Khamis, 19 Februari 2009




Ketua kampung mesti pro aktif hadapi masalah rakyat

Oleh: Abd Wahab Osman

ALOR SETAR – Semua ketua kampung kawasan DUN Bakar Bata dan Alor Mengkudu menghadiri majlis taklimat ketua-ketua kampung (MKK) yang diadakan di Dewan Pusat Aktiviti Pejabat Daerah Kota Setar, Lebuh Raya Darul Aman, dekat sini.

Majlis taklimat itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Penerangan, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pembangunan Insan, YB Dr Ismail Salleh.

Beliau mengingatkan ketua kampung supaya bersikap proaktif dalam menghadapi masalah rakyat.

“Sebenarnya tuan-tuan telah dipilih oleh Allah untuk menunaikan tanggungjawab sebagai ketua kampung ini dengan penuh amanah. Kalau amanah ini dipegang sungguh-sungguh, saya yakin ketua-ketua kampung akan dapat melaksanakan tanggungjawab masing-masing ini dengan adil, dan akhirnya memberikan imej yang sangat baik kepada pemerintahan kerajaan negeri,” ujarnya.

Tambah Dr. Ismail, ketua kampung akan menjadi indikator (penunjuk aras) kepada pelaksanaan dasar-dasar kerajaan negeri yang ada pada hari ini.

“Ketua-ketua kampung yang dilantik ini mestilah mempunyai sifat proaktif terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat,” kata Dr Ismail Salleh

Beliau memberikan contoh, suatu ketika dulu berlaku banjir besar dalam kawasan DUN Alor Mengkudu, namun terdapat bakal ketua-ketua kampung di situ yang proaktif, mangsa-mangsa banjir yang terlibat berjaya diuruskan dengan sempurna.

“Sebenarnya tidak ada arahan pun daripada pejabat wakil rakyat ataupun Exco, tetapi oleh kerana beberapa orang di situ yang sangat proaktif, masalah yang dihadapi oleh rakyat dapat diselesaikan dengan sebaik-baiknya,” ujarnya.

Dr Ismail Salleh juga mengingatkan ketua-ketua kampung agar bekerja sebagai satu keluarga dan sentiasa bekerjasama dengan penghulu-penghulu mukim supaya kerja-kerja yang dijalankan oleh mereka mengikut hairaki organisasi pentadbiran kerajaan.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran) Kota Setar, Nurul Huda Mohd Ali.




Tiada ulasan: