Rabu, 7 Julai 2010

Penyelewengan BN Kedah - Siri 2


Oleh: ZUKIFLI YAHAYA

Saya sebenarnya tidak berminat untuk menulis apa yang akan ditulis ini jika pihak pembangkang Kedah tidak memulakan serangan terhadap kerajaan Pakatan Rakyat dengan fakta-fakta fitnah melalui risalah haram bertajuk ‘Mai Kedah’ yang disebarkan hampir ke setiap pintu masjid di negeri ini. Oleh kerana mereka menjual, tiada masalah kita membeli – tunai!

Permodalan Kedah Berhad (PKB) diperbadankan pada 20 Januari 1994 di bawah Akta Syarikat 1965. PKB adalah subsidiari milik penuh Perbadanan Menteri Besar Kedah. Kegiatan utama PKB ialah di bidang pegangan pelaburan dan pembangunan hartanah. Ia mempunyai lima syarikat subsidiari dan enam syarikat bersekutu. Antara operasinya ialah pembinaan, pembangunan, hartanah, pegangan pelaburan dan pengurusan dana tabung amanah.

Di masa pemerintahan BN, elaun setiap orang Lembaga Pengarah PKB ialah sebanyak RM20-RM25 ribu setahun. Mereka yang kebanyakan terdiri dari pemimpin Umno juga menerima bonus raya RM3,000 seorang.

Di antara Ahli Lembaga Pengarah PKB ialah Dato’ Mahdzir Khalid, Dato’ Abdul Rahman Ariffin, Datuk Yaakob Hj Mohamad, Dato’ Ghazali Ibrahim, Dato’ Ahmad Sudin, Dato’ Bakri Hj Ali Mahamad, Dato’ Mohd Akhir Shafie dan Dato’ Arzmi Abdul Hamid. Kesemua mereka adalah pemimpin Umno.

Keputusan memberi elaun RM20,000 seorang tercatat dalam minit mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah 3/2006 bertarikh 10 Disember 2006. Ini bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke 13 pada 30 Jun 2007 yang memutuskan tiada ganjaran pengarah dibayar bagi tahun berakhir 31 Disember 2006. Manakala pembayaran imbuhan raya bagi tahun 2007 tidak diputuskan pada mesyuarat Lembaga Pengarah.

Penetapan ganjaran kepada Ahli Lembaga Pengarah hendaklah berasaskan kepada prestasi keuntungan yang diperolehi syarikat pada tahun kewangan tersebut, tapi mereka sudah tetapkan ganjaran pada tahun 2006 lagi, sebelum tahun kewangan berakhir.

Pembinaan Sintok Sdn. Bhd. (PSSB) adalah anak syarikat PKB. Antara Ahli Lembaga Pengarah PSSB ialah Dato’ Ahmad Sudin, Dato’ Bakri Hj Ali Mahamad dan Dato’ Halim Said. Syarikat itu diberi projek membina kompleks baru Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP), auditorium dan Dewan Kenangan Sungai Petani berjumlah RM46 juta.

Projek belum dimulakan, tetapi MPSP telah membayar PSSB sebanyak RM10 juta. PSSB mensubkan kerja tersebut kepada Najwa Bina sebuah syarikat ‘silap mata’ yang dilaporkan tidak tersenarai sebagai kontraktor kelas A untuk melakukan projek besar. Najwa Bina langsung tiada kemampuan untuk melakukan projek sebesar itu. PSSB membayar Najwa Bina sebanyak RM9.3 juta sebagai bayaran pendahuluan. Bayaran pula dibuat atas nama FBS Bina Sdn Bhd. Ia menjadi tandatanya. Transaksi berlaku pada 4 Mac 2008, sewaktu berlangsungnya pilihanraya umum ke 12. Maka di sini tanda tanya mungkin berakhir, ke mana perginya wang itu? Sehingga kini Najwa Bina hanya mampu menyiapkan permulaan projek yang dianggarkan bernilai RM2 juta. Ia menimbulkan tandatanya sama ada wang tersebut ‘melencong ke tempat lain’ untuk projek pilihanraya BN. Kini kontraktor yang tidak menyiapkan kerja itu terpaksa ditukar dan kerajaan negeri yang menanggung kerugian.

PKB adalah syarikat perniagaan. Ia bukan badan kebajikan. Anehnya menjelang pilihanraya umum ke 12, PKB menjadi begitu pemurah berbelanja wang kononnya kepada fakir miskin, dalam program-program politik BN. PKB telah mengeluarkan wang tunai sejumlah RM300,000.00 pada 26 Februari 2008 dan RM200,000.00 pada 4 Mac 2008 untuk ‘sumbangan politik’ BN menghadapi pilihanraya umum.

Bagaimana sebuah syarikat korporat yang besar boleh membuat pemberian tunai tanpa sebarang dokumen sokongan mengenai pengesahan penerimaan dan pembayaran?
Sewaktu pilihanraya itu juga, dua buah syarikat iaitu Charok Indah Enterprise dan Gerbang Utara Enterprise telah diberi projek kononnya untuk kerja-kerja sosial, masing-masing sebanyak RM57,540.00 dan RM86,000.00. Projek yang dilaksanakan oleh kedua kontraktor tersebut tidak pernah diputuskan oleh mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah atau mesyuarat pengurusan PKB.
Lagi penyelewengan dalam spesifikasi ‘kerja-kerja sosial’ itu ialah antaranya, membekalkan white board, peralatan alat tulis dan kayu ke peti undi BN dalam parlimen Kuala Kedah.

Tidak dinafikan peranan wartawan bagi media-media tali barut BN amat penting dalam pilihanraya. Media tersebutlah yang melakukan propaganda untuk ‘mencantikkan wajah hodoh BN’ dan memburukkan imej lawan mereka. Maka wartawan perlu diberi penghargaan.

Namun suatu tindakan yang tidak dapat diterima oleh oleh akal yang rasional ialah PKB telah membelanjakan sejumlah RM66,470.00 untuk memberi 50 batang pen bagi dijadikan hadiah oleh Menteri Besar kepada wartawan. 40 batang pen berharga berjenama Mont Blanc berharga RM1,190.00 setiap satu, 9 batang pen berharga RM1,840.00 setiap satu dan sebatang pen lagi berharga RM2,310.00! Seperti pembelian lainnya, ia tidak dilakukan melalui sebut harga atau tender, tetapi dibeli terus dari pembekal Ping Hang Trading, Bukit Kayu Hitam.

Saya mencari-cari rakan wartawan yang memiliki pen hadiah dari bekas Menteri Besar Kedah itu, namun setakat ini belum menjumpainya.

Banyak lagi penyelewengan dalam GLC di zaman BN. Bagaimanapun saya menunggu dulu, kalau ada serangan baru dari pembangkang di Kedah. Baru kita balas dengan ‘bom berangkai’ pula.

Tiada ulasan: