Ahad, 13 Jun 2010
Lembaran baru konflik
Tragedi yang menimpa konvoi kapal- kapal Flotila Pembebasan yang membawa bantuan kemanusiaan ke Genting Gaza bukan sahaja membuka lembaran baru dalam konflik Israel-Palestin tetapi mengesahkan bahawa rejim Zionis Israel adalah pengganas nombor satu dunia.
Insiden komando dan tentera marin Israel menceroboh, menyerang, membunuh dan menawan kapal-kapal yang menyertai flotila itu pada 31 Mei lalu telah menimbulkan kesedaran baru masyarakat dunia terhadap krisis Israel-Palestin.
Dalam kejadian itu, seramai sembilan aktivis pro-Palestin kebanyakan mereka warga Turki terbunuh, manakala 30 yang lain cedera apabila komando Israel melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah aktivis pro-Palestin selepas menceroboh kapal Mavi Marmara yang menyertai flotila itu untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Apa yang menyedihkan kesemua kira-kira 600 aktivis keamanan dan pro-Palestin yang menaiki kapal penumpang tersebut dan lima kapal yang lain tidak membawa senjata dan berada di perairan antarabangsa.
Kekejaman Israel begitu menyerlah dalam insiden tersebut apabila terdapat mayat aktivis yang ditembak bertubi-tubi sebanyak 30 kali oleh komando Israel.
Pihak berkuasa rejim Zionis mendakwa komando Israel melepaskan tembakan ke arah aktivis-aktivis itu bagi mempertahankan diri setelah didakwa menyerang mereka.
Kekejaman komando Israel itu telah mencetuskan gelombang kemarahan masyarakat dunia dengan melancarkan tunjuk perasaan besar-besaran di seluruh pelosok dunia.
Yang mengharukan adalah protes besar-besaran di seluruh dunia itu bukan sahaja dianjurkan oleh penduduk Islam tetapi juga penduduk Eropah, Asia Amerika, Australia dan Amerika Latin, tanpa mengira agama dan bangsa yang prihatin terhadap penderitaan penduduk Palestin.
Malahan penduduk Yahudi anti-Zionisme turut mengadakan bantahan mengecam tindakan tentera rejim Zionis Israel itu.
Kali ini, rejim Zionis Israel benar-benar tercabar apabila tindakan kejam mereka menerima kecaman kuat dari seluruh dunia.
Jika sebelum ini, Israel tidak mengambil pusing kecaman dunia termasuk daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tetapi misi bantuan kemanusiaan di bawah nama Flotila Pembebasan itu membawa lembaran baru apabila Israel menerima tekanan hebat dari seluruh dunia mengutuk tindakannya itu.
Ini dapat dilihat daripada tindakan Israel yang lebih berhati-hati ketika menawan kapal Rachel Corrie, kapal terakhir yang menyertai Flotila Pembebasan itu kelmarin, sebuah kapal kargo yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza yang menggunakan nama aktivis keamanan Amerika Syarikat, Rachel Corrie yang terbunuh akibat dirempuh jentolak Israel pada 2003.
Jika semasa menawan kapal Mavi Marmara, Israel menggunakan helikopter penggempur, bot-bot penyerang laju dan komando-komando terlatih tetapi tidak ketika menawan kapal Rachel Corrie pada 5 Jun lalu.
Israel hanya menggunakan tentera marin ketika menawan kapal Rachel Corrie dan tidak bertindak menceroboh kapal tersebut serta dua kapal pengiring Challenger I dan Challenger II sebelum menawan lapan anak kapal serta 11 aktivis keamanan dan pro-Palestin termasuk enam warga Malaysia.
Israel juga menggunakan pendekatan diplomasi semasa menawan aktivis-aktivis tersebut dengan mengarahkan mereka menyerah diri sebelum menahan kapal dan menundanya ke pelabuhan tentera Israel di Ashdod.
Buat pertama kalinya Israel 'tewas' di medan perang tetapi bukan kepada pejuang-pejuang Palestin dan pejuang-pejuang keamanan dan kemanusiaan.
Kapal-kapal perang Israel dan komando serta tentera marin Israel tewas kepada 'armada' kecil kapal-kapal yang bukan membawa tentera dan senjata tetapi membawa aktivis yang cintakan keamanan dan prihatin terhadap penderitaan penduduk Palestin yang terkepung di Gaza dengan membawa bantuan makanan, ubat-ubatan dan bahan binaan untuk keperluan penduduk Gaza.
Insiden yang berlaku ke atas Flotila Pembebasan itu bukan sahaja merobohkan ego dan kesombongan rejim Zionis Israel tetapi juga memberi tamparan hebat kepada PBB yang selama ini 'membutakan mata dan memekakkan telinga' atas penderitaan penduduk Gaza yang terkepung hampir empat tahun oleh rejim tersebut.
Buat pertama kalinya Setiuasaha Agung PBB, Ban Ki-moon mengeluarkan kenyataan mengutuk tindakan Israel dan buat pertama kalinya Majlis Keselamatan PBB serta Kesatuan Eropah (EU) mendesak supaya satu inkuari dijalankan bagi menyiasat insiden kejam tersebut.
Mesir yang juga menerima tamparan daripada insiden tersebut telah bertindak membuka sempadannya, setelah selama ini bersekongkol dengan Israel menutup sempadannya dengan Gaza di Rafah serta membina tembok-tembok konkrit bagi menghalang penduduk Gaza menyeludup masuk barangan makanan melalui terowong-terowong rahsia dekat Rafah.
Jika lebih banyak misi-misi kemanusiaan yang tersusun seperti Flotila Pembebasan dapat digerakkan bagi membantu penduduk Palestin, mungkin ia boleh menjadi 'senjata' yang berkesan bagi mengenakan tekanan kepada Israel dan negara-negara kuasa besar bagi menggerakkan rundingan damai Israel-Palestin yang telah terencat dan menamatkan konflik Israel-Palestin yang telah berlarutan lebih 62 tahun.
Walaupun misi Flotila Pembebasan gagal untuk menghantar bantuan kepada penduduk Palestin tetapi kumpulan ini menang dalam 'peperangan' dengan Israel kerana berjaya menyampaikan mesej jelas kepada penduduk dunia terutama kepada Israel, PBB, sekutu kuat Israel - Amerika Syarikat, EU, Liga Arab dan Persidangan Pertubuhan Islam (OIC) supaya berbuat sesuatu bagi menghentikan penderitaan penduduk Palestin, bukan sahaja di Gaza tetapi juga di Tebing Barat.
Inilah sebab utama mengapa Israel bersungguh-sungguh menghalang konvoi kapal-kapal bantuan kemanusiaan di bawah nama Flotila Pembebasan sampai ke Gaza.
Mereka tidak mahu kejayaan konvoi kapal-kapal bantuan kemanusiaan itu memasuki Gaza kerana ia akan mendorong lebih banyak kapal bantuan kemanusiaan dan pihak luar memasuki Gaza secara terbuka sekali gus mengugat kawalannya ke atas Gaza.
Dari segi politiknya, Israel juga sedar kejayaan kapal-kapal itu memasuki Gaza tanpa dihalang menandakan Israel mengiktiraf kedudukan Hamas di Gaza.
Israel tidak mampu melihat keadaan itu berlaku dan tidak bersedia untuk melihat kedudukan Hamas semakin kukuh dan mendapat pengiktirafan dunia, kerana Israel menganggap Hamas yang mentadbir Gaza sebagai sebuah kumpulan pengganas.
Oleh kerana itu, Israel sanggup menanggung segala tekanan dan kesan daripada tindakannya menyerang kapal-kapal Flotila Pembebasan itu bagi mempertahankan status-quonya di Gaza.
Namun, apa sahaja tindakan Israel untuk menghalang flotila itu memasuki Gaza, ia sebenarnya telah berjaya membangkitkan gelombang kemarahan dunia terhadap konflik Israel-Pelastin.
Ini jelas terbukti, kerana kebimbangan Israel bukan terhadap kedudukan Gaza yang terletak di selatan negara itu, tetapi kepada pengaruh Hamas yang semakin mendapat sokongan penduduk Palestin.
Israel tidak pernah menganggap Gaza yang mempunyai kawasan seluas 360 kilometer persegi, hampir menyamai keluasan Pulau Langkawi yang diserahkan kepada Pihak Berkuasa Palestin pada 13 September 1993 di bawah Perjanjian Oslo sebagai penting, sehinggalah Hamas mengambil alih pentadbiran Gaza daripada Pihak Berkuasa Palestin pada 2007 setelah pergerakan itu memenangi pilihan raya kawasan itu pada 2006.
Sejak itu, Israel bertindak secara unilateral mengenakan sekatan di Gaza termasuk sekatan udara, darat dan laut di sepanjang 41 kilometer pantai Gaza bagi menghalang pergerakan pejuang Hamas.
Israel juga menyerang Gaza pada Disember 2008 sehingga Januari 2009 yang mengakibatkan lebih 1,500 penduduk Palestin terkorban dan banyak bangunan dan kediaman penduduk Palestin di Gaza musnah.
Sejak itu penduduk Palestin di Gaza terus terhimpit dan menderita akibat kekurangan makanan, ubat-ubatan dan bahan binaan untuk membangunkan semula Gaza.
Israel turut memusnahkan ladang-ladang penduduk Palestin di Gaza, menyerang terowong-terowong rahsia di sempadan Gaza-Mesir yang didakwa digunakan untuk menyeludup senjata.
Mesej yang jelas ingin disampaikan oleh Flotila Pembebasan adalah sekatan unilateral Israel ke atas Gaza adalah melanggar undang-undangantarabangsa dan mencabul hak asasi manusia.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan