Khamis, 1 April 2010

Tumpuan serius atasi masalah air di Kedah











Oleh: AMELIA HASHIM

ALOR SETAR:


Sebaik sahaja Syarikat Bekalan Air Darul Aman (SADA) diwujudkan pada tahun ini syarikat air itu telah berusaha mengatasi masalah air dengan perancangan terdekat menambah loji, menaiktaraf kapasiti loji yang sedia ada dan menyenaraikan paip-paip yang tidak pernah berganti sejak berpuluh-puluh tahun untuk program penggantian.

Demikian dijelaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SADA Dato’ Adzmi Haji Din dalam temubual dengan Wartawan Warta Darul Aman.

“Dalam isu air yang digembar-gemburkan oleh media seolah-olah krisis air di Kedah sampai ke peringkat meruncing, pada hal telaga tidak kering, sungai masih ada air dan tidak ada seorangpun yang mati kekeringan malah ada beberapa penduduk yang kita senaraikan dalam kawasan pemantauan bantuan bekalan musim kemarau, mengatakan bekalan air mereka mencukupi dan tidak memerlukannya apabila lori SADA datang menghantar bekalan untuk mereka,” katanya.

Menurutnya, tuduhan bahawa kerajaan negeri tidak menghiraukan penderitaan rakyat yang ketiadaan air di musim kemarau adalah tidak betul.

“SADA bertungkus lumus, berkerja hingga larut malam untuk menyiapkan pelan perancangan pembangunan dan pengurusan air untuk rakyat tiba-tiba difitnah dengan pelbagai tuduhan.

“Usia SADA baru dua bulan dan kerajaan hari ini baru dua tahun memerintah sedang pemerintah terdahulu yang berkuasa selama berpuluh-puluh tahun mengabaikan masa depan rakyat dari segi bekalan air dengan tidak merancang pembangunan keperluan air supaya seimbang dengan pertambahan penduduk, pembangunan perumahan dan kepesatan industri,” ujar Dato’ Adzmi.

Katanya, Kedah mempunyai paip air sepanjang 12,000 kilometer semuanya termasuk paip besar dan paip servis. 40 peratus daripadanya dimasukkan ke dalam program pegantian semula.Buat masa ini, katanya, Kedah mempunyai 33 buah loji yang mampu merawat air sebanyak 493 juta meter padu setahun. Daripada jumlah itu penggunaan sebanyak 216 juta meter padu dan kerajaan kerugian sebanyak 48 peratus daripadanya kerana hilang disebabkan paip bocor, kecurian dan proses pengewapan.

“Kemarau adalah lumrah alam dan pemberian Tuhan, kekurangan bekalan air yang berlaku adalah perkara biasa dan berlaku setiap tahun apabila tiba musim kemarau, kerana penggunaan air meningkat sebanyak 20 peratus iaitu sebanyak 0.912 meter padu sehari pada Jun tahun lalu dan meningkat kepada 1.101 meter padu sehari pada Februari tahun ini, disebabkan aktiviti menyiram pokok bunga meningkat kerana hujan tidak turun.

“Bayangkan berapa jumlah taman-taman perumahan dan rumah-rumah di pinggir Bandar yang menggunakan air untuk menyiram pokok landskap rumah masing-masing kerana kita ada semua data-data berkenaan dan ketika ini pokok minum air lebih banyak dari manusia” katanya.

Jelasnya, ekoran peningkatan kegunaan air berlakulah gangguan bekalan air di sesetengah tempat di kawasan tanah tinggi atau penghujung sistem paip, yang menyebabkan bekalan air hanya ada di waktu malam kerana di waktu malam seluruh penggunaan air tidak aktif.

Ketua Pegawai Esekutif Syarikat Air Darul Aman (SADA) Dato’ Adzmi Haji Din menjelaskan bahawa tumpuan untuk mengatasi masalah air di negeri ini dijalankan dengan serius di semua daerah.

Antara projek yang giat dilaksanakan sekarang ialah membina loji dan laluan paip di Padang Sanai Baru dengan kapasiti 50 mld (million liter per day – juta liter sehari) bernilai RM50 juta meliputi kawasan bekalan Padang Sanai, Kubang Pasu dan Universiti Utara Malaysia di Sintok serta Bukit Kayu Hitam.

Dato’ Adzmi berkata, dua lagi loji yang sedang dalam pembinaan ialah di Sik (25 mld) mampu membekal air untuk pengguna di seluruh Daerah Sik dan loji di Lubuk Buntar (20 mld) bagi penduduk Daerah Bandar Baharu.Selain itu, katanya, sebuah kolam takungan air dan pam penggalak sedang dibina di Kuala Muda untuk bekalan di kawasan Sungai Lalang, Semeling, Tanjung Dawai dan Pantai Merdeka, di samping kerja-kerja memasang paip utama sedang giat dijalankan.

Tambahnya, terdapat projek lain berkaitan air untuk memberi keselesaan kepada rakyat yang sedang dijalankan ialah membekal dan memasang paip air (pumping main parallel) berukuran 200 mm MS dari loji Air Nami ke tangki Kampung Padang sepanjang 5.5 kilometer dan memasang serta membekalpaip air retikulasi berukuran 150 mm MS sepanjang dua kilometer di Paya Mak Inson, Pendang serta membina tangki dengan keupayaan 0.5 MI.

Katanya lagi, projek yang sedang berjalan sekarang ialah meningkatkan kapasisiti Loji Air Jeneri dari 8.6 mld ke 18.0 mld dan menaik taraf loji air dari 8.6 mld kepada 18.0 mld serta memasang paip air pumping main parallel line berukuran 350 mm MS sepanjang 12.0 kilometer dari Loji Air Jeneri ke kolam di Bukit Perah.

SADA juga sedang meningkatkan kapasiti Loji Air Jenun Lama dari 36.0 mld kepada 60 mld, menaiktaraf loji air dari 36.0 mld kepada 60 mld dengan memasang paip air pumping main parallel main berukuran MS 700 mm dari loji Air Jenun Lama ke kolam Bukit Jambul dan membina rumah pam di Asam Jawa termasuklah tangki sedutan.

Selain itu SADA juga memasang paip air pumping main berukuran 250 mm MS dari rumah pam Asam Jawa ke Bukit Kecik, Mukim Guar Kepayang serta membina kolam air di Bukit Kechik dan Mukim Guar Kepayang. Kesemua projek ini bernilai RM30.8 juta..

Selepas itu program untuk projek rancangan Malaysia Ke-10 bekalan air di Padang Terap iaitu membina muka sauk (pam air mentah) di Padang Terap dengan kapasiti 50 mld, rumah pam dan pemasangan paip. Projek ini akan dimulakan pada tahun ini dengan pemasangan paip dari Padang Sanai ke Kota Putera Durian Burung dan Kota Perdana di Bukit Kayu Hitam.

Ini merupakan projek sambungan loji baru Padang Sanai sekarang bagi menyelesaikan masalah kekurangan bekalan air di kawasan liputan Universiti Utara Malaysia Sintok, Padang Sanai, Kota Putera dan Kota Perdana.

Tiada ulasan: