Sabtu, 8 November 2008

Mangsa Ribut Di Bantu Di Langkawi






Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

AYER HANGAT: Setiap orang Islam perlu melihat musibah yang menimpanya sebagai perkara positif dan bersabar dengan kejadian tersebut. Malah perlu rasa bersyukur kerana disebalik ujian dihadapi, ada lagi mereka yang lebih berat menerima ujian.

Untaian nasihat itu disampaikan Menteri Besar, YAB Dato' Seri Ustaz Haji Azizan Abdul Razak pada majlis khas penyerahan sumbangan kepada 65 mangsa ribut dari kampung Padang Lalang di sini, 4 November lalu.

Katanya, jika ujian ribut melanda di Langkawi, di daerah-daerah lain dalam negeri Kedah pula baru sahaja dilanda banjir yang bukan sahaja menenggelamkan rumah tetapi juga merosakkan hasil pertanian. Pihak kerajaan ujar beliau, sememangnya bersimpati dengan kejadian itu dan berusaha membantu setiap mangsa.

Terdahulu, Penghulu Mukim Ayer Hangat, Encik Malik Abd Aziz dalam ucapannya memaklumkan bahawa pelbagai pihak telah tampil membantu mangsa dan bantuan susulan juga akan diberikan kepada mangsa berdasarkan senarai bancian selain akan melaksanakan kerja gotong-royong membersihkan kawasan kejadian.

Pada kejadian ribut yang melanda kampung itu 30 Oktober lalu, kebanyakan rumah telah mengalami kerosakan teruk akibat diterbangkan angin dan dihempap pokok selain bekalan elektrik juga terputus.

Menteri Besar dan isteri, YABhg To' Puan Hajjah Faikah Sheikh Hamzah serta anggota Exco Kerajaan Negeri terdiri daripada YB Ustazah Hajjah Siti Ashah Haji Ghazali, YB Dr Ismail Salleh, YB Encik Arumugam Vengatarakoo dan YB Encik Mohammad Radzhi Salleh turut meluangkan masa melawat ke tempat kejadian selepas majlis tersebut.
Langkawi - Kerajaan negeri Kedah yang prihatin akan nasib mangsa ribut di Langkawi telah memberikan sumbangan kepada mangsa-mangsa ribut . Sumbangan disampaikan oleh YAB Dato' Seri Ustaz Haji Azizan Abdul Razak Menteri Besar Kedah
Posted by Warta Darul Aman Daily at 5:31 PM

Tiada ulasan: