Rabu, 11 Ogos 2010

Ramadhan: Modul Tarbiyyah Dari Langit




"Apabila manusia memikirkan untuk mengadakan sesuatu modul bagi sesuatu kursus, mereka terpaksa berbengkel dan berhempas-pulas memerah otak bagi mengeluarkan idea-idea bernas bagi mendapat modul terbaik bagi sesuatu kursus. Samada ia bersifat akademik, kemahiran, latihan dan apa sahaja. Begitu juga, modul yang telah lengkap tadi dibuat menurut objektif yang hendak dicapai, atau ada outputnya.

Dalam Ramadhan sebenarnya Allah telah menyediakan kepada kita satu set modul latihan lengkap bagi mendapat output yang diharapkan iaitu TAQWA.

Bagaimana modul latihan Ramadhan ini disediakan kepada kita bagi mencapai objektifnya?

Secara ringkas, boleh disebut beberapa perkara:

Puasa adalah rahsia hamba dengan Tuhannya. Kata Ibn Qudamah al-Maqdisi dalam Mukhtasar Minjahul Qasidin, puasa adalah ibadat yang sukar dimasuki ria’, tidak seperti ibadat lain. Justru, puasa menjadi ibadat latihan untuk mengikhlaskan diri kepada Allah dalam semua aktiviti kehidupan, termasuk berjuang menegakkan agama Allah ini supaya tidak dimasuki ria’ danmatlamat-matlamat duniawi yang singkat dan memudaratkan perjuangan.

Puasa diwajibkan pada siang Ramadhan. Dengan berpuasa, nafsu dikekang. Nafsu makan, minum, syahwat kelamin asalnya halal tetapi untuk sementara waktu di siang hari Ramadhan, ia perlu diKIV. Masuk sahaja waktu berbuka, ia menjadi halal. Apa bezanya isteri, makan dan minum yang halal antara sebelum Maghrib dan selepas Maghrib? Namun, kita diajar supaya mengekang dari yang halal sementara waktu supaya kita dapat melatih mengekang diri kita dari yang haram sepanjang waktu. Suasana kondusif untuk Syaitan juga disempitkan. Bumi nafsu tidak menyediakan tempat sesuai untuk syaitan datang bertandang. Kekangan seperti ini cukup penting terutama bagi mereka yang diuji dengan habuan dunia yang terbentang di hadapannya.

Solat Terawih mengajar kita bahawa sebenarnya potensi diri masih belum digunapakai secara maksimum dan optimum. Tenaga dan masa masih banyak sebenarnya terbuang dan dibuang untuk perkara tidak berfaedah. Samada 8 atau 20 rakaat, solat Terawih mendidik kita untuk mendekatkan diri dan mencari bekalan melalui hubungan kita dengan Pencipta.

Sedekah dan zakat fitrah mengasuh kita memahami erti susah dan derita si faqir dan miskin. Sifat ananiah / individualistik / aku sahaja dikikis. Berfikir tentang ummah, bukan tentang diri sendiri yang lemah.

Bacaan Quran di bulan Ramadhan mengingatkan kita kepada petunjuk yang diturunkan dalam bulan Ramadhan ini. Petunjuk yang menyelamatkan kita dunia dan akhirat terutama di zaman yang penuh dengan fitnah dan ujian terhadap iman ini. Bukan bacaan yang hanya menjadi halwa telinga, atau suara yang keluar dari kerongkong, tetapi bacaan yang mendetikkan dalam hati zauq berdamping dengan Kalamullah yang Maha Suci.

Iktikaf dan qiamullail di bulan Ramadhan mendidik kita supaya menyediakan sedikit masa khusus untuk bersama Allah. Meninggalkan sekejap keributan dan kekalutan dalam aktiviti seharian, lantas mengambil sedikit masa merenung diri dan bermuhasabah, sambil berbisik-bisik dengan Tuhan, mengadu tentang diri yang masih jauh dengan Khaliqnya.

Kalaulah semua set modul ini dapat kita lakukan dengan terbaik, berkualiti, dibuat secara sedar dan menghayatinya, tidak mustahil maksud dari puasa dan Ramadhan itu tercapai iaitu TAQWA yang menjadi teras dalam diri manusia mukmin bagi menjalani kehidupannya di atas muka bumi Allah ini, sambil menanggung amanah memakmurkan bumi dengan agama Allah.

Tiada ulasan: