Isnin, 24 Mei 2010

Hadi: PAS sedang satu-padukan semua kaum






Keterbukaan PAS menerima orang bukan Islam menyertai parti Islam itu melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) membuktikan bahawa parti itu sedang menyatupadukan semua kaum di negara ini.

Harakah Daily memetik presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, jika semua kaum di Malaysia digabungkan dengan baik, ia akan menghasilkan natijah yang baik untuk manfaat negara.

"PAS cuba menyatupadukan seluruh kaum di negara ini dengan membuka pintu kepada orang bukan Islam menyertai PAS.


"Ini terbukti apabila Kelab Penyokong PAS dinaiktaraf sebagai Dewan Himpunan Penyokong PAS," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan pelancaran DHPP di Klang hari ini.Sebagai gimik pelancaran, beliau menyentuh sebuah glob bertulis DHPP.

Dalam ucapannya, Hadi juga berkata, apa yang boleh menyatukan semua kaum ialah keadilan dan saling menghormati antara satu kaum dengan kaum yang lain, dan ia sedang dibuktikan oleh PAS.

Mengulas lanjut beliau berkata PAS mengambil langkah proaktif sewaktu memerintah Terengganu apabila membenarkan orang bukan Islam menjadi calon PAS bertanding pilihan raya.

"Ini membuktikan bahawa PAS tidak mengenepikan orang bukan Islam," katanya lagi.

Turut hadir Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa, Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar dan Salahudin Ayub, Bendahari, Dr. Hatta Ramli, Ketua Penerangan, Idris Ahmad.

Manakala pimpinan lain termasuk Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hassan Ali, Pengerusi Lajnah Perpaduan Kaum, Mujahid Yusof, timbalannya, Halimah Ali yang juga pengarah program serta pengerusi dan timbalan pengerusi DHPP Hu Pang Chaw dan N Balasubramaniam.

Tiada ulasan: