Isnin, 18 Oktober 2010

Anwar : Projek mega Najib petanda empayar BN bakal runtuh



KUALA LUMPUR, 18 Okt – Sambil mengkritik pentadbiran Najib juga sudah mula boros dengan projek-projek mega atas alasan mahu merancakkan ekonomi negara, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, ia petanda awal empayar Barisan Nasional (BN) kini di ambang keruntuhan.

“Keghairahan kerajaan untuk menunjukkan elemen mega (dengan membina monumen) adalah petanda kejatuhan empayar mereka. Kami akan berdoa agar ia akan terjadi,” kata ketua pembangkang (gambar) ini di Dewan Rakyat ketika membahaskan ucapan Bajet 2011 hari ini.

“Tindakan terburu-buru untuk melaksanakan projek-projek mega, yang kononnya bagi menggambarkan kemegahan negara, kini diulangi oleh kepimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) semasa,” kata beliau.

“Di sini, saya hendak bertanya mengenai kebijaksanaan Permodalan Nasional Berhad menerima arahan daripada kerajaan untuk melibatkan diri dalam projek raksasa ini,” kata Ketua Umum Pakatan Rakyat ini.

Dalam Bajet 2011 yang diumumkan Jumaat lalu, Najib antara lain mengumumkan projek transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) di Lembah Klang yang akan dilaksanakan mulai tahun hadapan.

Projek itu dengan anggaran kos pelaburan swasta kira-kira RM40 bilion dijangka siap sepenuhnya menjelang 2020.

Sebuah lagi projek utama yang akan dilaksanakan adalah pembangunan tanah Lembaga Getah Malaysia di Sungai Buloh seluas 2,680 ekar. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melaksanakan pembangunan bercampur melibatkan kediaman mampu milik, perdagangan, industri serta kemudahan prasarana. Keseluruhan pembangunan ini, dianggarkan bernilai RM10 bilion dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2025.
Turut diumumkan ialah pembinaan projek bersepadu “Warisan Merdeka” dengan menara 100 tingkat tertinggi di Malaysia bernilai RM5 bilion yang dijangka siap pada 2015.

Najib berkata, “di sudut yang lain, kita berasa sungguh berbangga, bahawa, ke mana sahaja kita pergi, semua orang mengetahui tentang Menara Berkembar Petronas yang menjadi ikon negara.”

“Ia merupakan satu monumen kepada semangat Malaysia Boleh. Hakikatnya, kekuatan negara adalah adunan dan bauran sejarah kelmarin dan harapan hari esok. Jadi, sebagai satu lagi mercu tanda kebanggaan negara menjelang 2020, Permodalan Nasional Berhad akan mula membangunkan projek bersepadu yang dinamakan Warisan Merdeka.

“Ia akan mengekalkan Stadium Merdeka, Stadium Negara dan pembinaan sebuah menara 100 tingkat yang tertinggi di Malaysia. Keseluruhan projek ini bernilai RM5 bilion, di mana, menaranya dijangka akan siap pada tahun 2015,” kata Najib.

Anwar pula berhujah, pembinaan Menara Berkembar Petronas pada 1990-an dengan sendiri telah menelan kos RM6 bilion.

Kata Penasihat PKR ini ia tidak termasuk kos tanah sebanyak RM900 juta, taman KLCC RM200 juta dan Dewan Filharmonik Petronas yang menelan RM500 juta.

“Kos keseluruhan lebih RM10 bilion dan ini tidak termasuk kos penyelenggaraan RM250 juta setiap tahun.

“Adakah ini (yang dimaksudkan) kemegahan negara? (Juster) adakah kita memerlukan satu lagi menara 100 tingkat di Malaysia?” soal beliau.

Anwar memberitahu, sebanyak RM5 bilion yang dicadangkan untuk projek menara Warisan Merdeka boleh digunakan untuk membina 1,667 sekolah pada kos RM3 juta setiap satu.
“Tetapi tidak, yang itu tidak penting. Tetapi, apa yang penting ialah menunjukkan elemen mega,” kata beliau.

Tiada ulasan: