Khamis, 5 Ogos 2010

Saman Ekor: BN Kedah Hutang RM390,000


ALOR SETAR - Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Kedah kesal kerana terpaksa menjelaskan tunggakan saman ekor RM390,000 yang ditinggalkan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, selagi tunggakan itu tidak dijelaskan, Kerajaan Negeri tidak boleh mendaftarkan lima kereta rasmi kerajaan yang baru.

"Kita terpaksa gantikan kereta Proton Perdana V6 yang selama ini digunakan Exco Kerajaan Negeri kerana sering rosak. Kita beli lima kereta Toyota Camry tetapi kereta yang baru dibeli ini tidak boleh didaftarkan kerana ada masalah tunggakan saman ekor RM390,000 oleh kerajaan yang terdahulu. Ini satu pembaziran yang nyata," katanya.

Azizan berkata, lima kereta Toyota Camry itu dibeli untuk kegunaan Exco atas keperluan pentadbiran.

"Ini tidak membazirkan wang rakyat. Kereta Perdana V6 yang kita ambil alih daripada kerajaan terdahulu kini tidak lagi begitu elok, selalu rosak. Kos baiki akibat kerosakan yang kerap boleh jadi banyak kerana kereta semakin lama semakin teruk dan kosnya akan meningkat, manakala nilainya juga akan semakin jatuh.

"Kerana itu kita perlu tukar dan kereta ini sudah dibeli bulan lepas," katanya.

Azizan berkata, penggantian kereta rasmi ini akan dilakukan secara berperingkat, dan akan diserahkan kepada Exco berkenaan mengikut keutamaan keperluan.

“Saya bersyukur kerana setelah Pegawai Kewangan Negeri berunding dengan pihak berkenaan, segalanya dapat diselesaikan segera. Kereta - kereta itu kini dalam proses untuk didaftarkan dan kemungkinan dapat digunakan dalam bulan ini juga,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri agak terkilan kerana wang yang diperuntukkan mencecah ratusan ribu ringgit, walhal peruntukan itu dapat disalurkan untuk kebajikan rakyat dan pembangunan negeri, bagaimana pun pihaknya terpaksa akur dengan situasi kerana tidak mahu menanggung beban hutang.

Tiada ulasan: