Isnin, 15 Disember 2008

Remaja kita memang bermasalah




Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

Golongan remaja di dalam negara kita sememangnya bermasalah, pun begitu, usaha ke arah menyelamatkan mereka masih terbuka. Itulah kesimpulan yang dapat dibuat hasil kajian ke atas peserta Kem Bina Sahsiah 2008 anjuran Kerajaan Negeri Kedah dengan kerjasama Majlis Muassasah Darul Ulum di Kompleks Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena dari 16 November lalu hingga 6 Disember baru-baru ini.

Keputusan analisis kajian itu telah dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Dan Penerangan, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Insan Negeri, YB Dr Ismail Salleh kepada ibu bapa peserta pada hari penutup KBS yang diadakan di Dewan Sultan Abdul Halim Mu‘adzam Shah, Kolej Universiti Insaniah, di sini 6 Disember lalu.

Antara hasil analisis yang memberikan angka keputusan tinggi adalah berhubung harapan ibu bapa terlalu tinggi hingga menjadi tekanan kepada anak-anak. Menurut Dr Ismail, ianya juga boleh ditafsirkan sebagai terdapatnya masalah dalam hubungan anak-anak dengan ibu bapa.

“Tidak salah memberi harapan kepada mereka dan itulah yang sepatutnya. Tetapi perlu muat turun anak-anak dengan kemampuan untuk mengolah tekanan menjadi daya untuk berjaya dalam sesuatu perkara,” katanya

Kefahaman agama di kalangan peserta juga menunjukkan keputusan yang tinggi khususnya dalam perkara berkaitan fardhu ain tetapi pelaksanaan agama misalnya solat menunjukkan sebaliknya.

Peratusan yang tinggi di kalangan peserta lelaki menunjukkan kecenderungan mereka merasa tidak bebas berada di rumah dan meminati aktiviti malam yang tidak berfaedah.

Keputusan paling mengejutkan penganjur ialah kehendak kepada kebebasan agama yang tinggi di kalangan peserta perempuan.

Majoriti peserta juga tidak mempunyai ketahanan diri kerana mempunyai perasaan takut menghadapi kegagalan yang cenderung melemahkan daya usaha. Menurut Dr Ismail, antara simptom yang boleh dilihat kepada anak-anak seperti ini ialah hilangnya tumpuan mereka semasa di sekolah.

Para peserta juga mencatatkan peratusan yang tinggi pada soalan berhubung keterlibatan dalam masalah asas seperti merokok, melepak dan vandalisme. Malah peserta lelaki juga mencatatkan angka tertinggi kepada perasaan hendak melarikan diri dari rumah.

“Tetapi dari segi muhasabah diri juga mencatatkan angka positif. Bahawa anak-anak ini masih boleh dibantu, kerana ada rasa bersalah dan hendak memperbetulkan diri. Naluri ini perlu dibantu ibu bapa.

“Ada peserta masih merasa sokongan keluarga, ada melepaskan tekanan dengan aktiviti berfaedah seperti sukan dan seumpamanya, ada berkongsi dengan rakan sebaya, tetapi tidak kurang memendam rasa yang mungkin disebabkan sikap tidak acuh ibu bapa dalam mendengar masalah anak-anak,” terang Dr Ismail.

Jelas beliau, kajian itu relevan dan boleh dijadikan petunjuk bahawa remaja dalam negara ini sememangnya bermasalah. Jika berterusan katanya, kita tidak tahu keadaan yang akan jadi 20 tahun akan datang.

“Kebanyakan ‘family’ yang datang berpendidikan agama dan peserta juga ramai dari aliran agama. Jadi berdasarkan pembentangan tadi, anak-anak yang berpendidikan agama pun bermasalah, jika petunjuk ini kita ambil, bermakna teruk negara kita ini. Kalau dicampur ibu bapa di luar yang tidak mempunyai asas agama, tentu angkanya tinggi lagi,” ujar beliau melontarkan kebimbangan.

Beliau melihat empat punca yang menyebabkan masalah tersebut iaitu pendidikan dalam keluarga, rakan sebaya, sistem pendidikan dalam negara dan persekitaran luar. Bagaimanapun beliau mengandaikan, faktor keluarga dan rakan sebaya tidak banyak berubah dalam tempoh beberapa tahun, tetapi yang cepat mempengaruhi perubahan ialah sistem pendidikan dan persekitaran.

Katanya, tidak ada ibu bapa yang hendak melihat anaknya berada dalam keadaan tidak baik, tetapi mendidik anak juga memerlukan ilmu. Mendidik anak-anak katanya, secara umum tidak bergantung hanya kepada latarbelakang pendidikan ibu bapa, tetapi juga faktor pengalaman dan didikan yang diperolehi daripada ibu bapa dari keluarganya. Menurutnya, didikan yang didapati oleh ibu bapa itulah selalunya ‘dicetak’ semula kepada anak-anak.

Sedangkan, pembawaan ibu bapa di dalam mendidik anak-anak dengan pendekatan sebegini, kata Dr Ismail, tidak bersesuaian pula dengan perubahan zaman di mana anak-anak telah dipengaruhi oleh faktor persekitaran yang sangat cepat berubah.

“Malah di ‘handphone’ kita sekalipun, boleh ‘download’ macam-macam. Ini antara penyumbang besar kepada masalah anak-anak pada hari ini termasuk juga media massa yang ada. Semua ini tidak menjurus kepada anak-anak untuk menjadi insan yang baik,” katanya.

Jelas beliau, alam keremajaan hadir bermula dengan perubahan hormon secara semulajadi dalam diri. Seiring perubahan itu katanya, perubahan fizikal dan mental turut terjadi.

“Bila masuk ke alam remaja, pemikiran anak kita menjadi kritis kadang-kadang tanpa memikirkan kesan dari tindakan yang dibuat. Dia hendak buat dan cuba. Pada masa ini, anak-anak cenderung untuk punya rakan sebaya yang berkongsi halnya. Jadi masa inilah perlunya ibu bapa menjadi ‘rakan kongsi’ dengan anak-anak,” ujar beliau.

Katanya, tidak bermakna apabila ibu bapa menjadi rakan kepada anak-anak, akan hilang rasa hormat anak-anak kepada mereka. Sebaliknya pemikiran, masalah, pandangan dan perbincangaan dengan anak-anak ujarnya, perlu dikongsi bersama hingga menjadi panduan kepada anak-anak dalam menghadapi situasi sebenar.

“Kalau tempat dan masa ini kita tidak ambil, walaupun kita duduk bersama anak-anak setiap waktu, tidak ada masa berkualiti untuknya, maka bermula dari situlah dia mencari di luar. Jadi sebenarnya, masalah anak remaja ini bermula dari rumah sama ada kita sedari atau tidak,” terangnya.

Beliau turut menasihatkan supaya permasalahan antara ibu bapa juga jangan dijadikan beban masalah kepada anak-anak. Walaupun kesan dari permasalahan itu juga terkena kepada anak-anak, tetapi ibu bapa katanya, berperanan meminimakan kesan itu.

Oleh itu tegasnya, ibu bapa perlu mengemaskini ilmu mendidik anak-anak sesuai dengan perkembangan semasa.

Jelas beliau, dari tahun ke tahun, masalah yang berlaku kepada remaja juga bukan semakin baik tetapi semakin meruncing, walaupun pada asasnya mereka mendapat pendidikan agama.

“Menyedari hakikat itulah, kita hendak menjadikan Kedah ini ‘Negeri Ilmu’. Antaranya memperbanyakkan institusi pendidikan Islam dan pada masa sama, persekitaran serta tempat-tempat yang mempengaruhi ke arah kerosakan akan diberi kawalan.

Menurutnya lagi, pihak beliau melalui portfolio Pembangunan Insan telah menyusun program untuk anak-anak bermula dari darjah 6 dan mereka yang akan melangkah ke peringkat menengah dengan memperkenalkan Kem Bina Solat.

“Maknanya anak-anak ini, sebelum melangkah ke Tingkatan 1, soal solatnya sudah selesai. Untuk anak-anak berusia 15 tahun akan diadakan Kem Bina Insan, manakala kemuncaknya KBS.

Beliau turut merayu agar ibu bapa menyediakan suasana konduksif untuk anak-anak mengaplikasikan perkara yang ditimba sepanjang program itu.

“Berilah ruang dan sediakan ruang untuk mereka ini berubah, sebab kadang-kadang apabila mereka telah ditarbiyyah, pulang ke tempat asalnya, suasana untuk dia berubah itu tidak ada dan dia akhirnya kembali kepada perangai lamanya,” katanya menasihati.

Tiada ulasan: