Selasa, 13 April 2010

Mangsa terbaru H1N1











PUTRAJAYA,13 April - Satu lagi kematian akibat virus Influenza A (H1N1) dicatatkan di negara ini, melibatkan seorang peguam lelaki berusia 42 tahun dari Johor Bahru, kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican berkata, lelaki terbabit meninggal dunia ketika dirawat di hospital swasta Johor Bahru.

Beliau berkata, kematian terbaru itu adalah yang pertama tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang meninggal dunia akibat virus itu meningkat kepada 78 orang, sejak wabak itu dikesan tahun lalu.

“Ujian makmal mengesahkan lelaki itu dijangkiti H1N1.

Beliau yang mempunyai faktor risiko obes turut mengalami komplikasi lain termasuk kegagalan ginjal akut dan jangkitan kuman.

“Keadaan beliau yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan menjadi semakin tenat dan beliau meninggal dunia kelmarin disebabkan oleh pneumonia H1N1 dengan ‘Acute Respiratory Distress Syndrome,” katanya kepada media selepas mesyuarat teknikal wabak H1N1 di sini, semalam.

Dr Ismail berkata, dua kematian melibatkan seorang ibu dan anaknya yang baru melahirkan anak kedua di Hospital Melaka, 31 Mac dan 2 April lalu, bukan disebabkan jangkitan virus H1N1.
“Dua (yang sebelum ini dilaporkan akibat jangkitan H1N1) daripada tiga kematian tahun ini bukan mempunyai kaitan secara langsung dengan H1N1 tetapi yang terbaru (kelmarin) berkaitan dengan H1N1,” katanya.

Dr Ismail, menjelaskan daripada pemantauan berterusan, belum ada tanda virus H1N1 yang sedang menular ketika ini, mempunyai ciri-ciri berbeza daripada virus sebelum ini, yang menyebabkan gelombang kedua yang lebih serius.

“Langkah-langkah pencegahan yang disarankan dengan ubat anti viral seharusnya berkesan bagi mengekang penularan jangkitan itu,” katanya.

Sementara itu, Dr Ismail berkata, sehingga jam 5.30 petang kelmarin, jumlah terkumpul kes ILI yang masih dirawat dalam wad seluruh negara adalah 678 kes. - Bernama

Tiada ulasan: