteri Intan Safinaz, YTM Dato’ Seri Diraja Tunku Soraya dan YAM Raja Kechil Sulong Perak. Lain-lain kenamaan yang hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah YB Dato’ Paduka Haji Syed Unan Mashri Syed Abdullah dan Datin Paduka Hajah Sharifah Noor Aziah Syed Ahmad Shahabuddin serta ketua-ketua jabatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan