Ahad, 19 Oktober 2008

Kem Bina Sahsiah


Oleh: WADIASSOFI JAAFAR


ALOR STAR, 20 Oktober: Pusat Pendidikan Muassasah Darul Ulum dengan kerja sama Unit Pembangunan Insan Kerajaan Negeri Kedah akan menganjurkan Kem Bina Sahsiah ’08 Siri ke-5 yang akan diadakan di Kompleks Pendidikan Muassasah Darul Ulum, Kilometer 24, Jalan Kuala Nerang, Pokok Sena, di sini selama 21 hari mulai 16 November 2008 hingga 6 Disember 2008.

Pengarah Kem Bina Sahsiah, Ustaz Musoddak Haji Ahmad berkata, Kem Bina Sahsiah telah mula dilaksanakan pada tahun 2004 hasil ilham Menteri Besar Kedah yang baru, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.

“Sambutan yang diberikan oleh ibu bapa di seluruh negara begitu menggalakkan di mana peserta-peserta adalah terdiri daripada remaja lelaki dan perempuan yang berumur antara 15 hingga 18 tahun yang datang dari pelbagai latar belakang keluarga,” jelasnya.

Menurutnya, Kem Bina Sahsiah yang dijalankan selama 21 hari itu merangkumi tiga fasa di mana ianya banyak menerapkan nilai-nilai ukhuwah, keinsafan, kasih sayang ibu bapa dan pelbagai lagi.

Ujarnya, objektif utama program itu diadakan adalah untuk menampilkan generasi remaja yang diimpikan oleh setiap lapisan masyarakat, membina sahsiah berlandaskan iman dan takwa, menyediakan peluang pembelajaran secara intensif dalam jangka masa singkat serta melaksanakan pentarbiyahan secara terus dan berkesan.

“Faedah yang bakal diperolehi dalam kursus itu ialah mengenal diri, kesempurnaan ibadat, akhlak dalam Islam, penglibatan dalam kumpulan, hubungan dalam masyarakat dan muhasabah diri,” katanya.

Jelasnya, sepanjang program itu, setiap peserta dibekalkan dengan nota-nota kursus, baju T dan beg kursus, makan dan minum, penginapan, keperluan perkhemahan, pemeriksaan kesihatan dan sijil penyertaan.

“Alatan yang perlu dibawa ialah pakaian harian, pakaian kuliah, pakaian riadah, pakaian aktiviti perkhemahan, pakaian sembahyang, bantal, selimut, cadar, barang-barang kemasan diri, alatan tulis, buku nota dan lain-lain keperluan peribadi,” ujarnya.

Tambahnya, bayaran yuran yang dikenakan kepada setiap peserta ialah sebanyak RM150 dan setiap peserta diwajibkan berpakaian menutup aurat di dalam semua aktiviti.

Sebarang pertanyaan dan pendaftaran, sila hubungi Ustaz Musoddak Haji Ahmad di talian 012-4827563 atau Ustaz Mohd. Nizam Noh (019-5586401), Ustaz Nor Puadi (012-6441420 / 013-5931233), Ustaz Salim Mahmud (013-5814585), Encik Rashidi Abd. Razak (012-4365699) dan Encik Zikri Zakaria (013-4249382).

Tiada ulasan: