Isnin, 31 Mei 2010

51 bekas penyokong Dato’ Bashah keluar parti sertai PAS

Oleh: MOHD AZAM AWANG




TAMAN WIRA MERGONG, ALOR SETAR: Umno Bahagian Alor Setar menerima pukulan hebat apabila 51 ahlinya keluar parti untuk menyertai PAS.

Majlis penyerahan borang kepada yang Dipertua PAS Kawasan Alor Setar yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dr. Ismail Salleh diadakan di Mini Stadium Insaniah sempena majlis ceramah umum isu-isu semasa.

Selain dari 51 bekas ahli Umno, 23 borang ahli baru yang belum pernah menyertai mana-mana parti, turut diserahkan menjadikan jumlah keseluruhan ialah 74 orang.

Penyertaan mereka ke dalam PAS atas pelbagai sebab, namun kekecewaan terhadap ADUN Bakar Bata yang tidak pernah memperdulikan kebajikan rakyat sejak empat penggal menjadi wakil rakyat menjadi pendorong utama.

Berucap mengalu-alukan kehadiran ahli baru PAS itu, Dr. Ismail mengucapkan tahniah kepada mereka kerana membuat pilihan yang tepat kerana BN, khususnya Umno kini berada di kemuncak penolakan rakyat terhadap mereka.

“Masalah besar bagi Umno ialah mereka masih tidak dapat menerima kekalahan pada pilihanraya umum lalu walaupun sudah dua tahun masa berlalu.

“Sekarang mereka semacam terkena penyakit ‘meroyan’ hingga melakukan pelbagai cara untuk menganggu gugat kerajaan negeri yang dipilih oleh rakyat secara sah,” ujarnya.

Cubaan menarik ADUN Pakatan Rakyat melompat parti, katanya, adalah antara contoh tindakan tidak mereka mengganggu pentadbiran kerajaan negeri.

Tambahnya, isu lompat parti kini selesai kerana jika BN menggunakan sifir politik apa pun, jumlah mereka tetap tidak mencukupi untuk menjatuhkan kerajaan yang ada.

Turut berucap di majlis itu ialah Ahli Parlimen Padang Terap, Ustaz Nasir Zakaria dan ADUN Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa. Kehadiran orang ramai di majlis tersebut adalah luar biasa setelah mereka mendengar khabar angin bahawa ADUN BN Kuala Nerang, Syed Sobri Syed Hashim akan keluar Umno untuk sertai PAS.

Sementara itu dalam isu yang lain, Setiausaha PAS Kawasan Alor Setar menafikan laporan BERNAMA bahawa 18 ahli PAS Alor Binjal menyertai Umno. “Berita itu karut, hanya seorang ahli PAS masuk Umno kerana dijanjikan rumah KEDA, 17 yang lain itu ‘Umno masuk Umno’,” jelasnya.

Tiada ulasan: