Isnin, 1 September 2008

Mengapa Tunku Aziz pilih DAP,bukan PAS?

Posted on Monday, September 01 @ 12:57:51 MYT by reformis

Oleh Mohamad Sabu
Naib Presiden PAS

Saya mengikuti pandangan-pandangan Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, bekas naib presiden organisasi antarabangsa terkenal Transparency International (TI) melalui forum, diskusi, seminar dan tulisan beliau dalam akhbar dan majalah.

Telah lama saya meminati tulisan dan pandangan beliau dalam memerangi rasuah dan segala bentuk penyalahgunaan kuasa. Saya yakin beliau terdidik dalam peradaban dan etika Barat yang menjelmakan pentadbiran yang bersih dan kerajaan yang berintegriti.

Saya pernah bersembang-sembang dengan beliau di sebuah hotel di Petaling Jaya. Saya amat berminat dengan pandangan yang beliau kemukakan. Dalam perbualan itu kami mendapati rumah-rumah mewah dari Damansara hingga ke Shah Alam, kebanyakannya didiami oleh para pegawai polis dan juga bekas pegawainya.

Sedangkan tangga gaji yang dinikmati oleh para pegawai polis di Malaysia tentunya tidak mampu memiliki atau mendiami rumah-rumah mewah di kawasan berkenaan.

Ahli Parlimen Kemaman (1999-2004), pernah membongkar sindiket judi haram di Malaysia dan pendedahan itu tidak pula dinafikan oleh pihak Kementerian Kewangan. Judi berlesen di Malaysia menunjukkan bahawa wang pusingannya di sekitar RM4 bilion hingga RM5 billion setahun, sedangkan judi haram (tidak berlesen) adalah lima kali ganda daripada judi berlesen.

Soalnya, siapakah yang melindungi aktiviti judi haram ini, kalau bukan pegawai penguatkuasa, anggota polis tertentu dan pihak berkuasa kerajaan tempatan serta pegawai-pegawai kerajaan yang tidak beramanah?

Tunku Abdul Aziz merupakan seorang individu yang amat prihatin terhadap amalan rasuah terutama di negara-negara Dunia Ketiga. Indeks rasuah yang paling bersih di rantau Asia Pasifik ialah Singapura (9.5 per 10 ) diikuti oleh New Zealand (9.5) dan Australia (9 ke atas). Indeks rasuah Malaysia pula sekitar 5.3 ke 5.5.

Sementara di negara-negara lain, keadaan adalah lebih parah. Oleh itu, usaha memerangi rasuah dan penyelewengan masih menjadi agenda utama Tunku Abdul Aziz, paling kurang menjadikan negara ini setanding dengan negara maju di Eropah.

Daripada begitu banyak parti di Malaysia, kenapa Tunku Abdul Aziz memilih DAP? Pada hemat saya, setelah lima bulan berlalu, kerajaan yang diketuai DAP mungkin dilihat begitu serius memerangi rasuah dan penyelewengan. Tender terbuka, e-perolehan, penjimatan perbelanjaan Ketua Menteri, Exco dan Adun adalah amalan yang ditekankan oleh KM Pulau Pinang.

Saya sendiri pernah bersama Presiden PAS mengunjungi pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang dalam siri kunjung hormat ke negeri-negeri Pakatan Rakyat. Kami dihidangkan dengan makan tengah hari yang saya lihat nilainya kurang dari RM10. Penjimatan kerajaan sebegini rupa merupakan salah satu contoh daripada pelbagai pembaharuan oleh Ketua Menteri dan kerajaan Pulau Pinang.

Saya yakin Tunku Abdul Aziz memilih DAP setelah beliau melihat kesungguhan kerajaan yang diketuai oleh DAP dalam usaha memerangi rasuah. Kita harap kerajaan yang diketuai oleh PAS dapat mengatasi apa yang dibuat oleh kerajaan di Pulau Pinang.

Kita tahu ramai orang seperti Tunku Abdul Aziz akan menyertai PAS jika melihat betapa seriusnya PAS memerangi rasuah dan penyelewengan.

Saya berharap beliau memilih PAS tetapi beliau memilih DAP sebagai wadah perjuangannya. Walau bagaimanapun saya ucapkan syabas dan selamat maju jaya kepada beliau. Diharapkan beliau bukan sahaja berkhidmat untuk DAP tetapi sekali gus kepada seluruh parti-parti dalam Pakatan Rakyat dalam usaha membentuk kerajaan yang bersih.

Tiada ulasan: