Selasa, 3 Ogos 2010

Pembangkang di Kedah elok naik ‘anog’ ganti kereta


Pihak pembangkang di Kedah mencetak beribu-ribu risalah mengkritik kerajaan Negeri dan diedarkan di masjid-masjid secara terbuka. Risalah bertajuk ‘Mai Kedah’ itu dikatakan diterbitkan oleh Umno Kedah kerana sebelum diedarkan, ia didapati bertimbun-timbun di pejabat perhubungan parti itu.

Selang beberapa hari selepas itu muncul pula risalah ‘Kedah La’ yang bingkas menjawab segala tohmahan di samping menyerang balas BN Kedah dengan pembongkaran penyelewengan mereka sewaktu berkuasa dahulu. BN lantas terkedu seketika. Tiada seorang pun pemimpin BN yang berani menyanggah.

Politik di Kedah memang begitu. Setiap serangan dibalas segera. Ia tidak dibiarkan berlompong-lompong macam kawah pasir di Selangor yang sehingga kini pun rakyat masih kabur, apa yang sebenarnya berlaku?

Dalam terkial-kial mencari isu mereka terjumpa maklumat bahawa kerajaan Negeri telah membeli 17 buah kereta baru berjenama Camry. Sebenarnya cuma lima buah sahaja yang dibeli, bukan 9 atau 17. Tapi biasalah pembangkang di Kedah, pakar menokok tambah. Isu tersebut terlalu rendah nilainya, namun alang-alang ketandusan isu ‘tiada rotan, akar pun berguna’. BN menjaja di sana sini kononnya Exco kerajaan Negeri asyik melaram dengan kereta mewah Camry.

Hampir kesemua kereta Exco yang ditinggalkan BN dahulu adalah kereta lama, sebahagiannya sudah uzur benar. Maklumlah kereta Perdana dan ada yang melebihi 10 tahun. Sebahagian besar Exco pernah mengalami kerosakan kereta. Terbaru, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Ustazah Aishah Ghazali terpaksa menumpang kereta Ahli Parlimen Pendang untuk ke program Mesra Rakyat yang diadakan Daerah Bandar Baharu akibat kereta rasminya rosak sewaktu mahu memulakan perjalanan.

Kelewatan beberapa Exco untuk sampai tepat pada waktunya untuk program rasmi akibat kerosakan kereta adalah perkara biasa sebelum ini. Kos penyelenggaraan jika dihimpunkan, lebih merugikan berbanding membeli kereta baru. Apabila kerajaan membeli lima buah Camry untuk menggantikan lima buah kereta Exco yang benar-benar uzur maka ia adalah langkah bijak.

Dalam Islam ada konsep zuhud. Tapi zuhud bukan bermakna membiarkan semua kerja terbengkalai akibat perkara keperluan diabaikan. Sebelum pembangkang membicarakan isu Camry, baiklah terlebih dahulu mereka bertanya projek Chalet Pulau Payar, Jambatan Pulau Bunting, Chalet Muzium Padi, Kompleks Ikan Bakar, Pedu Lake Resort, paparan gergasi LCD di MBAS – yang kesemuanya sama ada menjadi projek gajah putih atau terbengkalai di separuh jalan itu; adakah bukan pembaziran namanya?

Membazir ialah apabila sesuatu yang dibelanjakan itu tidak digunakan atau bermewah melebihi keperluan. Kalau tukang kebun pakai Mercedes, ia jelas membazir sekalipun dia mampu membeli. Tapi kalau Exco pakai Camry, ia memang sepadan dengan kerjayanya.

Sewaktu menjadi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menaiki Mercedes ke Istana Anak Bukit untuk menziarahi Almarhum Tuanku Sultanah Kedah yang mangkat. Dia disindir oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Wira Ali Rustam. “Hai, orang PAS pun pakai Mercedes,” katanya. Datuk Seri Abdul Hadi dengan selamba menjawab, “Memang orang PAS dah pakai Mercedes, orang Melaka aje yang masih pakai kereta lembu.”

Kalau pembangkang di Kedah masih mahu terus memainkan isu Camry, maka eloklah mulai sekarang mereka menukar kereta masing-masing dengan ‘anog’, ia lebih murah dan tak guna minyak. Orang Kedah semua tau apa itu anog. Orang Umno pun semua tahu kecuali ketuanya Datuk Shafie Afdhal yang diimport dari Sabah (disebabkan tiada anggota Umno Kedah yang layak jadi ketua).

Anog adalah kenderaan untuk mengangkut padi di zaman dahulu yang diheret oleh kerbau. Tok Pie boleh pi kat Muzium Padi kalau nak tengok…

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Tiada ulasan: