Rabu, 4 November 2009

Pembangunan insan sangat penting untuk rakyat



Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM
ALOR SETAR – Apa gunanya sesebuah negeri yang maju dari segi pembangunan fizikal, namun modal insan di kalangan rakyat masih berada di tahap kritikal.


Oleh yang demikian, amatlah penting untuk mempastikan keseimbangan pembangunan antara fizikal dan modal insan bagi memastikan kesejahteraan dan kemajuan rakyat dapat diteruskan.
Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Badan-badan Bukan Kerajaan dan Pembangunan Insan, YB. Dr Ismail Salleh ketika menjadi tetamu rancangan Nasi Lemak Kopi O yang dihoskan oleh pengacara Aziz Desa pada program Sua Rasa TV9 di perkarangan Stadium Darul Aman, di sini.
Dalam usaha memantapkan modal insan serta pembangunan sosial, Kerajaan Negeri telah melaksanakan Kem Bina Sahsiah kepada pelajar sekolah menengah semasa cuti penggal persekolahan, di mana para pelajar didedahkan dengan motivasi, bimbingan kerjaya, sahsiah, agama dan moral.
“Ketidakseimbangan antara pembangunan fizikal dan manusia yang menyebabkan berlakunya masalah sosial di kalangan remaja kita, jadi cara perancangan yang saya buat dalam portfolio saya adalah untuk masa jangka panjang.
“Kita (kerajaan negeri) berusaha supaya setiap anak muda di Kedah, yang lepas sekolah rendah nak masuk sekolah menengah, bukan sahaja pandai sembahyang, tapi boleh jadi imam serta cemerlang dalam hidup,” jelas beliau ketika disoal oleh Aziz Desa.
Tambah beliau, Kedah tidak terkecuali daripada penularan wabak Influenza A (H1N1) yang melanda dunia, hingga hari ini, ianya berada di tahap yang minima, kini hanya tinggal seorang yang berada di unit rawatan rapi.
“Wabak Influenza A H1N1 di Kedah dah menurun, jadi sekarang berada di penghujung, dan di ICU pun ada satu kes sahaja, kes ini pun adalah kes kanak-kanak cacat, jadi dia duduk di situ (ICU) pun H1N1 semata-mata, tetapi disebabkan faktor cacatnya, iaitu kanak-kanak istimewa,” ujarnya.Selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyemai suasana kehidupan harmoni, bersatu padu di kalangan masyarakat pelbagai kaum, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan bajet kepada Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO).
Baru-baru ini Majlis Peguam Malaysia telah mengiktiraf Kerajaan Negeri atas kerjasama yang diberikan kepada badan ini dalam usaha memastikan keadilan ke atas hak asasi setiap rakyat. Kedah merupakan pusat bantuan guaman termida di Negara ini, mengalahkan negeri-negeri lain.
“Saya berterima kasih kepada NGO-NGO yang telah dating ke negeri kita untuk melakukan aktiviti kerajaan negeri yang tidak dilakukan oleh agensi atau jabatan-jabatan kerajaan negeri, jadi NGO membantu kita (kerajaan) secara langsung dan tidak langsung.
“Setiap tahun kita ada bajet kepada NGO, dan pada tahun ini pun akan dibentangkan, ada bajet khusus untuk NGO, di mana mereka ini tak minta dana yang banyak, jadi kita tak ada masalah untuk membantu mereka (NGO),” ujar beliau.

Tiada ulasan: