Isnin, 18 Oktober 2010

Sabah dan Serawak penyumbang terbesar tetapi dapat peruntukan tercorot

KUALA LUMPUR 18 Okt - Sabah dan Sarawak terus dipinggirkan apabila kerajaan Umno-Barisan Nasional hanya memperuntukkan RM10 bilion untuk projek pembangunan sementara Semenanjung Malaysia mendapat sepuluh ganda jumlah tersebut iaitu RM110 bilion.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata dalam siri projek mega berbilion ringgit yang disebut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam Belanjawan 2011 yang dibentangnya Jumaat lalu untuk mentranformasikan ekonomi ke arah negara berpendapatan tinggi, Sabah dan Sarawak sekali lagi ditekan dan dipinggirkan daripada menikmati manfaat daripada Pelan Transformasi Kerajaan.

"Kebanyakkan projek yang disenaraikan hanya menguntungkan Semenanjung Malaysia sementara rakyat di Sabah dan Sarawak dianaktirikan.
Nilai projek yang disebutkan di mana secara spesifik terletak di Semenanjung dengan peruntukan besar, RM110 bilion dan ini termasuk projek seperti pembinaan sistem MRT bernilai RM40 bilion di Lembah Klang, pembinaan KL international Financial District (KLFID) bernilai RM26 bilion, pembangunan tanah bercampur di Sungai Buluh bernilai RM26 bilion dibiayai menggunakan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta pembinaan kontroversi, bangunan Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat bernilai RM5 bilion.

"Berbanding pembangunan projek di Sabah dan Sarawak, hanya diperuntukan sejumlah RM10 bilion iaitu 8% daripada nilai keseluruhan projek yang diumumkan di dalam Bajet 2011," jelas Tony pada sidang media di lobi Parlimen pagi tadi.

Ironinya kata Tony, di sebalik sumbangan besar industri minyak dan gas di Sabah dan Sarawak, kerajaan Umno-BN terus meminggirkan rakyat bawahan yang memerlukan bagi menaikkan taraf ekonomi mereka.

Menurutnya lagi, sejak 6 tahun lepas, kerajaan sangat bergantung kepada hasil yang disumbangkan daripada sektor minyak dan gas, terutamanya sekali, Petronas yang telah membiayai kerajaan dalam bentuk cukai pendapatan, dividen, duti eksport dan juga pembayaran royalti.

Sumbangan itu secara purata telah memberikan pulangan yang lumayan iaitu purata 40 peratus atau lebih kurang RM60 bilion setahun daripada jumlah pendapatan kerajaan untuk beberapa tahun kebelakangan ini.

Berdasarkan maklumat pada tahun 2007, Sabah dan Sarawak telah menyumbangkan 44.5 peratus dalam bentuk minyak mentah dan 64.1 peratus hasil pengeluaran gas asli dalam negara.

"Ini menunjukkan kedua-dua negeri ini menjadi penyumbang utama pendapatan untuk kerajaan pusat, khususnya tetapi pada masa yang sama, berpandukan kepada laporan suku tahun Rancangan Malaysia Ke-9, Sabah dan Sarawak kekal sebagai negeri antara yang paling miskin.

"Menurut laporan itu lagi, kadar kemiskinan di Semenanjung Malaysia adalah 2.3 peratus, manakala Sarawak pula, dua kali ganda iaitu 4.3 peratus dan di Sabah pula hampir 7 kali ganda iaitu 16 peratus," tegas Pua dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Tiada ulasan: