Thursday, November 6, 2008
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
ALOR STAR: Ketaqwaan perlu menjadi dasar dengan menerapkan budaya ikhlas dan itqan dalam melaksanakan tugas agar mendapat balasan kebaikan daripada Allah SWT.
Ungkapkan nasihat itu disampaikan Menteri Besar, YAB Dato' Seri Ustaz Haji Azizan Abdul Razak pada Himpunan Bulanan Kakitangan Wisma Darul Aman di sini, 3 November lalu.
Menurut beliau, setiap cabaran dan kesukaran yang dihadapi juga perlu kepada taqwa sebagai penyelesaian.
"Bekerja sebagai pegawai kerajaan bukan boleh gaji yang banyak, nak dapat kenaikan jenuh 'merah mata' sampai naik kepala beruban. Kalau kerja tempat lain pun gaji banyak lagi.
"Tapi ketaqwaan ini membawa kepada nikmat di mana Allah telah berjanji akan memberikan kemudahan," terangnya disusuli huraian ayat 2 dan 3 surah at-Talaq yang bermaksud; Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari perkara yang menyusahkan) serta memberikannya rezeki dari arah yang tidak disangkakannya.
Ujarnya, manusia hanya perlu jalankan tugasnya tanpa perlu rungsing dengan 'tugas Allah' hingga tugas sendiri terabai.
"Seorang yang baik ialah mereka itu meninggalkan perkara yang bukan menjadi urusannya," demikian hadith yang dijadikan beliau sebagai hujah dalam menjelaskan perkara itu.
Katanya, setiap kakitangan mempunyai bahagian tugasnya, oleh itu fokus perlu diberi kepada tugas masing-masing.
Tambahnya lagi, Allah menyukai seseorang yang melakukan tugas dengan itqan, iaitu penuh kesungguhan, bertanggungjawab dan profesional.
"Kerana itulah kita ada Piagam Pelanggan. Piagam Pelanggan ini sebenarnya untuk memastikan pihak pentadbiran di semua peringkat dapat memberi perkhidmatan kepada rakyat sebaiknya kerana rakyat adalah pembayar cukai.
"Gaji-gaji kita pun antara sumbernya dari cukai rakyat. Rakyat telah memberi kewajipan mereka dengan harapan mereka menerima satu khidmat yang baik. Inilah budaya itqan yang Islam letakkan dalam pentadbiran," ujar beliau.
Dalam menjalankan tugas, Islam juga katanya, melarang perbuatan kedekut dan boros sepertimana perumpamaan yang diungkapkan Baginda Nabi SAW iaitu orang yang meletakan tangan dilehernya atau mendepakan tangan.
Dasar itu menurutnya, sedang diaplikasikan dalam tatacara perbelanjaan kerajaan kini. Pun begitu, terang beliau, masih ada keanjalan dan budi bicara dalam mempraktikkannya.
"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan serta kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar," maksud dari ayat 155 surah al-Baqarah yang dibaca dan dihuraikannya sebagai mengakhiri ucapan pada pagi tu.
Pada majlis sama, YAB Menteri Besar turut menyampaikan anugerah kepada anak-anak kakitangan Wisma Darul Aman yang mendapat kejayaan cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PMR dan STAM.
Posted by Warta Darul Aman Daily at 5:06 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan