Ahad, 9 November 2008

Melindungi kesihatan dari perubahan iklim











Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
KUAH: Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah mahu rakyat negeri ini peka mengenai isu pemuliharaan alam sekitar dalam semua aspek dengan memberi perhatian kepada perkara-perkara yang boleh mengakibatkan pencemaran alam sekitar secara langsung atau tidak langsung selain turut menitahkan agar pihak-pihak industri lebih bertanggungjawab dalam pembuangan sisa industri mereka.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2008 Peringkat Negeri Kedah di Dataran Lang, di sini 4 November baru-baru ini.

"Dulu perubahan iklim bumi berlaku akibat faktor-faktor semulajadi tetapi sekarang perubahan tersebut dipercepatkan lagi oleh aktiviti manusia secara langsung atau tidak langsung," titah Tuanku Sultan dengan turut menyatakan bentuk-bentuk perubahan iklim serta kesan kesihatan yang berlaku.
Sultan Kedah bertitah, rakyat perlu bertindak untuk mengelak pembaziran tenaga yang boleh mencemar alam dengan menyahut usaha-usaha penjimatan elektrik, mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor serta mengitar semula bahan buangan. Manakala kepada pihak industri, baginda melahirkan harap agar dapat mengurangkan pelepasan sisa industri ke udara, mematuhi perundangan negara dalam pelupusan sisa industri selain menggunakan teknologi terkini dalam pemerosesan sisa industri yang mesra alam.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Dan Penerangan, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Insan Negeri, YB Dr Ismail Salleh dalam ucapan aluannya menjelaskan, sambutan kali ini yang bertemakan "Melindungi Kesihatan Dari Perubahan Iklim" bermaksud penekanan bahawa perubahan iklim akan mampu mengancam keselamatan kesihatan awam sejagat.
Katanya, melalui tema ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia menekankan pentingnya usaha-usaha bersepadu penduduk dunia bagi menghadapi cabaran kesihatan yang berkaitan perubahan iklim.
"Antara tindakan yang boleh diambil ialah memperkukuhkan pencegahan dan kawalan penyakit, memastikan bekalan air yang selamat serta menyelaraskan tindakbalas segera semasa berlakunya kecemasan," ujarnya yang memperincikan dalam ucapannya fenomena perubahan iklim dunia dan kesan-kesan kesihatan awam.

Memeriahkan majlis, hadirin dipertontonkan sketsa bertajuk "Tiada Aedes Tiada Denggi" yang disampaikan oleh pelajar-pelajar dari Sekolah Kebangsaan Kedawang.

KDYMM Tuanku Sultan dan KDYMM Tuanku Sultanah serta ahli-ahli kerabat diraja seterusnya diiringi melawat ke ruang pameran yang diadakan sempena sambutan itu.

Tiada ulasan: