Khamis, 4 September 2008

Bonus sebulan gaji untuk kakitangan kerajaan Kedah


ALOR STAR,3 SEPTEMBER:

Semua kakitangan perkhidmatan awam kerajaan negeri Kedah akan menerima bonus sebulan gaji bulan ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak. Beliau berkata 9,589 kakitangan, termasuk kakitangan perbadanan kerajaan negeri dan kerajaan tempatan, akan menerima bonus sama seperti yang diumumkan dalam bajet Kerajaan Pusat untuk kakitangan awam persekutuan yang lain."Bonus minima RM1,000, dan kerajaan Kedah membayarnya secara sekali gus pada September ini dan saya nasihatkan agar mereka pandai-pandai jimat perbelanjaan untuk akhir tahun," kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan negeri di sini, hari ini.

Katanya kerajaan menyediakan peruntukan tambahan RM8.1 juta, selain lebih RM11 juta sebulan khusus untuk membayar gaji kakitangan perkhidmatan awam kerajaan negeri.Azizan berkata kerajaan Kedah juga akan memberi imbuhan khas kepada semua atlit yang berjaya meraih pingat pada Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu dan pemain bola sepak Kedah yang berjaya menjuarai Piala Malaysia, Liga Super dan Piala FA, baru-baru ini.

Sementara itu, Azizan berkata kerajaan negeri akan mengkaji secara menyeluruh mengenai cadangan untuk mengisytiharkan tarikh 16 September sebagai cuti umum, sebagaimana dicadangkan Penasihat Parti Keadilah Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tiada ulasan: