Isnin, 6 Oktober 2008
DASAR PEMILIKAN RUMAH SEDIA ADA TEBALKAN POLARISASI KAUM- YB Dr Ismail Salleh
Dasar pemilikan rumah sedia ada tebalkan polarisasi kaum
Oleh: YB Dr. Ismail Salleh
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah
Saya telah didatangi oleh rakan-rakan dari Bangsa Tionghua dalam bentuk panggilan talipon dan SMS sejak beberapa minggu yang lalu ekoran dari keputusan kerajaan Negeri Kedah yang menaikkan kuota pemilikan rumah Bumiputera dari 30 peratus kepada 50 peratus. Beberapa kenyataan akhbar berkenaan perkara tersebut telah disiarkan dalam akhbar tempatan dan hari ini diperjelaskan lagi oleh YAB Dato' Seri Menteri Besar melalui kenyataan beliau.
Bentuk polarisasi kaum di Malaysia adalah hasil dari polisi penjajah British yang meletakkan bangsa Melayu di sektor pertanian di kampung, bangsa Tionghua berniaga di bandar dan bangsa India di estet. Selepas kemerdekaan pola ini kekal dan keadaan menjadi semakin tidak menentu.
Saya suka memfokuskan isu polarisasi kaum ini dalam konteks negeri Kedah. Masyarakat di Kedah sama juga seperti negeri-negeri lain terdiri dari tiga bangsa utama Melayu, Cina dan India serta sedikit keturunan Siam. Melayu mewakili 70 peratus dari komposisi tersebut manakala 30 peratus lagi terdiri dari lain-lain kaum.Tetapi dari segi pemilikan ekonomi bangsa Cina jauh berada di depan.
Ketidakseimbangan ini menjadikan pemilikan rumah di bandar-bandar dimonopoli oleh satu bangsa walaupun telah diletakkan kuota 30 peratus untuk Bumiputera. Keadaan ini diburukkan lagi oleh pemaju yang cenderung untuk membina perumahan yang berharga RM200 ribu keatas disebabkan profit marginnya lebih tinggi.
Cuba anda bayangkan apa akan jadi 50 tahun yang akan datang. Hanya satu bangsa akan terus menguasai kawasan bandar. Integrasi kaum yang kita hasratkan tidak akan tercapai tetapi akan bertambah buruk.
Memandangkan beberapa hujah diatas maka Kerajaan Negeri Kedah telah mengambil inisiatif untuk menyuburkan intergrasi antara kaum melalui polisi menaikan kuota pemilikan rumah dari 30 peratus kepada 50 peratus.
Dasar pemilikan rumah yang ada sekarang akan menjarakkan lagi perbezaan antara kaum dan perkara ini mesti diperbaiki.Langkah yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri harus dilihat sebagai langkah meletakkan kembali dasar perumahan negeri di atas landasan yang betul.
Bagi pemaju yang mementingkan keuntungan semata-mata sudah tentu tidak setuju dengan polisi ini. Mereka mahukan keuntungan yang maksimun dengan alasan dasar yang ada sekarang pun tidak mampu dipenuhi oleh Bumiputera. Maknanya kuota 30 peratus pun tidak mampu dipenuhi, apatah lagi kalau kuota itu dinaikkan kepada 50 peratus.
Bagaimanapun sebagai parti yang berpegang kepada prinsip perjuangan ‘untuk semua’ kami sentiasa bersikap terbuka untuk berbincang berhubung isu ini pada bila-bila masa sahaja.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan