Isnin, 13 Oktober 2008

Perpaduan kaum Pakatan Rakyat





Oleh: WADIASSOFI JAAFAR

ALOR STAR 10 Oktober: Lima belas tahun yang lalu pada tahun 1993,
Dewan Perhimpunan China Kedah telah menganjurkan secara besar-besaran
Pesta Kebudayaan Cina Malaysia ke-10 di Stadium Darul Aman, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Membasmi Kemiskinan,
Kerja Raya, Pertanian, Industri Asas Tani, Bekalan Air, Sumber Air dan
Tenaga, YB. Dato' Haji Ir. Phahrolrazi Haji Zawawi berkata, pada kali
ini, lima buah persatuan utama iaitu Kwangtung, Hokkien, Hakka, Hainan
dan Teochew bergabung tenaga untuk mempersembahkan satu lagi pesta
iaitu Pesta Kebudayaan Cina Malaysia ke-25 di Persisiran Tanjung
Chali, di sini.

"Saya berharap pesta ini dapat mencapai objektifnya untuk
memperkenalkan kebudayaan bangsa Cina di Negara ini kepada semua,
termasuk bangsa-bangsa lain, pelawat-pelawat daripada luar negeri dan
negara, di samping mempromosikan keistimewaan Negeri Kedah sebagai
sebuah negeri yang aman, damai dan sejahtera," jelasnya.

Menurutnya, sempena pesta ini, satu simposium kebudayaan akan
dianjurkan dan di antara penceramahnya termasuklah ahli cendekiawan
dan penyelidik daripada Negeri China, Taiwan dan Singapura telah
dijemput untuk berkongsi buah fikiran dan hasil kajian mereka.

Mengikut sejarah, katanya, perpaduan pelbagai kaum telah bermula di
Lembah Bujang, Merbok di mana terdapatnya pelayar-pelayar kapal dan
saudagar-saudagar daripada India, Arab dan China telah menjadikan
Gunung Jerai sebagai pedoman untuk berlabuh.

"Kaji-selidik di Kota Kuala Kedah telah menunjukkan sejarah penempatan
orang Cina di Negeri Kedah telah bermula lebih lama lagi sebelum
kemerdekaan. Semua ini adalah sumber dan panduan hidup kita bersama di
sini sekiranya terdapat kajian-kajian yang lebih mendalam," katanya.

Beliau yang mewakili Menteri Besar turut mengesyorkan agar Dewan
Perhimpunan China Kedah meneruskan usaha dan semangat demi
mempertingkatkan daya tarikan negeri Kedah sebagai satu tempat yang
selesa untuk didiami dan satu tempat pelancongan yang unik dan kaya
dengan budaya.

"Kebudayaan ialah cara hidup yang merangkumi adat resam, kepercayaan,
cara pemikiran mungkin akan lebih memahami cara hidup bangsa Cina,
begitu juga bangsa Cina akan lebih memahami budaya persatuan
masing-masing," ujarnya.

Tambahnya, antara hidup budaya yang penting ialah mewarisi budaya yang
mulia kepada generasi muda pada hari ini di mana semangat dan jiwa
bangsa yang murni perlu disemai di hati golongan berkenaan.

Tiada ulasan: