Rabu, 28 Julai 2010

Subsidi RM9.9 bilion untuk pesakit klinik 1Malaysia




Kerajaan memberi subsidi kos rawatan berjumlah RM9.9 bilion untuk pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik 1Malaysia.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin (kanan), berkata pesakit tempatan hanya dikenakan bayaran perkhidmatan RM1 berbanding caj RM15 untuk warga asing.

"Perbezaan bayaran perkhidmatan ini adalah untuk memastikan rakyat Malaysia menikmati subsidi yang diberikan oleh kerajaan," katanya menjawab soalan Senator Datuk Daljit Singh Dalliwal pada persidangan Dewan Negara di Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun, menurut Rosnah, kementerian kesihatan tidak mempunyai maklumat untuk kos subsidi untuk setiap pesakit di klinik 1Malaysia.

Sehingga 25 Julai tahun ini, daripada 721,888 pesakit yang mendapatkan perkhidmatan di klinik 1Malaysia, tidak sampai satu peratus adalah warga asing.

Rosnah berkata, klinik 1Malaysia buat masa sekarang tidak menyediakan perkhidmatan rawatan hemodialisis untuk pesakit buah pinggang.

"Perkhidmatan hemodialisis hanya disediakan di hospital kerajaan kerana klinik 1Malaysia tidak mempunyai infrastruktur yang sesuai dan tidak mempunyai doktor pakar dalam rawatan tersebut," katanya.

Rosnah berkata, sehingga kini terdapat sebanyak 485 pusat dialisis dan 5,255 mesin dialisis di seluruh negara untuk sejumlah 17,477 pesakit buah pinggang.

Pusat dialisis itu dikendalikan oleh kerajaan, pihak swasta dan badan bukan kerajaan.

Tiada ulasan: