Rabu, 18 Ogos 2010
Siapa yang taboq risalah 'Mai Kedah' tu kerja bodoh - Betoi ka Bashah
Surat layang kerja orang bodoh’
ALOR SETAR - Surat layang bukan pendekatan politik UMNO, kata Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.
Menurutnya, UMNO tiada kaitan atau terlibat secara langsung dalam penyebaran mahupun mencetak risalah itu.
“Itu tuduhan liar! Mungkin individu yang tidak puas hati dengan Kerajaan Negeri yang sebarkan. UMNO tidak akan gunakan pendekatan seperti itu, itu kerja orang bodoh,” katanya.
Ahmad Bashah berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan kaitan parti itu dengan penyebaran surat layang bertajuk ‘Mai Kedah’ yang didakwa dicetak oleh UMNO dan diedarkan di masjid-masjid di negeri ini.
Risalah mengkritik Kerajaan Negeri itu didakwa diletakkan bertimbun-timbun di pejabat perhubungan parti itu sebelum ini.
Menurutnya, parti yang sudah lama memegang tampuk pemerintahan seperti UMNO tidak akan sesekali menggunakan taktik kotor seperti itu semata-mata mahu meraih sokongan rakyat.
“Atas nama parti, tak ada. Tetapi jika individu terbabit yang mungkin ahli UMNO mahupun ahli Pas buat, siapa tahu?” katanya.
Ahmad Bashah berkata, pendekatan UMNO lebih terbuka dan sekiranya terdapat isu yang tidak memuaskan hati, pihaknya lebih gemar mengkritik secara terbuka dengan membuat kenyataan rasmi.
“Saya harap jangan ada pihak yang cuba kaitkan penyebaran surat layang atau risalah itu dengan UMNO. Jangan buat tuduhan melulu, siasatlah dahulu. Lagipun, kami tidak berminat menghabiskan masa dan tenaga untuk buat kerja-kerja tidak berfaedah itu,” katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan