Selasa, 14 Oktober 2008

Utara: Kedah disaran perincikan kuota rumah Bumiputera

Oleh Azmi Md Derosmailto:Derosazmimd@bharian.com.my

ALOR STAR: Kerajaan Pas Kedah disaran memperincikan kuota perumahan yang dikhaskan kepada Bumiputera di negeri ini mengikut kategori bagi memudahkan ia dipatuhi oleh pemaju perumahan berikutan penguatkuasaan dasar baru peruntukan 50 peratus untuk golongan itu. Pengerusi Wadah Muafakat Pertubuhan Kedah (Wehdah), Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata pihaknya berpendapat satu garis panduan yang jelas perlu disediakan bagi memudahkan pemaju mematuhi dasar baru itu.

Katanya, persatuan itu mencadangkan diwujudkan pecahan lebih terperinci daripada 50 peratus kuota perumahan campuran yang dimajukan. "Daripada 50 peratus kuota keseluruhan itu, ia meliputi 30 peratus bagi rumah kos rendah berharga RM45,000 serta masing-masing 25 peratus rumah kos sederhana rendah kurang RM120,000 dan kos sederhana kurang RM280,000 dan baki 20 peratus lagi bagi rumah mewah berharga RM280,000 ke atas. "Secara keseluruhannya Wehdah menyokong pelaksanaan syarat kuota 50 peratus untuk pembeli Bumiputera, tetapi ia perlu diperincikan supaya lebih jelas kepada pemaju," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas syarat baru yang dikenakan kerajaan negeri berkuatkuasa 1 September lalu, iaitu memperuntukkan 50 peratus kuota lot Bumiputera bagi semua projek perumahan dan pengendorsan sekatan lot untuk orang Melayu pada dokumen hak milik. Syarat itu bagaimanapun dibantah keras oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Kedah/Perlis yang mahu mencabar keputusan itu di mahkamah. Pengerusinya, Ricque Liew Yin Chew dilaporkan berkata, langkah kerajaan negeri meningkatkan kuota Bumiputera daripada 30 peratus kepada 50 peratus serta tidak membenarkan pelepasan kepada lot Bumiputera yang tidak habis dijual akan merumitkan pemaju kerana terpaksa menanggung kos pegangan terlalu lama. Mohd Azmi yang juga Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) berkata, dasar yang diperkenalkan kerajaan itu dianggap wajar berdasarkan komposisi kaum di negeri ini, iaitu lebih 70 peratus penduduknya terdiri daripada Bumiputera.

"Disebabkan komposisi Bumiputera ramai, adalah wajar kuota perumahan untuk mereka ditingkatkan lebih-lebih lagi disebabkan masih ramai di antara mereka yang belum memiliki rumah sendiri," katanya. Beliau berkata, jika dasar itu menyukarkan pemaju, kerajaan negeri mungkin boleh meringankan bebanan mereka dengan mengkaji semula syarat diskaun untuk pembeli Bumiputera. Mohd Azmi turut mencadangkan kerajaan negeri menubuhkan sekretariat bagi memantau pengagihan rumah untuk rakyat secara adil supaya tidak dimonopoli oleh golongan berada yang membeli untuk tujuan pelaburan sehingga menyekat peluang pembeli yang baru hendak memiliki rumah.

Tiada ulasan: