Ahad, 21 Mac 2010

Wakil rakyat bantu baiki rumah


TAJAR - Penghuni rumah yang telah usang di Kampung Padang Luar di sini, terharu apabila wakil rakyat kawasan itu turun padang bergotong-royong membaiki rumahnya yang uzur itu.

Abdullah Abdul Hamid, 70, berkata, rumahnya yang terlalu uzur itu dihuni oleh tujuh ahli keluarga dan sebahagian daripada rumahnya itu telah reput dimakan anai-anai.

Menurutnya, apabila hujan turun, mereka sekeluarga tidak dapat tidur dengan selesa malah terpaksa berjaga kerana bumbung juga telah bocor di merata-rata tempat.

“Saya sudah tidak bekerja kerana usia pun sudah lanjut dan tidak mampu untuk membaiki rumah usang ini. Kehidupan kami agak susah memandangkan tujuh orang tinggal dalam rumah yang serba kekurangan.

“Malah anak perempuan bersama tiga anak yang masih kecil juga menumpang tinggal di sini sejak kematian suaminya selain isteri dan anak saya yang masih belum berkahwin. Anak saya hanya bekerja sebagai pembantu kantin sekolah dan tidak mampu menampung kos membaiki rumah cuma sekadar cukup untuk makan dan minum,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu, Dr Ismaik Salleh berkata, atas rasa simpati terhadap nasib yang menimpa keluarga ini telah mendorong Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Alor Mengkudu mengadakan gotong-royong membaiki rumah berkenaan.

Menurutnya, PKWR melalui tabung ‘Star Care’ telah mengeluarkan belanja membeli kayu, bumbung dan peralatan untuk membaiki rumah.“Bagaimanapun kerja-kerja pembaikan semuanya dilakukan secara gotong-royong dengan semua jawatankuasa PKWR bersama Anggota Majlis Ketua Kampung/Komuniti (MKK) kawasan Tajar.

“Malah ini adalah rumah pertama yang disalurkan wang membaiki rumah melalui tabung ‘Star Care’ PKWR dan program gotong-royong ini akan terus diadakan dari masa ke masa dengan memberi keutamaan terhadap rumah-rumah yang terlalu uzur, " katanya.

Dr Ismail berkata, di samping menjimatkan kos, kaedah gotong royong seperti yang disarankan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak ini turut mewujudkan suasana ukhuwah antara penduduk kampung.

Tiada ulasan: