Rabu, 4 November 2009

Ketua Kampung bertanggungjawab sediakan profail kampung


Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

ALOR SETAR – Ketua Kampung perlu menyediakan profil kampung atau komuniti yang merangkumi maklumat penduduk, kemudahan asas, kemudahan awam, organisasi dan lain-lain maklumat berkaitan sebagai rujukan jika diperlukan.

Penghulu Mukim Alor Merah, Tuan Haji Yusof Ismail, berkata, penghulu perlu menyediakan profil mukim, manakala ketua kampung bertanggungjawab terhadap data kampung sebagai rujukan bagi tujuan membantu menaik taraf kampung.

“Maklumat atau data mukim perlu ada bagi memudahkan kita menjalankan tugas, sebagai contoh, jika JKM Tanya berapa bilangan anak yatim atau ibu tunggal dalam kampung, secara automatik, kita dapat beri maklumat, tak perlu terpinga-pinga baru nak cari maklumat.

“Cuba kita bayangkan maklumat ini tak ada, bila peruntukan untuk bantuan penduduk miskin, kita lambat bagi, jadi mereka ini mungkin tak dapat bantuan tersebut,” jelas beliau pada ketua-ketua kampung yang hadir pada taklimat dan dialog antara ADUN dengan penghulu dan ketua kampung bagi DUN angkat, Bakar Bata yang berlangsung di Pusat Aktivit Pejabat Daerah Kota Setar.

Selain itu, tambah beliau, kerjasama antara ketua kampung dan penghulu amat penting untuk kepentingan penduduk seterusnya kampung dengan mengenepikan kepentingan diri.

Hadir sama pada majlis tersebut adalah ADUN Alor Mengkudu, YB. Dr. Ismail Salleh, Penghulu Mukim Mergong, Tuan Haji Ahmad Shukre Haji Ismail, Penghulu Mukim Kota Setar/Alor Malai, Encik Zulkifli Abd Jalil, Penghulu Mukim Pumpong/Sungai Baru, Encik Zulkifle Ramli serta Ahli Majlis Bandaraya Alor Setar, Haji Abu Bakar Dahlan.

Tiada ulasan: