Sabtu, 4 Oktober 2008
Amalan- MB Kedah
Tuesday, September 30, 2008
Memperlihatkan Amalan
Oleh Izwan Abdul Halim
ALOR STAR: Ulama dalam menerangkan sikap manusia ketika melakukan
amalan ialah terdapatnya sifat 'yuraaun' iaitu memperlihatkan atau
menunjuk-nunjuk kebajikan yang dilakukannya.
Demikian menurut Menteri Besar, YAB Dato' Seri Ustaz Haji Azizan Abdul
Razak ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Golongan Anak
Yatim, Ibu Tunggal Dan Fakir Miskin di Dewan Seri Mentaloon, di sini
25 September lalu.
Menerangkan perkara tersebut, katanya terdapat manusia yang
seolah-olah membuat amalan akhirat tetapi hatinya mahukan dunia.
Tetapi menurut beliau, terdapat manusia yang dilihat seolah-olah
membuat amal untuk dunianya, hakikat sebenar orang itu hatinya untuk
akhirat.
"Orang tengok dia pulun buat kerja, orang kata dia ligan dunia, tetapi
apa yang diperolehinya untuk orang lain (disedekahkan). Kerana itulah
kita galakkan untuk berbelanja di jalan Allah (fisabilillah)," ujarnya
merungkai nasihat.
Beliau mengingatkan hadirin dengan janji Allah yang terdapat pada ayat
60 surah al-Anfal yang bermaksud; Apa sahaja yang kamu belanjakan pada
jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak
ada dianiaya sedikitpun.
Katanya, jangan ada dalam diri 'penyakit Qarun' iaitu semasa harta
sedikit mudah memberi tetapi setelah memiliki banyak harta menjadi
kikir.
"Akhirnya Allah menelan Qarun ke perut bumi. Kerana apa semua ini
(terjadi)? Kerana dia ingkar nikmat Allah, tidak mahu dibelanjakan
pada jalanNya. Tidak ada dalam sejarah di dunia ini, mereka yang
berbelanja di jalan Allah, dia menjadi papa kedana," terang beliau.
Terdahulu pada ucapannya itu, Menteri Besar memahamkan hadirin
mengenai zakat. Terang Ustaz Azizan, zakat mempunyai banyak istilah,
antaranya zikkiyyah (bersih), an-numuw (berkembang) dan al-barakah
(keberkatan).
Jelas beliau, zikkiyyah bermakna apabila seseorang menunaikan zakat
bererti dia telah membersihkan kekotoran yang ada.
"An-numuw ini maknanya kita beri zakat ini, ia akan berkembang. Jadi
sepatutnya setiap invididu itu zakatnya meningkat dari tahun ke tahun.
Maknanya dia sedar bahawa Allah telah tambah rezekinya," katanya
menerangkan konsep menunaikan zakat.
Barakah pula jelas beliau, bererti keberkatan pada rezeki. Kerana
katanya, ada manusia yang memiliki banyak harta tetapi tidak berat dan
keluarganya juga tidak stabil. Namun ada manusia yang lain katanya,
sedikit harta mereka tetapi berat dan keluarga hidup harmoni.
Posted by Warta Darul Aman Daily at 1:40 PM
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan