Sabtu, 22 November 2008

Projek pusat ternakan babi dibatal

ALOR STAR-Projek pusat ternakan babi termoden di Bukit Selambau dibatalkan atas nasihat Jabatan Veterinar, kata Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak. Beliau berkata berdasarkan penyelidikan yang dijalankan, jabatan itu memberi nasihat kepada kerajaan negeri agar membatalkan projek berkenaan kerana kawasan itu tidak lagi sesuai. “Bukit Selambau didapati dikelilingi kayu kayan dan jumlah penduduknya ramai,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menggulung perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

Beliau bagaimanapun berkata kerajaan negeri kesal dengan laporan mengenai projek pusat ternakan babi termoden yang didakwanya diputarbelit stesen televisyen.

Isu mengenai kelulusan membina sebuah pusat ternakan babi termoden di Bukit Selambau sebenarnya tidak lagi timbul kerana ia telah diluluskan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Disember tahun lepas, katanya.

Kelmarin sebuah stesen televisyen swasta memetik jawapan bertulis pada sidang Dewan Undangan Negeri mengenai perkara itu, kononnya kerajaan negeri telah meluluskan projek pusat ternakan babi berkenaan.

Pada perkembangan lain, Azizan berkata kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan kerajaan pusat untuk membangunkan pulau Langkawi sebagai pusat pelancongan. Beliau berkata memandangkan perjanjian kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) iaitu sebuah agensi kerajaan pusat berakhir pada Mac 2010, kerajaan negeri sedia untuk berbincang semula dengan kerajaan pusat mengenai perkara itu.

Azizan turut melahirkan rasa kesalnya dengan beberapa agensi kerajaan pusat yang didakwa tidak memberi kerjasama kepada kerajaan negeri termasuk tidak membenarkan gambarnya sebagai Menteri Besar digantung dalam pejabat dan sekolah. “Sebuah jabatan juga tidak mahu memberi alat siaraya pada majlis yang dirasmikan saya. Peristiwa itu berlaku pada satu majlis penyampaian sijil di Baling tetapi tak apalah, kita beli sendiri alat tu (alat siaraya)”, katanya.

Sementara itu, Azizan berkata kerajaan negeri akan meneruskan hasrat menebang balak di kawasan Empangan Pedu kerana walaupun kerajaan pusat pada dasarnya berjanji untuk memberi pampasan RM100 juta supaya kawasan itu tidak diganggu, wang itu belum diterima. “Jika bagi RM100 juta kita tak usik la balak di kawasan itu tetapi jika tidak beri duit seperti yang dijanjikan, kita akan tetap potong dengan cara yang terbaik tanpa mencemarkan alam sekitar,” katanya.

Tiada ulasan: