Selasa, 4 Mei 2010

KENYATAAN AKHBAR KETUA PENGARAH KESIHATAN




Kenyataan akhbar ini dikeluarkan sebagai maklumbalas kepada beberapa laporan yang telah disiarkan di dalam media berkenaan dengan pemberian insentif kewangan untuk pendermaan organ dari penderma yang masih hidup (“pendermaan hidup”).

Ketika ini dianggarkan seramai 10,000 orang pesakit di negara ini sedang menunggu untuk mendapatkan organ seperti buah pinggang, hati, jantung dan paru-paru. Kadar pendermaan organ terutamanya dari penderma yang telah meninggal dunia (“penderma kadaverik”) adalah masih rendah.

Ini menyebabkan jumlah pembedahan transplan yang dilakukan tidak dapat menampung jumlah pesakit yang kian bertambah. Keadaan ini juga berlaku di kebanyakan negara lain termasuk di negara-negara maju.

Kementerian Kesihatan bertanggungjawab bagi memastikan amalan transplantasi organ di negara ini dilakukan mengikut piawaian etika sebagaimana yang telah disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Ini bagi menjaga kepentingan, kesihatan dan kesejahteraan individu yang ingin menderma organ semasa hidup serta bakal penerima organ tersebut. Piawaian ini juga bertujuan memastikan pendermaan hidup dilakukan dengan ikhlas tanpa wujud unsur perdagangan organ yang boleh memberi implikasi sosial yang negatif kepada masyarakat.

Sebagaimana yang diperuntukkan dalam Polisi Transplantasi Organ Tisu dan Sel Kebangsaan, Kementerian Kesihatan membenarkan pendermaan organ dari penderma hidup yang ada kaitan kekeluargaan (atau hubungan secara genetik) dengan pesakit sahaja. Pendermaan hidup dari pasangan suami isteri yang sah juga dibenarkan.

Pendermaan hidup dari penderma yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan perlu mendapat penilaian dan kelulusan khas dari Kementerian Kesihatan. Selain itu, Kementerian Kesihatan juga tidak membenarkan pembedahan
transplan yang mempunyai unsur jual beli organ dijalankan di mana-mana kemudahan kesihatan sama ada di dalam sektor awam atau sektor swasta.

Pemberian insentif kewangan bagi tujuan menggalakkan orang ramai untuk memberikan organ juga dilihat sebagai bercanggah dengan dasar Kementerian Kesihatan. Kementerian Kesihatan mengambil pendekatan ini atas alasan seperti berikut:

a. organ dan anggota tubuh badan manusia perlu dihormati dan memperdagangkan organ manusia adalah tidak menepati dengan nilai-nilai kemanusiaan. Aktiviti jual beli organ bercanggah dengan etika amalan perubatan.

b. golongan yang kurang bernasib baik termasuk mereka yang mempunyai taraf sosioekonomi yang rendah boleh dieksploitasikan sekiranya aktiviti jual beli organ ini dibenarkan

c. aktiviti jual beli atau perdagangan organ manusia juga bercanggah dengan garispanduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan pertubuhan antarabangsa yang lain seperti The Transplantation Society dan International Society of Nephrology (The Declaration of Istanbul on Organ Trafficking and Transplant Tourism)

d. aktiviti jual beli atau perdagangan organ manusia juga bercanggah dengan kenyataan fatwa sebagaimana yang telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan tahun 1970.

Kementerian Kesihatan menghargai keperihatinan semua pihak terutamanya orang ramai mengenai masalah yang dihadapi oleh mereka yang menghidap penyakit kegagalan organ.

Oleh itu, selaras dengan konsep Satu Malaysia, Kementerian Kesihatan ingin memohon kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, agama, bangsa dan keturunan untuk berikrar mendermakan organ selepas meninggal dunia demi kepentingan pesakit yang memerlukan.

Sekiranya kadar pendermaan organ kadaverik dapat dipertingkatkan di negara ini, kesengsaraan mereka yang mengalami penyakit kegagalan organ dapat dikurangkan tanpa perlu merisikokan mereka yang masih hidup.

Tiada ulasan: