Jumaat, 5 September 2008

Pelapis ulama PAS 'paling tidak memuaskan'




Jimadie Shah Othman Sep 5, 08 3:26pm

Barisan pelapis kepemimpinan ulama PAS kini berada dalam keadaan krisis – pengetahuan mereka yang berusia bawah 40 tahun "paling tidak memuaskan" dan tertumpu aspek keagamaan sahaja.

"Saya selalu dengar ceramah-ceramah ulama muda ini. Masih stereotaip (hujahnya). Daripada ucapannya, kita tahu sudut bacaannya, kefahamannya," kata Naib Presiden PAS Mohamad Sabu kepada Malaysiakini.

"Masih mengecewakan saya," jelasnya lagi, mengulas prestasi kepemimpinan ulama yang disokong beliau sejak ia diperkenalkan awal 1980-an selepas PAS terpengaruh dengan kejayaan Revolusi Islam di Iran.


Berbeza dengan generasi tua pemimpin ulama parti itu, kata penceramah popular itu, barisan muda lulusan agama dalam PAS sekarang dilatih di negara-negara Arab yang tidak demokratik sehingga menyebabkan mereka hanya bertujuan lulus peperiksaan.

"Sebab kita lihat, latar pengajian mereka di Mesir, Arab Saudi, atau Syria. Negara-negara ini terkongkong daripada sudut politiknya, pendedahannya, dengan penindasan yang berlaku di sana.

"Sekarang ini, kalau di Mesir, Syria dan negeri-negeri Arab, semuanya negeri yang diktator. Jadi, aliran pengajian mereka (bergantung) kepada buku (sahaja) untuk lulus peperiksaan.

"(Keadaan) itu yang saya rasa rimas sedikit dengan perkembangan semacam ini," kata Mohamad sewaktu ditemui di kediamannya di Shah Alam semalam.

"Berlainan dengan ulama-ulama kita di tahun 1950-an dan 1960-an. Kebanyakannya lulusan (agama) dari India.

"Jadi di sana, di universiti-universiti Aligarh, Deoband dan sebagainya, (orientasinya) lebih bersikap sains politik. (Misalnya) profesor Zulkifli Mohamad di zaman itu."

Bekas ahli parlimen Kuala Kedah itu menambah, barisan ulama di beberapa negara lain seperti Iran dan Lubnan mempunyai gabungan kepakaran ilmu-ilmu kontemporari dan ilmu agama.

"Kita harap ulama-ulama kita pun sampai ke peringkat itu. Ertinya, bukan hanya bidang fekah semata-mata tetapi boleh bercakap dalam pelbagai bidang.

Mohamad bagaimanapun tetap menyokong kepemimpinan ulama PAS dan berharap pengetahuan barisan ulama parti itu menguasai lebih banyak pengetahuan semasa dan berani mengetengahkan khazanah ilmu Islam untuk diterapkan dalam politik Malaysia.

Beliau enggan mengulas saranan ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub yang berhasrat menganjurkan seminar penilaian semula kepemimpinan ulama seperti ucapan dasarnya di muktamar dewan itu di Ipoh, bulan lalu.

Tiada ulasan: