Isnin, 5 April 2010

Situasi terkini Influenza A H1N1






Alor setar, 5 April :

Wabak Pandemik Influenza A H1N1 yang seolah-olah telah berada dipenghujungnya,tiba-tiba dikejutkan dengan 2 kematian terbaru di Melaka.

Sehingga jam 5.00 petang 2 April 2010, jumlah kes ILI yang masih dirawat di hospital di seluruh negara adalah 351 kes, berkurangan 29 kes berbanding bilangan (380 kes) pada 1 April.

Dari jumlah tersebut, 28 orang pesakit atau 8.0% merupakan kes Influenza A(H1N1) yang disahkan melalui ujian makmal. Lima (5) kes yang mempunyai faktor risiko dirawat di Unit Rawatan Rapi.

Tidak ada kluster baru pesakit dengan gejala “Influenza-like Illness(ILI)” yang dilaporkan sehingga pukul 9.00 pagi hari ini (3 April 2010).

Merujuk kepada dua kematian yang dikaitkan dengan jangkitan H1N1 di Hospital Melaka yang dilaporkan pada 31 Mac dan 2 April, ia melibatkan dua beranak dalam satu keluarga.

Kes pertama merupakan seorang wanita berumur 54 tahun yang merupakan seorang pesakit diabetes (kencing manis). Beliau telah dimasukkan ke wad pada 30 Mac dengan gejala ILI dan terus diberi rawatan Tamiflu.


Ujian makmal mengesahkan beliau positif bagi H1N1.

Namun begitu, beliau juga mengalami masalah kencing manis yang tidak terkawal, yang telah menyebabkan komplikasi “severe metabolic acidosis” akibat kegagalan buah buah pinggang, jangkitan kuman lain (sepsis) dan kencing manis yang tidak terkawal tersebut. X-ray paru-paru tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda pneumonia untuk dikaitkan dengan H1N1.

Oleh itu kematian beliau adalah disebabkan secara langsung oleh komplikasi kencing manis.
Anak beliau berumur 29 tahun yang sedang mengandung 36 minggu turut dimasukkan ke hospital pada hari yang sama dengan tanda-tanda kelemasan bayi dalam kandungan (Foetal Distress Syndrome).

Dalam pada yang sama beliau turut menunjukkan gejala ILI dan disahkan positifH1N1.

Rawatan Tamiflu dimulakan dan bagi menyelamatkan bayi,pembedahan dilakukan pada hari yang sama. Selepas pembedahan beliau terus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi tetapi telah mengalami komplikasi dan meninggal dunia semalam (2 April) akibat “Adult Respiratory Distress Syndrome”.

Ujian terhadap bayi beliau adalah negatif untuk H1N1 namun begitu bayi tersebut sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi untuk pengawasan rapi memandangkan beliau tidak cukup bulan.Keadaan bayi tersebut setakat ini adalah stabil.

Sementara situasi Influenza A H1N1 terkini di Kedah mencatatkan jangkitan kluster ditiga buah sekolah di Langkawi mulai 24 Mac yang lalu.

Tiga buah sekolah tersebut ialah Sekolah Menengah Pulau Tuba,Sekolah Rendah Kebangsaan Selat Bagan Nyior di Pulau Dayang Bunting dan Sekolah Menengan Teknik Langkawi.

Sebanyak 13 sampel throat swab yang diambil dari 174 pelajar SMK Pulau Tuba, 47 % dari pelajar SRK Bagan Nyior dan 6.9 % dari SM Teknik Langkawi didapati positif kepada Influenza A H1N1.

Majoriti pelajar yang terlibat adalah mereka yang tinggal diasrama dan mereka dirawat sebagai pesakit luar.Mereka yang mempunyai suhu yang tinggi dirawat dengan Tamiflu.

Tiada ulasan: