Isnin, 24 Mei 2010

Tiga peratus kakitangan awam palsukan sijil cuti sakit


Tiga peratus dari kira-kira 1.2 juta penjawat awam didapati memalsukan sijil cuti sakit mereka, kata Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Presidennya Omar Osman berkata kes berkenaan walaupun boleh dianggap terpencil tetapi perlu dipandang serius kerana ia boleh mencemarkan nama semua penjawat awam di negara ini.Menurut beliau, pemalsuan sijil cuti sakit bertentangan dengan etika kerja perkhidmatan awam yang tertakluk kepada kecemerlangan dan integriti dalam menjalankan tugas.

"Mereka sepatutnya memberikan sijil cuti sakit yang sah yang diperakukan oleh pegawai perubatan kerajaan atau swasta yang membolehkan atau melayakkan mereka menikmati kemudahan cuti sakit oleh majikan.

Kegagalan untuk berbuat demikian boleh menyebabkan mereka dibuang kerja jika didapati bersalah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM) di Putrajaya hari ini.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Solah Mat Hassan.

Omar diminta mengulas mengenai pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang memberikan amaran terhadap kegiatan pemalsuan sijil cuti sakit oleh segelintir penjawat awam.

Menurut beliau, kegiatan seumpama itu boleh menyebabkan mana-mana penjawat awam yang terlibat kehilangan segala kelebihan dan faedah yang diperolehi hasil berkhidmat dengan kerajaan.

"Mereka yang dibuang kerja kerana perkara ini akan kehilangan peluang untuk menikmati wang persaraan, pinjaman perumahan dan beberapa kemudahan lain," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Omar memberitahu bahawa beliau percaya ada pihak terlibat dalam membekalkan sijil cuti sakit palsu yang menyamai sijil cuti sakit tulen dari pegawai perubatan kerajaan atau swasta.

"Gejala seperti ini perlu segera dibanteras agar tidak terus menular dan menjadi budaya yang tidak sihat di kalangan penjawat awam," katanya.

- Bernama

Tiada ulasan: