Selasa, 25 Mei 2010

Kami puas hati, kata ketua DHPP




Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) berpuas hati dengan kedudukan dewan itu yang setaraf dengan sayap lain di dalam PAS walaupun anggotanya tidak berhak mengundi dalam pemilihan parti.

Ketua DHPP, Hu Pang Chaw berkata beliau juga menyokong penuh keputusan PAS untuk menaik taraf kelab penyokong tersebut menjadi satu lagi sayap parti, setaraf dengan dewan Muslimat, Pemuda dan Ulama.

“Kami berbesar hati dengan kejayaan Kelab Penyokong PAS yang telah dinaik taraf kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS.

“Dewan ini dibuka keahliannya kepada bukan Islam. Beza antara kami dan dewan yang lain ialah kami boleh menghadiri muktamar, mesyuarat, memberi pandangan dan kritikal, tetapi cuma kuasa memilih dan dipilih kami tiada,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Tambahnya, beliau menyokong penuh perjuangan PAS kerana parti itu terbukti boleh diterima oleh semua kelompok masyarakat.“PAS telah mengamalkan dasar keterbukaan untuk semua kaum di Malaysia.

“Perjuangan PAS adalah keadilan untuk semua dan ia dituntut oleh semua kaum dan agama. Jadi kami tak rasa salah apabila menyertainya,” kata Hu lagi.

Timbalannya, N Balasubramaniam pula berkata, beliau menghormati keputusan oleh pucuk pimpinan untuk tidak membenarkan mereka mengundi dalam pemilihan parti.

“Mereka telah bagi semua hak kepada kita, cuma dalam pemilihan sahaja yang kita tidak boleh buat. Kita kena hormat keputusan itu,” katanya.Penubuhan DHPP semalam menyaksikan seramai 20,000 anggota Kelab.

Penyokong PAS sedia ada 'dinaiktaraf' sebagai anggota PAS sepenuhnya dan diserap ke dalam dewan tersebut.

Dewan tersebut dibentuk bagi menumpukan usaha penerangan dasar parti melalui program dialog dan ceramah.

Tiada ulasan: