Rabu, 2 Jun 2010

Kematian murid kerana Ruptured AVM, bukan makan gam



Alor Mengkudu, 2 Jun: Bedah siasat yang dilakukan oleh pihak hospital mengesahkan bahawa kematian Nor Awatif Azzalayla, 9, murid Sekolah Kebangsaan Alor Mengkudu adalah disebabkan penyakit Ruptured AVM, iaitu pendarahan akibat urat darah di bahagian otak pecah. Ia berlaku kerana ketidaknormalan urat darah tersebut sejak dilahirkan.

Demikian dijelaskan oleh Exco Kesihatan, NGO, Pembangunan Insan, Sains dan Inovasi serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi, YB. Dr. Ismail Salleh sebagai mengulas laporan kononnya kematian Nor Awatif disebabkan termakan gam.

Dr. Ismail yang menziarahi mangsa di rumahnya yang terletak bersebelahan dengan PKWR Alor Mengkudu mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 1 tengahari, mangsa yang mengidap asma dikatakan sesak nafas selepas mengunyah gam yang disangka jeli yang diberikan rakan sekelasnya. Dia dikejarkan oleh guru sekolah di Klinik Simpang Kuala selepas didapati pengsan. Bagaimanapun mangsa meninggal dunia di klinik berkenaan sebelum dirujukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat.

Mangsa dibawa balik ke rumahnya di Alor Mengkudu kira-kira jam 10 malam. Turut menziarahi adik Nor Awatif ialah ADUN Kupang, YB Johari Abdullah.

Tiada ulasan: