Ahad, 14 Disember 2008

Malaysia antara tertinggi kadar penularan AIDS

ALOR STAR 13 Dis. - Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim melahirkan rasa prihatin dengan kadar penularan AIDS yang tinggi di negara ini.

Beliau selaku Pengerusi Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) berkata, Malaysia merupakan salah sebuah negara yang mempunyai kadar yang tinggi dalam penularan AIDS di kalangan negara Asia Tenggara dan Pasifik.

"Menurut Joint United Nations Programmes on HIV/Aids (UNAIDS), setiap hari lebih kurang 12 orang di negara ini diuji positif dengan virus HIV/AIDS.

"Sehingga Jun 2008, sebanyak 1,766 kes baru jangkitan HIV/AIDS telah dikesan dan sehingga kini seramai 82,704 rakyat negara ini dijangkiti virus itu sejak ia mula dikesan pada 1986," kata beliau.

Tunku Puteri Intan Safinaz turut prihatin dengan statistik AIDS di Kedah.

"Statistik di negeri Kedah juga menunjukkan angka yang kurang menyenangkan kerana ada peningkatan dalam kes HIV/AIDS di kalangan wanita dan kanak-kanak," kata beliau pada Majlis Pelancaran Hari AIDS Sedunia 2008 Peringkat Negeri Kedah di Mergong, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Tunku Puteri Intan Safinaz turut merasmikan penubuhan Persatuan Cahaya Harapan Negeri Kedah yang menyediakan kemudahan untuk ujian HIV, kaunseling dan kaedah rawatan kepada penagih dadah.

Persatuan itu hari ini turut mengadakan program pertukaran jarum suntikan yang membekalkan peralatan menyuntik yang bersih dan selamat kepada penagih yang bermatlamat mengawal penyebaran virus HIV.

- Bernama

Tiada ulasan: